Tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM) yang yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan
kedaulatan perairan negara komited
memberikan bantuan kemanusiaan tanpa mengira kewarganegaraan.
Ini terbukti apabila TLDM menyelamatkan dua warganegara Indonesia setelah bot mereka karam dan dihanjutkan di Pulau Jarak, Perak.
Menurut Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM Lumut Perak, misi penyelamatan bermula apabila pesawat Fennec TLDM yang sedang melakukan rutin tinjauan udara mengesan dua individu di kawasan berhampiran Stesen Jarak TLDM.
Katanya, susulan
itu, Fast Combat Boat (FCB) segera diatur gerak untuk melakukan pemeriksaan dan
mendapati kedua-duanya adalah mangsa bot karam.
“Kedua-dua mangsa yang diselamatkan ialah Adi Syahpotra, 41 tahun, dan Mohd Faoze, 46 tahun, kedua-duanya warganegara Indonesia yang berasal dari Belawan.
“Kedua-dua nelayan itu dibawa pulang ke Tambatan Pangkalan Lumut dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan pada 1 Disember 2025.

Kenyataan itu menyebut, setibanya di pangkalan, kedua-dua nelayan tersebut diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut mengikut prosedur dan perundangan antarabangsa.
Sehubungan itu, TLDM menasihatkan komuniti maritim agar memastikan bot berada dalam keadaan baik dan sentiasa peka terhadap perubahan cuaca bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini. -KitaReporters
