Insan & Komuniti 23 Aug, 2020

ICM bantu siapkan Dapur Rakyat! Untuk Pusat Jagaan Mahmudah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

DAPUR Rakyat yang ditaja pembinaannya oleh Islamic Charity Malaysia (ICM) akan membantu pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka termasuk di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor. : KitaReporters

Mohamed Noordin (tengah) menunjukkan tanda isyarat bagus dan berpuas hati dengan kerja-kerja menyiapkan Dapur Rakyat.


Lagi cerita-cerita berkaitan pusat jagaan:

https://kitareporters.com/search?search=pusat+jagaan


Dapur Rakyat itu yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti sebuah dapur di rumah akan membantu melancarkan tugasan sukarelawan yang datang melaksanakan projek termasuk bagi menyediakan atau memasak makanan untuk penghuni pusat jagaan berkenaan.

Kerja membina dapur itu yang telah dilaksanakan bermula hujung Februari 2020 lalu, bagaimanapun tertangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sehinggalah dapat disiapkan sebulan lalu.

Pengerusi ICM, Mohamed Noordin Mohd Jalaludin diberi penghormatan untuk merasmikan dapur berkenaan dalam satu majlis ringkas penyerahan Dapur Rakyat kepada pihak pengurusan pusat jagaan itu pada Jumaat, 21 Ogos 2020.

Mohamed Noordin (kiri) memotong riben merasmikan Dapur Rakyat di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia. 


Pengerusi Mahmudah Malaysia, Azman Rasman, berkata dapur itu merupakan kemudahan asas terkini di pusat jagaan itu yang akan memudahkan pelbagai pihak untuk menyediakan atau memasak makanan dalam projek CSR mereka atau sebagainya.

Menurutnya, bagi sesetengah NGO atau pelajar dari pusat pengajian tinggi ada yang bermalam di pusat jagaan itu untuk beberapa hari bagi menyiapkan kajian atau kerja amal kebajikan dan dengan adanya dapur berkenaan, ia satu kemudahan kepada mereka.


Azman (kanan) menunjukkan kemudahan periuk besar yang boleh digunakan pelbagai pihak di Dapur Rakyat. 


“Mereka juga akan berasa lebih selesa atau seronok apabila dapat menyediakan makanan atau memasak untuk warga emas tanpa menganggu dapur khusus bagi kegunaan pusat jagaan ini,” katanya.

“Kami berasa bersyukur apabila projek dapur itu mendapat tajaan daripada ICM yang bertungkus lumus dari awal tahun (2020) mengumpul dana bagi membiayai kos pembinaan sehingga siap sepenuhnya sebagaimana yang dirancangkan,” katanya.

Azman (tiga dari kanan) menyerahkan cenderamata kepada Mohamed Noordin (tengah) dan ahli jawatankuasa ICM.


Mohamed Noordin berkata, sebaik sahaja mendapat permohonan dari pusat jagaan berkenaan, ahli jawatankuasa ICM terbabit telah datang membuat kajian dan penyelidikan terlebih dahulu terhadap kemudahan yang diminta itu.

Menurutnya, pihak ICM akan menyediakan laporan lengkap seperti lokasi dapur itu akan dibina dan pelbagai kemudahan asas yang perlu disediakan seperti bekalan elektrik dan air sebelum menguar-uarkan dalam laman web bagi mengumpulkan dana.

Penasihat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Mohiadin Bahado (kiri) menerangkan kemudahan peralatan senaman kepada Mohamed Noordin (dua dari kanan).


“Dengan kegigihan dan sikap dedikasi ahli jawatankuasa ICM yang mengambil berat dalam melaksanakan projek amal dan kebajikan akhirnya sejumlah dana dapat dikumpul bagi memulakan kerja pembinaannya.

“ICM sentiasa bersedia membantu pelbagai pihak dalam kerja amal serta kebajikan dalam mencari dana atau sebagainya dengan syarat pihak terbabit mengemukakan permohonan dan kami akan turun padang untuk melakukan kerja penyelidikan bagi mengelak perkara yang tidak diingini,” katanya.

Kepada mereka yang ingin membantu Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia termasuk untuk mengeluarkan zakat boleh menghubungi Azman Rasman menerusi nombor telefon 019-977 7419, Ruslan Saidin (019- 212 3757) dan Sazali Mohiden (019-368 8142), sementara sumbangan wang boleh juga disalurkan ke Akaun CIMB Islamic -  8603160021 (Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia). - KitaReporters 

20
3
0
0
0
You will be interested