Dalam landskap global yang terus berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan, Islamic Relief membuktikan bahawa amanah dan kepercayaan awam mampu diterjemahkan kepada impak yang nyata, terukur dan berterusan.
Dengan 41 tahun kredibiliti pada peringkat antarabangsa serta 21 tahun pengalaman di Malaysia, Islamic Relief melabuh tirai tahun 2025 sebagai satu lagi tahun penting dalam usaha menyelamat dan mengubah kehidupan jutaan insan rentan di seluruh dunia.
Agihan makanan panas di Gaza.
2025: Amanah Awam, Impak Global
Sepanjang tahun 2025, Islamic Relief telah memberi impak di 35 buah negara dengan melaksanakan 607 projek kemanusiaan, termasuk 137 projek kecemasan dan 466 projek pembangunan jangka panjang.
Melalui pendekatan bersepadu yang mengutamakan keperluan sebenar komuniti, hampir 26.7 juta individu menerima manfaat secara langsung daripada projek-projek ini.
Antara negara yang mendapat bantuan meluas daripada Islamic Relief ialah Palestin (Gaza), Sudan, Ethiopia, Syria, dan Lubnan.
Fokus bantuan meliputi sektor kehidupan mampan dan keselamatan makanan (hampir 7.3 juta penerima), bantuan kesihatan (lebih 5 juta penerima), pendidikan, air, sanitasi & kebersihan (WASH), bantuan tunai serta perlindungan kanak-kanak, termasuk lebih 85,000 anak yatim yang menerima tajaan di 26 buah negara, dengan hampir 22,500 daripadanya di Gaza.
Bantuan khemah di Sudan.
Bantuan Kemanusiaan: Berfokus, Tersusun dan Berakauntabiliti
Dalam melaksanakan bantuan kemanusiaan di pelbagai konteks krisis dan pembangunan di seluruh dunia, Islamic Relief mengamalkan pendekatan operasi yang berfokus dan berasaskan kehadiran lapangan melalui rangkaian pejabatnya di negara-negara operasi.
Pendekatan ini memastikan bantuan dapat disalurkan secara pantas, tepat dan berimpak tinggi, selaras dengan keperluan sebenar komuniti yang terjejas.
Sejak penubuhannya pada tahun 1984, Islamic Relief sentiasa menitikberatkan amalan tadbir urus yang baik, dengan penekanan yang jelas terhadap akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan sumbangan dana awam.
Setiap projek bantuan dilaksanakan melalui rangkaian pejabat Islamic Relief pada peringkat negara, dengan setiap transaksi kewangan tertakluk kepada proses kelulusan, pemantauan dan kawalan yang ketat oleh ibu pejabat Islamic Relief Worldwide, sebelum dana disalurkan kepada pejabat lapangan seperti Islamic Relief Palestin, Syria, Sudan dan negara operasi lain.
Dalam melaksanakan mandat kemanusiaannya, Islamic Relief berpegang teguh kepada prinsip berkecuali, tidak berpihak dan bebas daripada sebarang pengaruh politik, serta komited untuk menyampaikan bantuan secara adil, berprinsip dan berterusan, selaras dengan mandat kemanusiaan jangka panjangnya pada peringkat global.

Projek bekalan air bersih di Somalia.
Islamic Relief Malaysia: Impak Nasional dan Antarabangsa 2025
Di Malaysia, Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) telah memberi manfaat kepada 36,793 individu melalui pelbagai inisiatif bantuan, termasuk bantuan bermusim Ramadan dan Qurban, respons kecemasan bencana banjir dan kebakaran, serta program pendidikan dan pembangunan belia seperti Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE), Cheer To School (CTS) dan INSPIRE (program sukarelawan Islamic Relief).
Pada peringkat antarabangsa pula, IR Malaysia telah membantu 49,450 penerima manfaat, meliputi bantuan kecemasan di Gaza dan Aceh, projek WASH di Bangladesh, Somalia dan Syria, serta program tajaan anak yatim dan keluarga.
Usaha-usaha ini secara tidak langsung dapat memperkukuh peranan Malaysia sebagai rakan strategik kemanusiaan dalam rangkaian global Islamic Relief.

