Insan & Komuniti 04 Nov, 2023

Video| Tolong kami! Bantu Pusat Jagaan Mahmudah! Malam Amal kumpul dana! Harap ramai dermawan bantu!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this



BERIKUTAN peningkatan kos perbelanjaan dan bagi menambah dana operasi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Kampung Sungai Purun, Jalan Bangi, Semenyih, Selangor mengambil langkah menganjurkan Majlis Malam Amal ‘Masih Ada Yang Sayang’ pada 25 November 2023.

Majlis itu diharapkan menjadi platform bagi dermawan membantu dengan menghulurkan sumbangan menerusi konsep jualan meja dan kerusi yang dibahagikan kepada beberapa kategori untuk majlis makan malam yang akan diadakan di Laman Firdausi PJMM.


Pintu utama PJMM di Kampung Sungai Purun, Jalan Bangi, Semenyih, Selangor.


Dana yang terkumpul pada majlis berkenaan akan turut dikongsikan dengan dua lagi pusat jagaan iaitu Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) di Beranang dan Pusat Jagaan Insan (PJI) di Taman Tasik Semenyih yang turut bertindak sebagai penganjur bersama dengan memberikan kerjasama bagi menjayakan majlis itu.

Majlis berkenaan dijangka dihadiri 300 tetamu termasuk orang kenamaan dan akan dirasmikan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata PJMM, PJNH dan PJI Pusat merupakan pusat perlindungan dan penjagaan warga emas yang membabitkan kes seperti dipinggirkan anak sendiri, diabaikan waris, hidup sebatang kara, Orang Kelainan Upaya (OKU), mualaf, asnaf serta fakir miskin. 


Sebahagian warga emas yang menghuni PJMM.


Menurutnya, warga emas terbabit termasuk yang uzur serta terlantar di atas katil disantuni seperti ahli keluarga sendiri oleh petugas selain mereka dikenal pasti dalam kalangan kurang berkemampuan dirujuk oleh hospital dan jabatan berkenaan yang diberikan penjagaan penuh tanpa sebarang bayaran.

Tambahnya, berikutan peningkatan kos operasi setiap bulan, pengurusan terpaksa mencari alternatif dalam mengisi dana pusat jagaan itu dan bersetuju untuk membuat perancangan rapi lebih tiga bulan lalu bagi mengadakan majlis berkenaan.

“Majlis dirancangkan ini sedikit sebanyak akan membantu menampung kos operasi kerana pihak pengurusan bagi tiga pusat jagaan terbabit sentiasa bertungkus lumus setiap minggu mencari dana bagi dimanfaatkan serta kelangsungan hidup emas yang dijaga. 

“Kami amat berharap tiada pihak yang salah anggap atau berwasangka tidak sepatutnya terhadap usaha dilakukan ini malah kita mempelawa sesiapa sahaja untuk menjenguh bagaimana pengurusan dilakukan bagi menjaga warga emas,” katanya.


Sebuah syarikat pembinaan menginfak beberapa lori tanah pasir untuk meratakan kawasan letak kereta Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia bersempena Majlis Malam Amal ‘Masih Ada Yang Sayang’ pada 25 November 2023.


Muhammad Syafiq berkata, bagi tujuan mengumpul dana itu jualan meja dan kerusi dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Platinum satu meja RM5,400 dan satu kerusi RM675, Gold satu meja RM3,600/satu kerusi RM450, manakala Silver satu meja RM2,000/satu kerusi RM250.

Menurutnya, pada majlis itu juga akan diadakan gimik pelancaran buku kisah benar penghuni bertajuk ‘Terkulai Di Senja Hari’ yang amat popular dan menyumbangkan dana kepada PJMM, perasmian media sosial pusat jagaan, persembahan istimewa warga emas serta artis dan selebriti yang turut hadir untuk bersama memeriahkan majlis berkenaan. 

Jelasnya, pelbagai alternatif sebelum itu sudah dilakukan dalam usaha mencari dana termasuk menggunakan media sosial  seperti TikTok, Facebook, Instagram, YouTube yang turut membuka peluang untuk berinteraksi dengan masyarakat mengenai pusat jagaan khusus warga emas yang dijaga. 


Azman Rasman (kanan) sentiasa memenuhi hajat pelawat yang ingin melihat secara dekat warga emas disantuni.


“Ini sekali gus juga dapat menyampaikan nilai dan pengajaran yang terkandung dalam kisah hidup penghuni di samping juga berkongsi aktiviti serta kehidupan seharian warga emas apabila ada sesetengah mereka itu menzahirkan kesedihan kerana bergantung hidup kepada susu yang disalurkan menerusi hidung selain terlantar di atas katil sekian lama,” ujarnya.

Untuk pembelian meja atau kerusi bagi majlis berkenaan boleh disalurkan terus kepada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, nombor akauan 5623 8452 1053 (Maybank Islamic), manakala sebarang pertanyaan boleh menghubungi Mohiadin Bahado nombor telefon 017-3943216, Azman Rasman (019-977 7419), Aidah Jaamat (013-251 1372), Muhammad Syafiq (017-3786 804) dan Sazali Mohiden (019-368 8142). - KitaReporters

Jangkaan perancangan penyusunan meja dan kerusi pada Majlis Malam Amal ‘Masih Ada Yang Sayang’ PJMM.

17
11
0
13
0
You will be interested