Insan & Komuniti 02 Oct, 2024

Syabas Masjid Al-Umm Bangi! Program santai tapi sampai! Didik remaja kebaikan sunah dan mesra masjid!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Peserta teruja untuk mengambil bahagian dan menjawab setiap soalan yang diajukan fasi sepanjang program daurah.


Masjid merupakan institusi penting dalam membangunkan masyarakat malah ia adalah agen untuk menyatukan masyarakat selain membantu menyelesaikan urusan umah. 

Justeru, ahli jawatankuasa masjid perlu memainkan peranan untuk menarik minat jemaah setempat terutama golongan kanak-kanak dan remaja mengimarahkan rumah Allah.

Bagi tujuan itu, pihak masjid boleh menyediakan infrastruktur yang menjadi keperluan umat islam dan anak-anak muda seperti kemudahan teknologi, pusat kemudahan riadah dan pendidikan bagi menarik minat mereka hadir ke masjid. 

Boleh juga menjadikan masjid sebagai hub kemasyarakatan untuk rujukan dan khidmat kepada masyarakat dengan mengadakan kursus praperkahwinan dan kelas tambahan secara percuma.

Tugas menjinakkan anak-anak muda dan menarik mereka ke masjid boleh menjadikan jiwa mereka terisi, akhlak mereka diunggulkan serta kehidupan mereka lebih bermakna untuk menjadi orang dewasa yang mampu menggalas tugas sebagai hamba Allah, dan pada masa depan sebagai pemimpin masyarakat dan negara. Inilah syabab yang kita dambakan. 

Sesi ice-breaking (taaruf) membolehkan peserta kenal mengenal antara satu sama lain selain membuang ego yang boleh memberi kesan negatif kepada orang lain.


Menyedari kepentingan perkara itu, Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, Selangor menganjurkan program Daurah Remaja Mukmin dan Daurah Anak Soleh dengan harapan ia dapat menjentik hati golongan muda mengimarahkan atau meramaikan masjid yang kini kian sepi dan hanya dikunjungi golongan tua yang lanjut usia.

AJK Masjid Al-Umm Biro Belia dan Remaja, Siti Khadijah Imam Supaat, berkata tugas itu bukan mudah kerana memerlukan pendekatan berhemah dan sesuai dengan selesa mereka, apatah lagi banyak pengaruh luar yang terlalu kuat yang  "mengikat" kaki mereka untuk hadir ke rumah Allah sama ada bersama kawan-kawan atau keluarga.

Beliau berkata, melalui program oleh Biro Belia dan Remaja ini, mereka mempunyai harapan besar, usaha yang dilakukan tanpa jemu itu akan membuahkan hasil yang baik, semoga suatu hari nanti mereka mampu mengalas tugas sebagai imam, bilal atau siak. 

Ia secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada golongan berusia malah memberi nafas baru ke arah menjadikan masjid lebih meriah dengan pelbagai aktiviti. 


Siti Khadijah Imam Supaat.


"Kedua-dua program itu diadakan untuk mendekatkan kanak-kanak dan remaja terutama di kariah ini dengan masjid.

"Ia sesuai dengan pengisian jiwa mereka untuk mengimarahkan rumah Allah selain bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1446H.

"Ia adalah program motivasi cuma temanya ke arah mencintai Nabi dan fungsi sunah dalam kehidupan seharian, maksudnya selain menarik mereka datang ke masjid, kami juga mengasuh mereka mengamalkan sunah dari kecil sehingga mereka dewasa.

"Kami pernah mengadakan program seumpama ini untuk remaja di Masjid Al-Umm dan kali ini lebih meriah dan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan anak-anak kariah termasuk di sekitar Bandar Baru Bangir. 

"Yuran dikenakan hanya RM10, itu pun untuk tabung masjid, makan minum sepanjang program itu percuma," kata Siti Khadijah. 


Teknik penyampaian yang santai dan bersahaja membuatkan peserta seronok dan tidak bosan untuk mengikuti pembelajaran.


Siti Khadijah berkata, program-program lain yang diadakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 2024 itu ialah Kejohanan Memanah Warisan Sunnah, Daurah Kitab: Cahaya Nabi Muhammad SAW, Pertandingan Remaja dan Kanak-Kanak antaranya mewarna, bercerita, hafazan dan azan.

"Kami juga mengadakan Pertandingan Seni Gubahan untuk golongan Muslimat, Malam Ummah Cinta Rasul dan Forum Maulidur Rasul yang menampilkan ahli panel, antaranya Imam Muda Asyraf, Dr Abdull Rahman Mahmood dan Abdul Syukor Othman sebagai moderator.

"Sambutan Maulidur Rasul tahun ini tidak lengkap tanpa perarakan yang diadakan pada hari terakhir membabitkan pelbagai golongan masyarakat malah penduduk di sekitar Bandar Baru Bangi bagi menyatakan kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW," katanya lagi.   

Apabila membuat pembentangan di hadapan kelas, peserta daurah belajar menjadi lebih yakin dan berani menghadapi cabaran yang bakal dilalui apabila dewasa nanti. 


Sementara itu, Jurulatih Pro Lead Legacy, Amar Mohd Shafie, berkata bagi memudahkan tugas fasi mengendalikan program Daurah Remaja Mukmin dan Daurah Anak Soleh, pihaknya membahagikan kepada dua kumpulan iaitu sekolah rendah dan menengah dengan jumlah keseluruhan lebih 80 peserta, berusia di antara tujuh hingga 12 (sekolah rendah) dan 13 hingga 17 tahun (sekolah menengah).