Bantuan pek makanan kepada keluarga terjejas banjir di Beaufort, Sabah.
Perancangan 2026: Perkukuh Daya Tahan dan Maruah
Memasuki tahun 2026, IR Malaysia merancang untuk memperluas bantuan dengan lebih strategik dan mampan.
Di Malaysia, fokus akan diberikan kepada agihan Ramadan dan Qurban, bantuan kecemasan seperti banjir dan kebakaran, projek kehidupan mampan seperti hidroponik, keusahawanan, Gift of Hope (GOH), serta meneruskan projek pendidikan seperti RISE, CTS dan INSPIRE.
Pada peringkat antarabangsa, bantuan kecemasan, Ramadan, Qurban, dan musim sejuk akan diutamakan di kawasan berisiko tinggi termasuk Palestin, Syria, Lubnan, Sudan dan Yaman, di samping melaksanakan projek WASH di Bangladesh, Somalia dan Syria, serta pengukuhan sokongan kesihatan dan pendidikan untuk tajaan anak yatim dan tajaan keluarga anak yatim.

Proses pembersihan pascabanjir di Perlis.
Ketelusan dan Tadbir Urus: Teras Kepercayaan Awam
Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan antarabangsa yang ditubuhkan sejak 1984, Islamic Relief beroperasi di bawah struktur tadbir urus global yang dipantau oleh Perhimpunan Agung Antarabangsa (International General Assembly, IGA) sebagai badan tertinggi yang memastikan akauntabiliti dan pengawasan menyeluruh.
Komitmen ini diperkukuh melalui pematuhan kepada Core Humanitarian Standard (CHS), keahlian penuh INGO Accountability Charter, serta pematuhan Kod Tatakelakuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.
Di samping itu, Islamic Relief diaudit secara berkala oleh Grant Thornton dan dipantau oleh Charity Commission, United Kingdom, bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti berterusan.
Islamic Relief turut tersenarai dalam 20 NGO terbaik dunia oleh NGO Advisor pada tahun 2017 berdasarkan penilaian dalam aspek ketelusan, impak dan kreativiti, selain menerima pelbagai pengiktirafan berprestij pada peringkat nasional dan antarabangsa termasuk The BrandLaureate CSR BrandLeadership Award bagi kategori kemanusiaan pada tahun 2018 dan Iconic Women Creating a Better World for All pada 2025, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap integriti dan profesionalisme organisasi ini.
Setiap sumbangan awam diurus secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab, serta melalui proses audit yang ketat bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang paling memerlukan dengan bermaruah dan berimpak tinggi.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menyerahkan tilam baharu kepada adik Yusri yang kehilangan rumah dalam tragedi banjir Acheh 2025.
Memperkasa Kerangka Tadbir Urus Kemanusiaan
Dalam dunia yang semakin diuji oleh konflik berpanjangan, krisis iklim dan bencana alam yang semakin kerap, keperluan bantuan kemanusiaan terus meningkat secara mendesak, menuntut bukan sahaja keupayaan pelaksanaan yang berkesan, tetapi juga ekosistem sektor kemasyarakatan yang telus, berakauntabiliti dan diyakini rakyat.
Seiring pertumbuhan industri sektor ketiga (third sector) di Malaysia, IR Malaysia menyokong penuh sekiranya Malaysia menubuhkan sebuah badan pemantau bebas seperti Charity Commission bagi memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti organisasi kebajikan dan kemanusiaan.
Memasuki tahun ke-22 operasi di Malaysia dan bernaung di bawah rangka tadbir urus global Islamic Relief Worldwide, IR Malaysia komited untuk terus menyumbang kepakaran dan amalan terbaik demi membina sektor kemanusiaan yang profesional, mampan dan berdaya tahan, selari dengan agenda kemanusiaan 2026.
IR Malaysia akan terus berdiri sebagai organisasi kemanusiaan yang berprinsip, diyakini dan berkesan demi memastikan dunia yang lebih prihatin dan adil, dapat diwujudkan. - KitaReporters/Kenyataan Media