Warga emas terpegun melihat rakan mereka kelihatan cantik selepas disolek FazsFaozi.
WAJAH lesu dan makin berkedut pada usia warga emas tidak seharusnya diserikan dengan tamparan bedak sejuk yang diperbuat daripada beras sebagai pupur muka (bedak muka) semata-mata kerana pada penghujung usia tidak salah wajah perlukan juga sentuhan solekan kosmetik moden terkini.
Bukan bertujuan untuk melawa bagi menarik perhatian orang,
tetapi warga emas itu sekadar mengisi kesunyian hati apabila terperap sepanjang
masa di pusat jagaan selepas saban hari memandang rasa kerana tersisih daripada
ahli keluarga, waris dan hidup sebatang kara.
Seakan dapat meneka kemahuan warga emas berkenaan, Syarikat Fazsfaozibeaute menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sentuhan Kasih di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, apabila membuat kelainan iaitu menyerikan wajah warga emas perempuan dengan solekan kosmetik terkini pada 8 Oktober 2024.
Fazlina Mohd Faozi menyolek seorang warga emas supaya kelihatan muda dan cantik berseri.
Menggunakan produk keluaran syarikat itu, beberapa warga emas diberi pilihan untuk memilih bentuk solekan idaman mereka selama ini yang akan disempurnakan sendiri oleh pengasas dan juga pengarah syarikat berkenaan, Fazlina Mohd Faozi atau FazsFaozi.
Berucap pada program berkenaan, Fazsfaozi, berkata program itu yang diadakan sempena Hari Warga Emas Kebangsaan merupakan layanan Istimewa syarikat kepada warga emas perempuan di PJMM antara usaha memenuhi impian mereka di samping memberi sokongan emosi serta inspirasi untuk berasa disayangi.
Menurutnya, program itu juga diharapkan dapat
membantu meningkatkan keyakinan diri serta menyuntik motivasi dalam kalangan
warga emas untuk ceria dan menerima hakikat hidup apabila dapat beramah mesra
bertukar-tukar cerita pengalaman hidup dilalui.
Tambahnya, selepas lima tahun beroperasi syarikat ingin berkongsi rezeki keuntungan dengan warga emas di PJMM supaya dapat menyantuni dan menggembirakan hati mereka supaya tidak berasa tertekan walaupun bertahun-tahun menjadi penghuni di pusat jagaan.
FazsFaozi (berdiri di tengah empat dari kiri) bersama warga emas (duduk) yang disolek cantik.
“Dalam program ini solek ubah suai atau ‘makeover' merupakan
acara menjadi tumpuan kerana ramai warga emas perempuan yang mahukan wajah
mereka disolekkan seperti gadis remaja sekarang dan melupakan seketika
menggunakan bedak sejuk.
“Sumbangan barangan keperluan asas dan wang menjadi pencetus
kepada syarikat untuk berbincang semula bagi mengadakan peruntukan khas supaya
dapat disalurkan setiap bulan kepada tabung infak PJMM sebagai membantu
meringankan kos operasi mereka,” ujarnya yang merupakan juruselok profesional.
Turut hadir pada program itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; setiausahanya, Muhammad Syafiq Mohiadin; penasihat serta pengurus PJMM, Mohiadin Bahado dan Sazali Mohiden.
Turut memeriahkan acara beramah mesra dengan warga emas dalam program itu barisan lembaga pengarah syarikat berkenaan termasuklah Mohd Faozi Mukhlas dan Pengurus Penjenamaan dan Komunikasi Korporat, Suffiah Hakikin Mohd Faozi.
Kakitangan Syarikat Fazsfaozibeaute berkerjasama menyediakan makan tengah hari untuk warga emas PJMM.
Sementara itu, Suffiah Hakikin berkata, program CSR itu
merupakan kali pertama diadakan dengan membabitkan warga emas di pusat jagaan
sebagai tanda kesyukuran apabila syarikat semakin berkembang dalam perniagaan
barangan kosmetik bebas daripada bahan kimia terlarang.
Jelasnya, selain dapat menggembirakan hati warga emas itu
yang mungkin terlalu rindu kepada ahli keluarga selepas tersisih sehingga
terdampar di pusat jagaan sebagai jalan terakhir untuk berlindung, pihak syarikat amat
menagihkan doa mereka untuk kejayaan pada masa depan.
“Walaupun pertemuan kami itu hanya beberapa jam sahaja dan
berakhir dengan jamuan makan tengah hari, namun ia meninggalkan rasa yang amat
terharu apabila dapat menyantuni warga emas ini sebagai seorang ibu atau bapa
tersayang.
“Kehadiran kami diharapkan memberi semangat baharu serta keyakinan diri kepada warga emas ini terutama untuk bersabar meneruskan kehidupan walaupun uzur kerana menghidap pelbagai penyakit berikutan usia yang sudah lanjut,” katanya lagi. - KitaReporters
Muhammad Syafiq Mohiadin memberi penerangan mengenai keadaan warga emas yang uzur dan terlantar di atas katil.
Mohiadin Bahado (dua dari kiri), Muhammad Syafiq dan Sazali Mohiden gembira menerima sumbangan dari Syarikat Fazsfaozibeaute.