Beliau berkata, walaupun tema program motivasi itu kepada sunah dan sirah nabi sempena Sambutan Maulidur Rasul 2024, pihaknya tidak membawa modul yang berat kerana mempunyai harapan besar, selepas mengikuti program ini, hati mereka terbuka untuk hadir bagi mengimarahkan masjid atau surau.  

"Modul yang kami bawa hanya menumpukan kepada kuiz, tayangan video dan ibrar daripadanya, fun game, teka silang kata selain permainan seperti explorace dan treasure hunt, semuanya dilakukan di persekitaran masjid bagi mengelak sebarang gangguan dan memudahkan kami memantau mereka. 

"Alhamdulillah, mereka gembira dan seronok. Dalam keseronokan itu, kami  menyelitkan dengan kisah-kisah nabi dan belajar bagaimana kehidupan Nabi Muhammad SAW yang menjadi yatim piatu sejak kecil, membesar dalam asuhan bapa saudaranya, berdikari dan menjadi insan yang disukai masyarakat di kota Mekah kerana sifat baginda yang amanah.


Amar Mohd Shafie


"Dalam program ini, peserta tidak perlu menghafal apa-apa surah tapi dilakukan dalam suasana santai seperti mengamalkan sunah ketika di rumah atau masjid, contohnya bersugi sebelum wuduk, melangkah kaki kanan untuk masuk ke masjid, doa sebelum makan selain kebaikan menggunakan sunnah dalam kehidupan harian.

"Kami hanya cerita perkara yang mereka suka bagi memancing hati mereka mendekati masjid , tiada sebarang kisah mengenai syurga atau neraka kerana tahap itu ia terlalu berat kepada kanak-kanak," katanya.    

Menurutnya, aktiviti treasure hunt mendapat sambutan baik kerana ia memberi peluang mereka kenal banyak tempat di dalam dan persekitaran masjid seperti sudut bacaan, dewan, tempat mengisi air minuman atau pejabat pengurusan yang selalunya kanak-kanak tidak dibenarkan masuk.    

"Mereka juga teruja apabila diberitahu masjid juga boleh dijadikan destinasi untuk healing, menghilangkan stres, melakukan program seperti perjumpaan sesama rakan atau perbincangan dan apabila mendengar laungan azan, mereka boleh berhenti sekejap untuk solat berjemaah. 

"Kami juga membenarkan mereka menggunakan telefon bimbit untuk tugasan membuat video dakwah yang berkisahkan sunah untuk tempoh seminit. Ini secara tidak langsung memberi peluang mereka menunjukkan bakat dan bertukar idea dan kepandaian."Selain mereka diberi tugasan berjumpa tiga jemaah di masjid untuk perlu mendapatkan mutiara hikmah untuk ditulis dan dikumpulkan bagi persembahan secara berkumpulan pada akhir program daurah. Ini mendidik mereka yakin kepada diri sendiri, jika tidak faham boleh bertanya ahli dalam kumpulan, " katanya lagi.


Inilah kebaikan bekerjasama dalam kumpulan dan masing-masing turut mengambil bahagian dalam sesi pembentangan ilmu.


Amar yang juga Presiden Iris Remaja Ikatan Islam Selangor berkata mereka juga mengajar peserta daurah perbuatan baik yang boleh dilakukan ketika berada di masjid seperti bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat, bertegur dan memberi salam apabila berjumpa dengan jemaah yang lebih dewasa. 

"Ada juga dalam kalangan peserta tidak tahu perbuatan yang mereka lakukan selama ini sunah dan baik untuk diamalkan, jadi mereka jadi teruja. 

"Pendekatan santai yang kami lakukan membuatkan mereka seronok mendengar kerana bukan mudah meyakinkan mereka mengenai amalan baik Rasulullah itu kerana kita tidak pernah melihat atau berjumpa Nabi SAW.

"Selepas apa yang kami sampaikan itu, ramai memberitahu mereka akan mengamalkan perbuatan sunah itu bukan saja ketika program daurah itu tapi apabila berada di rumah atau di mana-mana pun. Alhamdulillah inilah yang kami mahukan," katanya.  


Antara fasilator (fasi) yang terbabit dalam program Daurah Anak Soleh dan Daurah Remaja Mukmin.


Dalam perkembangan yang sama, beliau mengakui pengaruh gajet membuatkan ramai anak-anak lalai dengan perkara lain yang lebih seronok seperti bermain game. 

Ini tanggungjawab besar fasi bagi memperbetul keadaan dan memberitahu betapa pentingnya sunah dijadikan amalan hidup, boleh gunakan gajet tapi carilah kebaikan suah dalam telefon bimbit. 

"Bagi saya, biarkan kita berikan sedikit kelonggaran kepada golongan kanak-kanak, tak apalah jika mereka bermain asalkan jangan terlalu mengganggu atau membuat bising, biarkan bermain telefon tapi pastikan kandungannya bermanfaat kerana yang penting kita mahu mendekatkan mereka dan tidak takut dengan masjid.

"Harapan saya semoga mereka mesra dengan masjid, usah risau datang ke sini walaupun kadang kala ada pengalaman pahit masa kecil seperti dimarahi ahli jemaah kerana membuat bising atau berlari-lari  dalam masjid.

"Yang penting mereka tahu fungsi rumah Allah ini bukan sekadar untuk beribadah tapi untuk aktiviti sosial lain.

"Sebab itu, saya kagum dengan masjid yang mampu menyediakan kemudahan untuk kanak-kanak dan remaja seperti gelanggang futsal, meja ping pong, komputer, bilik bacaan dan taman permainan," kata Amar lagi. - KitaReporters


Sebahagian peserta Daurah Anak Soleh dan Daurah Remaja Mukmin bergambar kenangan bersama fasi selepas selesai program.

16
10
0
18
0
You will be interested