LAZIMNYA pertemuan pertama kali sebagai kekasih pada majlis makan malam akan berakhir dengan kegembiraan, maklumlah kali pertama bersua muka, semuanya indah.
Namun berbeza pula dengan pasangan Rusia ini yang berdepan kisah lucu apabila seorang lelaki terpaksa menanggung malu dan marah selepas teman wanita yang pertama kali bersua muka itu bertindak meninggalkan pertemuan berkenaan.
Memetik odditycentral pada 27 September 2023 lalu, kejadian itu berlaku apabila lelaki dari Moscow itu keluar bersama dengan seorang wanita yang dikenali sejak beberapa bulan dalam media sosial dan memutuskan untuk bertemu secara fizikal.
Pasangan itu kemudian memilih restoran di Mira Avenue di Moscow, dan awalnya janji temu mereka berjalan lancar.
Namun apabila selesai membuat pesanan dan menikmati hidangan itu dan pelayan menghantar bil, pasangan itu mula memandang antara satu lain sehinggalah teman lelaki itu mencadangkan supaya membahagikan secara adil bil makanan yang dipesan.
Terkejut dengan permintaan teman lelaki tersebut, wanita itu menolak cadangan tersebut supaya membayar bil berkenaan sebanyak AS$165 (RM776) yang perlu dibahagi dua.
Namun wanita itu mendakwa lelaki berkenaan perlu membayar lebih berikutan dia telah memesan lebih banyak makanan dan minuman berbanding dirinya.
Selepas bertengkar mengenai bayaran tersebut beberapa minit, wanita itu kemudian mengambil keputusan untuk meninggalkan kafe, meninggalkan lelaki itu untuk melunaskan bayaran berkenaan.
Mungkin geram dengan apa yang menimpa dirinya, lelaki yang berusia 28 tahun itu kemudian tidak mendiamkan diri lalu terus membuat laporan polis.
Kini wanita tersebut menjadi buruan polis Rusia, selepas lelaki berkenaan mengakui mereka berkenalan sejak beberapa bulan lalu selepas mengenali antara satu sama lain melalui media social.
Siapa sangka permulaan yang baik mahu bertemu dan bercinta akhirnya membawa kes jenayah pula. Semoga ‘masalah’ itu boleh diselesaikan dengan baik dan kalau ada jodoh pasti tidak ke mana… - KitaReporters