Insan & Komuniti 17 Nov, 2024

Masya-Allah dah masuk 12 tahun! Breakfast for Free! Usaha mulia Noordeyana dan Projek Jalinan Kasih!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Tim projek Jalinan Kasih sedang agihkan makanan kepada mereka yang setia menanti sejak awal pagi.


Sikap suka bersedekah dan berkongsi rezeki tidak akan membuat seseorang itu jatuh miskin. Malah ada pepatah menyatakan tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima.

Tidak mengapalah jika si penerima itu tidak mampu membalasnya balik. Cukup sekadar mendoakan si pemberi terus dimurahkan rezeki.

Begitulah amalan bersedekah yang dilakukan seorang wanita berusia 41 tahun, Noordeyana Mohd Rashdi, 41, sejak 12 tahun lalu, yang tidak pernah gagal berkongsi rezeki dengan masyarakat umum di Kuantan, Pahang.


Sesiapa sahaja boleh mengambil makanan yang disumbangkan tanpa mengira status, bangsa dan agama.


Bagi Noordeyana, dia tidak pernah mengambil kira status, bangsa mahupun agama ketika menyalurkan sumbangan makanan kepada mereka yang hadir pada pagi Jumaat setiap minggu. 

Menurutnya, usaha yang dilakukan dengan memperkenal projek Breakfast for Free (BFF) atau sarapan percuma itu bermula hanya dengan 20 bungkus nasi lemak yang diserahkan secara rambang sahaja kepada mereka yang berada di sekitar kawasan letak kenderaan Taman Kerang dan Hentian Bas Pokok Buluh.

Ketika itu, Noordeyana bertemankan suami, Ahmad Aizat Yahaya Ariff, 43, menggerakkan misi berkongsi rezeki itu tanpa rasa malu malah bersyukur kerana hasratnya itu diterima oleh masyarakat.


 

Suami (kiri) dan anak-anak merupakan kekuatan Noordeyana Mohd Rashdi untuk terus bertahan dalam misi menyantuni masyarakat umum yang perlukan sumbangan makanan (sarapan).


"Waktu awal-awal buat dulu, memang tebalkan muka memberi kepada orang ramai dan mereka agak hairan kerapa saya berbuat demikian.

"Saya kena terangkan kepada mereka terlebih dahulu supaya tidak salah anggap dan tidak mensyaki apa-apa yang tidak baik terhadap saya dan suami," katanya ketika ditemui selepas program agihan yang diadakan di Hentian Bas Pokok Buluh pada 15 November 2024.

Selain Noordeyana sendiri menyumbang makanan, rakan-rakan daripada kumpulan Projek Jalinan Kasih dan rakan media sosial Facebook selain individu tidak dikenali turut berbuat demikian.

"Alhamdulillah, bermula dengan jumlah yang sangat kecil, hari ini saya mampu menyediakan sehingga 150 bungkusan makanan untuk diedarkan pada setiap Jumaat bermula jam 9.30 pagi. Selagi ada bungkusan makanan, kami akan edarkan sehingga habis.

"Kalau di awal-awal aktiviti BFF ini hanya dengan suami dan beberapa kenalan sahaja, sekarang setiap minggu sekurang-kurangnya 10 orang dari tim ini turut sama membantu," katanya yang juga seorang usahawan sambal hitam Pahang sejak 12 tahun lalu.


Tim Projek Jalinan Kasih sedang membuat agihan makanan.


Ketika ditanya apa yang mendorongnya berbuat demikian, Noordeyana berkata, dia berpegang kepada kata-kata seorang gurunya yang menasihatinya supaya sentiasa gembirakan orang lain walau dengan apa cara sekalipun.

"Kata guru saya, apabila kita bagi orang makan, ajak orang lain turut serta malah gembirakan orang dengan bagi makan, maka Allah SWT akan gembirakan kita dengan cara-Nya dan izin-Nya pula.

"Di sini saya dididik untuk mengenal masyarakat sekeliling. Saya cuma mahu  gembirakan orang dengan kenyangkan perut mereka. 

"Suami pernah cakap, seorang pelacur bagi anjing minum pun dapat masuk syurga kenapa kita nak berkira dengan siapa yang menerima makanan ini. Alhamdullilah sehingga hari ini projek masih berjalan lancar menerusi sumbangan sahabat-sahabat dan orang ramai yang sudi berinfaq," katanya.

Ditanya bagaimana projek BFF mampu bertahan sampai sekarang, Noordeyana berkata semuanya kerana terbit rasa simpati dan belas kasihan terhadap mereka yang setia menunggu setiap minggu.


Beratur untuk mengambil bungkusan makanan.


"Disebabkan dah lama buat, memang ada orang yang sedia menunggu untuk ambil makanan di situ setiap Jumaat, jadi kalau saya tiada, sudah pasti mereka berasa kecewa kerana makanan yang dinantikan tidak kunjung tiba seperti biasa.

"Sesiapa sahaja yang lalu di sekitar situ memang kita panggil untuk mereka ambil. Misinya untuk belanja orang makan," kata ibu kepada empat cahaya mata berusia di antara enam dan 15 tahun.

Noordeyana berkata, dia terharu ketika melihat wajah gembira mereka yang datang terutama golongan gelandangan, orang  susah dan mereka yang tidak perlu jimat berbelanja.

"Ada yang datang menemui saya dengan berkata BFF membuatkan mereka dapat berjimat untuk membeli sarapan pagi walau hanya sekali seminggu," katanya yang hanya mengambil masa kurang satu jam membuat agihan.


Noordeyana berusaha menyediakan 1,000 pek makanan sekali dalam setahun untuk disumbangkan sempena sambutan Maulidur Rasul.

Selain BFF setiap Jumaat itu, Noordeyana juga juga bersama rakan sepasukan akan membuat sumbangan 1,000 bungkusan makanan setahun sekali sempena sambutan Maulidur Rasul. Projek ini sudahpun memasuki tahun ke-10.  

"Saya perlukan kerjasama dan bantuan banyak pihak. Justeru, saya terlebih dahulu akan meuar-uarkan projek ini bagi membolehkan orang ramai turut serta menyumbang sama ada dar segi kewangan atau makanan. Wang yang diterima akan digunakan juga untuk membeli makanan yang akan diagihkan.

"Sesiapa sahaja boleh sertai projek BFF ini.  Tidak ada ketetapan apa pun. Mereka boleh datang dan bersama-sama  membuat agihan malah lebih menyeronokkan kerana dapat bertemu sahabat baharu," katanya lagi.


Usai program BFF, tim Projek Jalinan Kasih akan meluangkan masa bersarapan bersama. 


Tangan yang memberi itu adalah lebih baik daripada tangan yang menerima. Itu perumpamaan sahaja. Ada ketikanya tangan yang menerima itu pula akan memberi kepada orang lain pula. 

Itulah konsep berkongsi rezeki. Tidak salah untuk membuat kebaikan apabila kita diberi izin oleh-Nya. - KitaReporters


14
13
0
11
0
You will be interested