Insan & Komuniti 27 Oct, 2023

Video| Elak mati katak! Hari pertama bekerja sudah boleh mencarum! PERKESO kesan majikan culas!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this


SIAP sedia bertugas... Anggota penguat kuasa PERKESO bergambar sebelum memulakan tugas mereka.



PADA hari pertama bekerja, majikan sudah boleh mencarum kakitangan mereka dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan bukannya kena tunggu sehingga habis tempoh percubaan tiga bulan bagi menggelakkan mereka menjadi mangsa bencana kerja yang tidak dilindungi atau "mati katak"

Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, ramai majikan tidak peka atau sengaja bertindak licik dengan menjadikan tempoh percubaan itu sebagai taktik tidak mendaftarkan pekerja.

Ini kerana sebaik saja surat tawaran kerja bertulis atau lisan diberikan kepada calon terpilih, secara automatik pekerja itu sudah layak didaftarkan sebagai pencarum.


Ismail mengetuai Ops Kesan di sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa. - Kredit gambar: PERKESO


Untuk makluman, PERKESO Selangor sudah membayar pampasan berjumlah RM197 juta kepada 28,250 pekerja yang menikmati pelbagai manfaat daripada pencen ilat, penakat, elaun jagaan dan kemudahan rawatan dan penjagaan diri. 

PERKESO turut membuka peluang kepada mereka yang bekerja sendiri termasuk pemandu teksi, peniaga dalam talian, suri rumah, penjual burger, pekerja sambilan dan peniaga gerai mencarum.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelepasan bendera kepada Pasukan Penguat Kuasa PERKESO Selangor membabitkan 70 orang dari semua unit negeri itu yang berhimpun di Rawang dalam Ops Kesan Bersepadu kali ketiga dan membabitkan gabungan terbesar di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa pada 26 Oktober 2023. Turut sama ialah Pengurus PERKESO Rawang, Khairul Mizan Md Said.

PERKESO merupakan sebuah agensi kerajaan Malaysia yang ditubuhkan bagi mentadbir dan melaksanakan skim keselamatan sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Selangor pula mempunyai lima cawangan PERKESO termasuk Rawang, Petaling Jaya, Klang, PutraJaya dan satelit Tanjung Karang. PERKESO berharap Ops itu dijangka berakhir di Putrajaya pada hujung tahun ini (2023).


Ismail Abi Hashim 


Dalam ucapannya, Ismail berkata menjadi tanggungjawab semua majikan untuk berdaftar dengan PERKESO kerana jika berlaku bencana pekerja dilindungi sepenuhnya. 

Malah kegagalan majikan berdaftar dan mencarumkan pekerja, jika didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, Ops itu juga berikutan kejayaan yang dilakukan di Tanjung Karang pada 24 Ogos 2023  membabitkan lawatan ke 194 premis di sekitar Sungai Besar. Daripada jumlah itu, 28 notis kompaun berjumlah RM24,000 telah dikeluarkan di bawah Akta 4 dan Akta 800.

"Kemudian pada 19. September 2023 Ops di Selangor membabitkan pemeriksaan ke atas 250 majikan di Setia Alam. Daripada jumlah itu, 45 kompaun dikeluarkan dengan kutipan saman RM25,000 di bawah akta yang sama," katanya. 

Sementara itu dalam Ops Kesan pada 26 Oktober 2023 yang diketuai oleh beliau sendiri, membabitkan 188 majikan dan kompaun yang dikeluarkan di bawah Akta 4-11 sebanyak RM5,500 dan Akta 800-3 pula RM1,500.

"Secara kesimpulannya kami puas hati pematuhan di kawasan Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa sangat tinggi iaitu 92.5% dan yang tidak patuh adalah 7.5%," katanya.


Khairul Mizan Md Said meminta majikan jaga kebajikan pekerja.


Sebelum itu, Khairul Mizan dalam ucapan aluannya memberitahu tumpuan diberikan pada dua kawasan itu (Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa) berikutan kemajuan pembangunan yang sedang pesat dengan banyaknya kilang baharu dan kediaman yang dulu sunyi sudah mula dihuni.

Beliau berkata pada tahun 90-an kedua kawasan itu diramalkan maju kerana dilaporkan akan dibina lapangan terbang. Malangnya ia tidak berlaku dan ramai pelabur rumah dan pusat perniagaan rugi apabila rumah di situ tidak dapat disewakan walaupun dengan harga serendah RM100.


Ismail merasmikan Ops Kesan Bersepadu membabitkan daerah Rawang.


"Kini dengan ada pusat pengajian tinggi, kilang kereta dan kilang-kilang baharu di situ membuatkan ia kembali rancak dan PERKESO bertanggungjawab memberitahu majikan untuk menjaga kebajikan pekerja mereka dengan membuat caruman.

"Kita tidak bimbang kilang besar mereka sudah mencarum. Kita tumpukan kini kepada vendor, peniaga kecil yang ada satu dua pekerja. 

"Mereka kena mencarum bukan saja pekerja dimanfaat tenaga tetapi  dijamin dengan pelindungan sekiranya berlaku bencana di tempat kerja," katanya yang menasihatkan anggota penguat kuasa supaya berhati-hati ketika bertugas.

"Provokasi dan enggan memberi kerjasama adalah asam garam kerja kita. Pernah kami dulu diganggu oleh tonto yang bersaiz badan 120 kilogram berbanding anggota kita hanya beratnya 60 kilogram. 

"Semoga usaha kita hari ini memberi kesan mendalam membantu pekerja mendapat hak sebaik-baiknya," katanya. - KitaReporters


Ismail melepaskan kenderaan anggota penguat kuasa PERKESO 


Ismail berbual mesra dengan anggota penguat kuasa sebelum mereka memulakan tugasan

10
12
0
13
0
You will be interested