Insan & Komuniti 12 Sep, 2023

10k naik rel pakai sarung ke Dataran Merdeka! Sempena program Keretapi Sarong 2023 rai Hari Malaysia!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this



JIKA penyanyi tersohor, Dato Seri Siti Nurhaliza Tarudin berkata, ‘biarlah rahsia’ melalui lagu popularnya itu, pendekatan sebaliknya diambil Locco Malaysia, selaku penganjur program Keretapi Sarong 2023  (KS 2023) apabila buat pertama kalinya mendedahkan rahsia lokasi terakhir berkumpulnya rakyat Malaysia berbilang kaum iaitu di Dataran Merdeka.

Untuk rekod, sejak penganjuran Keretapi Sarong diperkenal pada 2017 ini pertama kali diumumkan lokasi rahsia terakhirnya apabila disasarkan lebih kurang 10,000 akan berkumpul menaiki tren melalui 7 stesen yang dikenal pasti menjadi hentian membawa pengunjung dalam pakaian bersarung bagi meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2023 ini.


Shamsul Bahrin (tiga dari kiri) bersama Amir Hamdan (empat dari kanan) bersama memperlihatkan lokasi terakhir program 'Keretapi Sarong 2023' di MRT Merdeka.


“Pada tarikh itu rakyat Malaysia bersama-sama pelancong luar negara yang terlibat secara tidak langsung akan memulakan perjalanan kereta api mereka dalam suasana ‘flash mob’ menikmati pandangan kota di sekitar Lembah Klang, 

"Kami sangat teruja untuk mengumumkan bahawa lokasi rahsia tahun ini (2023) adalah di tempat yang paling ikonik dan bersejarah di negara ini - Dataran Merdeka!, “ ujar Pengarah Program KS 2023, Shamsul Bahrin Zainuzzaman  pada majlis sidang media Keretapi Sarong 2023 bertempat di MRT Merdeka pada Isnin, 11 September 2023 lalu.

Turut bersama mendedahkan lokasi rahsia ‘Dataran Merdeka’ adalah Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Amir Hamdan dan wakil rakan strategik dari JKKN dan penaja utama daripada Wonda serta kaum komuniti yang mengambil bahagian.



Menurut Shamsul, pemilihan lokasi dibuat berikutan luas kawasan yang boleh dihadiri lebih ramai sekali gus penghujung berpeluang juga meraikan bersama Festival Permainan Malaysia, anjuran JKKN yang akan berlangsung serentak mulai 15 hingga 17 September 2023.

Bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Kebudayaan (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), KS 2023 tahun ini turut mendapat sokongan Rakan Kerjasama Utama iaitu Rapid KL - syarikat sistem pengangkutan awam yang dimiliki oleh Prasarana Malaysia Berhad dan dioperasikan oleh anak-anak syarikatnya, Rapid Rail dan Rapid Bus. 



Bertemakan ‘etnik’, diramalkan ‘flash mob’ yang akan hadir berpakaian sarung dan etnik mengikut keselesaan masing-masing akan memulakan perjalanan dari mana-mana tujuh stesen yang terlibat meliputi Putrajaya Sentral (KLIA Transit), Subang Jaya (LRT), Bandar Utama (MRT), Ampang (LRT), Gombak (LRT), Kajang (MRT) dan KL Sentral (LRT),

"Ia akan menjadi saat yang benar-benar bersejarah bagi semua untuk berkumpul di Dataran Merdeka tahun ini selepas perjalanan kereta api yang berlepas dari stesen-stesen terpilih itu. 

"Dan memandangkan kita menjangkakan jumlah orang yang hadir dijangka lebih ramai tahun ini, kita meramalkan 'flash mob' dengan pakaian sarung dan etnik juga akan lebih meriah,” jelas Shamsul membayangkan, sambil memberitahu, acara ini tentunya terlaksana dengan jayanya melalui jalinan kerjasama rakyat Malaysia yang bersemangat dan cintakan budaya, bersama-sama barisan penaja yang percaya pada kuasa perpaduan melalui semangat Hari Malaysia.



Sementara itu, dalam memastikan  program berjalan lancar, Amir Hamdan menyarankan peserta yang ingin turut bersama disaran menggunakan kad Touch N Go atau membeli pas sehari ‘My City Pass’ untuk bayaran mudah ketika menggunakan rel pada hari tersebut.

"Saya berharap Rapid KL akan berpeluang untuk meneruskan kerjasama dengan Locco untuk acara Keretapi Sarong yang akan datang. Kami akan memberikan sokongan pada acara Sabtu ini (16 September 2023) dengan memastikan perjalanan yang lancar, selesa dan selamat buat peserta-peserta Keretapi Sarong 2023,” ujar Amir Hamdan.

Berkongsi lanjut, Shamsul Bahrin memaklumkan antara ‘flash mob yang akan mengambil bahagian terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk Baba Nyonya Selangor, United Malaysia Hindu Voice, Mandarin Jer, Anak Teater Malaysia, Malaysia Fashion Creative Award, KL Sketch Nation, Street Meet, UITM Shah Alam, dan wakil daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.



"Datanglah beramai-ramai kerana banyak aktiviti yang kami sediakan termasuk program ilmiah seperti  'Ikat Tepi by Keretapi Sarong' yang antaranya kita akan ceritakan mengenai sejarah kain sarung dan sebagainya serta bengkel sarung dan chit chat sarung," ujar Shamsul.

Lebih menarik, pada tahun ini, acara 'flash mob' (persembahan kilat berkumpulan) juga akan berlangsung serentak di bandar-bandar utama seperti Johor Bahru (sepanjang Sungai Segget), Ipoh (KTMB Ipoh), dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu), serta di London, United Kingdom dengan Battersea Power Station sebagai destinasi akhir. - KitaReporters

22
12
0
13
0
You will be interested