Insan & Komuniti 14 Mar, 2025

Syabas BMG Burgerman! Anjur program infak Ramadan! Santuni komuniti setempat sambil kongsi rezeki!

@dsa wahab
Memulakan kerjaya sebagai wartawan sepenuh masa di bahagian majalah Karangkraf, kemudian ke akhbar cabaran Sinar Harian sebelum menjadi wartawan sambilan di Utusan Malaysia. Apapun sekali saya menulis, selamanya tetap menulis...

Share this

.


Infak Ramadan BGM Burgerman


Bagi menyemarakkan lagi keberkatan bulan Ramadan, produk makanan segera bercita rasa tempatan ‘BGM Burgerman’ tampil menyantuni komuniti setempat sambil berinfak dalam berkongsi rezeki.

Ini antara rangka usaha mereka dalam memperkukuh semangat kebersamaan bersama komuniti setempat.

BGM Burgerman yang sudah beroperasi sejak November tahun lalu (2024) di Kompleks Bangi Gateway, Bangi, berazam menjadikan Ramadan pertama ini sebagai permulaan mendekati masyarakat dengan lebih dekat lebih-lebih lagi golongan kurang bernasib baik.


Burgerman bersama-sama anak-anak istimewa.


Pengurus Besar Burgerman, Nordin Mat berkata, dengan cara demikian, bukan sahaja dapat memberi sumbangan malahan dengan amalan cakna seperti ini dapat mengenal pasti terdapat banyak pusat penjagaan di kawasan sekitar yang memerlukan sokongan dan bantuan.

Menurutnya, pusat-pusat tersebut bukan sahaja milik agensi malah persendirian yang wujud tanpa disedari.

"Selain kita memberi tumpuan kepada operasi perniagaan, pihak pengurusan Burgerman telah menyusun jadual sepanjang Ramadan ini. 

"Sejak daripada hari pertama berpuasa lagi hampir setiap hari kami mengunjungi pusat-pusat penjagaan membabitkan pusat jagaan kanak-kanak istimewa, rumah orang tua, rumah anak yatim, madrasah, pusat tahfiz, kumpulan NGO, individu dan banyak lagi.

“Alhamdulillah… Untuk infak perkongsian rezeki ini, pelbagai jenis produk makanan yang kami ada disumbangkan mengikut kesesuaian dan cara pemakanan mereka. Insya-Allah, semoga usaha ini berjaya.

"Tidak hanya tertumpu kepada waktu berbuka puasa sahaja, malahan moreh dan sahur juga tidak dilupakan," katanya kepada KitaReporters, ketika ditemui di premisnya di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor.



Walaupun baru empat bulan beroperasi sepenuhnya, BGM Burgerman sudah berjaya menambat hati penduduk terutama yang tinggal di sekitar Bangi apabila pemerhatian KitaReporters mendapati kedai makanan segera ini diterima baik oleh masyarakat setempat. Nampaknya satu permulaan memberansangkan.

Apa yang dapat digambarkan, ternyata BGM Burgerman berjaya mengubat kerinduan setelah sekian lama tidak menikmati hidangan makanan segera. 

Selain menikmati hidangan signature burgernya, makanan seperti ayam goreng, nuget, kentang goreng dan aiskrim yang tidak menghampakan. Paling syok tatkala menikmati buburnya. Jangan tidak tahu, nasi lemak pun ada di sini tau.


Burgerman berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat bukan hanya untuk waktu berbuka puasa malah termasuk moreh atau sahur. 


Mengulas lanjut, Nordin berkata, banyak perkembangan yang diperoleh oleh Burgerman susulan respons yang positif daripada masyarakat dan komuniti sejak melancarkan program mendekati komuniti setempat pada Ramadan 1446H/20025M ini.

Katanya, komuniti adalah keutamaannya jadi pelbagai cara dan kaedah dilakukan oleh pihak Burgerman untuk mendekati mereka.

“Bila kita mula buat program infak kemasyarakatan macam ini, banyak juga 'feedback' hinggakan tidak sangka ada juga pihak-pihak tertentu termasuk individu turut bersama-sama ingin membuat amal kebajikan seperti ini.

“Tidak susah, kerana kami lebih suka memudahkan. Mereka mula menyumbang kepada kami, dan kami sedia laksanakan amanah mereka itu.

“Jika kami tidak ke mana-mana, kami akan edarkan infak di hadapan premis ini sahaja, pendek kata setiap hari pasti ada dalam pelbagai bentuk dan kaedah agar kami dapat mencari peluang mendekati sekali gus membuat kebajikan bersama orang-orang di sini,” katanya lagi.


Pihak swasta mahupun persendirian juga ada yang turut serta dalam program infak seumpama ini.


Sementara itu, bercakap mengenai produk pula, kata Nordin, BGM Burgerman menggunakan produk-produk Malaysia yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan tempatan dari segi roti, patti daging, sos, ayam, tepung dan lain-lain… semuanya bahan tempatan.

Tambahnya lagi, jadi para pelanggan tidak perlu bimbang sama ada dari segi halal atau sebarang keraguan yang lain mengenai produk Burgerman.

“Ramai orang ingat kami menggunakan bahan dari luar (import)… tidak! Semua guna bahan homegrown (buatan tempatan), kita juga ingin membantu usahawan-usahawan tempatan.

"Percaya dan yakin, pelanggan dapat menikmati Burgerman yang dihasilkan daripada bahan-bahan segar menggunakan sumber tempatan," katanya.

BGM Burgerman juga ada beberapa perancangan melebarkan sayapnya ke beberapa kawasan strategik lagi. Mungkin akan menambah cawangan di Shah Alam, Selangor dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada tahun ini (2025) berikutan permintaan memberangsangkan.

Selepas ini, lebih ramai yang dapat menikmati hidangan makanan segera cita rasa tempatan. Tak sabar pula nak tunggu cawangan baharu. - KitaReporters

10
11
0
13
0
You will be interested