Pesakit buah pinggang yang menerima rawatan dialisis di Hospital Sultanah Maliha Langkawi Zakaria Kasa, 48 tahun, tetap meneruskan bengkel motosikal yang dibukanya sejak 1996 di Kuala Teriang, Langkawi.
Katanya, walaupun dia ke hospital tiga kali dalam seminggu namun bengkel kesayangannya itu tetap diteruskan oleh isteri dan empat orang anak perempuannya.
"Letih selepas dialisis memang tidak dapat dinafikan tetapi sokongan anak, isteri dan pelanggan saya sejak 28 tahun lalu memberikan kekuatan kepada saya untuk meneruskan bengkel ini," sambungnya.
Zakaria dibantu oleh dua orang pekerja Hashim Din, 46, yang mempunyai masalah pendengaran dan Hafizi Masri anak muda yang berusia 24 tahun.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Mael Pomen dalam kalangan penduduk di Kuala Teriang dan yang berdekatan menyediakan perkhidmatan membaiki motosikal dan ada juga yang menjadikannya sebagai tempat rujukan sebelum membeli motosikal.
Bengkelnya dibuka setiap hari kecuali Jumaat dan beroperasi mulai jam 11 pagi hingga 6 petang.
Ketika ditemui Mael berkata, dia berhasrat untuk membuka kedai yang lebih besar termasuk menjadi pengedar alat ganti dan aksesori motosikal di Langkawi.
Bercakap mengenai cara dia mempromosikan bengkelnya itu, Mael berkata, mereka yang datang ke bengkelnya untuk memperbaiki motosikal akan memberitahu kepada rakan-rakan atau penduduk yang mempunyai masalah kerosakan motorsikal untuk dibaiki.
"Saya selalu mengingatkan kepada isteri, anak-anak dan pekerja sentiasa memberi layanan yang baik kepada mereka yang datang untuk membaiki motosikal di sini," sambungnya lagi ketika ditemui.
Dalam pada itu sebagai pengusaha bengkel, Mael juga sentiasa mendapatkan pandangan daripada mereka sama ada berpuas hati atau tidak termasuk mohon cadangan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik.
Moga semua pihak dapat terus beri sokongan kepada Mael dan keluarga untuk berjaya dalam perniagaannya nanti. - KitaReporters