Insan & Komuniti 27 Dec, 2023

Tiga mangsa terperangkap banjir! Satu berada di atas pokok! Berjaya diselamatkan pasukan penyelamat!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

 

Rumah pam yang ditenggelami banjir di Lata Tembakah, Hulu Besut. - Kredit gambar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Jertih


TIGA lelaki yang terperangkap dalam kejadian banjir di rumah pump di Sungai Lata Tembakah, Hulu Besut bersyukur nasib mereka terselamat daripada bencana lebih buruk apabila pasukan penyelamat bertindak pantas menyelamatkan mereka yang sedang terkepung dengan air banjir. 

Ketiga-tiga mangsa terlibat dikenali sebagai Muhamad Fikri Bukhari, 22;  M. Nue Zamzami Idris, 26; dan Mukriz Abu Bakar, 29.

Mukriz berkata, beliau hampir buntu memikirkan nasib yang dialami ketika berada di rumah pam tersebut kerana semua lokasi sudah dipenuhi air dan sukar untuk berenang menyelamatkan diri kerana jauh dari tebing sungai, 

Bagaimanapun, katanya, mereka bernasib baik kerana pasukan penyelamat yang dikejarkan ke lokasi berjaya menyelamatkan mereka bertiga daripada kejadian tersebut. 


Seorang mangsa menyelamatkan diri di atas pokok sebelum pasukan penyelamat tiba.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, pasukan penyelamat menggunakan bot untuk ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.30 petang (25 Disember 2023) dan seramai 10 anggota penyelamat daripada bomba, polis, APM dan ATM bergegas ke lokasi.

"Sewaktu tiba di lokasi kita mendapati dua mangsa berada di dalam rumah pam, manakala seorang lagi mangsa berada di atas pokok yang terletak kira-kira tiga meter dari rumah pam berkenaan. 

"Sebelum itu, kesemua mangsa bertindak menyelamatkan diri apabila paras air meningkat dengan mendadak di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan mereka terperangkap," katanya.

Beliau berkata, keadaan arus yang deras menyebabkan kesukaran untuk pasukan penyelamat ke lokasi, namun bagaimanapun kesemua mangsa berjaya di bawa keluar dan dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan.  

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling dan segera berpindah sekiranya kawasan mereka berisiko banjir. - KitaReporters


Anggota pasukan penyelamat menyelamatkan mangsa yang berada di atas pokok berhampiran rumah pam di Lata Tembakah, Hulu Besut

12
20
1
16
0
You will be interested