DIKURNIAKAN anak kembar pasti sangat menyeronokkan, apa tidak ke mana-mana pasti mendapat perhatian.
Namun untuk menguruskan anak berkenaan bukan kerja yang mudah, terutama pada awal kelahiran yang memerlukan pemantauan yang rapi.
Mungkin kerana itu hanya ibu bapa yang terpilih sahaja mampu memiliki anak kembar.
Lagi kisah menarik berkaitan anak kembar
Terbaharu seorang ibu muda berkongsi pengalaman 'mahal' dirinya dan suami menguruskan dua pasang anak kembar seiras di Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan Dallas Morning News, Jenny Marr dari Texas dan suaminya, Chris mengakui sangat teruja selepas mendapat tahu bakal memiliki anak kembar empat.
Namun kesabaran mereka teruji apabila anak-anak yang dinamakan Hudson, Harrison, Henry dan Hardy itu dilahirkan. Malah rutin harian menguruskan dua pasangan kembar itu sangat mencabar!
Apa tidaknya, pasangan suami isteri itu berkongsi rutin penjagaan anak-anak, termasuk menukar lampin sebanyak 24 kali sehari.
Alamak banyaknya!
Malah mereka juga terpaksa membelanjakan kira-kira AS$300 (RM1,267) seminggu untuk barangan keperluan mereka.
Jenny yang melahirkan kembar empat seiras pada 15 Mac 2020 ketika usia kandungannya 28 minggu menerusi pembedahan di Texas Health Presbyterian Hospital Dallas itu berkata, saat pada awal kelahiran si kecil-kecil itu sangat memenatkan.
Lebih menyukarkan kehadiran dua pasangan kembar itu ketika dunia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 sekali gus menyebabkan pasangan ibu bapa itu melalui masa sukar seperti perlu kerap pergi ke kedai untuk membeli barangan keperluan.
Namun ibu muda itu beruntung kerana suaminya sangat membantu. Kini bayinya semakin membesar dan melasak.
Menurut Jenny lagi, setiap hari dia terpaksa membancuh kira-kira 1.5 gelen susu sebagai keperluan anak-anak kecil itu.
Tapi semua itu tidak membebankan malah menyifatkan pengalaman berkenaan sesuatu yang luar biasa dan hanya dilalui orang tertentu sahaja termasuk dirinya. - KitaReporters