Perdana Menteri melancarkan terjemahan al-Quran Bahasa Rusia, dan sekali gus meluncurkan Mushaf Ummah al-Jami’ di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. Selain itu, Perdana Menteri juga telah melakukan majlis pelepasan (Flag-off) Lori 1 kontena yang mengandungi Terjemahan al-Quran Bahasa Inggeris dan Sepanyol untuk diedarkan di luar negara. - KitaReporters

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan terjemahan al-Quran Bahasa Rusia (bahasa terjemahan yang ke-30), dan sekali gus meluncurkan Mushaf Ummah al-Jami’ di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya pada Jumaat, 8 Ogos 2025.
Selain itu, Perdana Menteri juga telah melakukan majlis pelepasan (Flag-off) Lori 1 kontena yang mengandungi Terjemahan al-Quran Bahasa Inggeris dan Sepanyol untuk diedarkan di luar negara.
Menurut beliau, projek terjemahan al-Quran dan Mushaf Ummah al-Jami’ ini merupakan inisiatif Kerajaan Madani bersama Yayasan Restu untuk menyebarkan mesej al-Quran ke seluruh dunia melalui terjemahan rasmi dalam 30 bahasa.

"Pelancaran Mushaf Ummah al-Jami’ adalah usaha yang mengumpulkan 20 riwayat melalui 10 Qiraat Mutawatir mengikut kaedah rasm Uthmani, yang dihasilkan oleh tenaga pakar anak tempatan Malaysia di bawah Yayasan Restu dan Nasyrul Quran," jelasnya.
Beliau berkata, usaha yang memakan masa lebih 5 tahun ini dihasilkan sebagai rujukan global unggul untuk menyebarkan ilmu dan khidmat terhadap al-Quran, demi manfaat umaf Islam seantero dunia.
"Penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menjayakan usaha ini, terutama buat Fadhilatus Syeikh Dr. Isa El-Ma’sarowy yang telah memberikan sumbangan ilmu dan kepakaran dalam pembacaan kesemua riwayat qiraat tersebut.
"Para pencinta al-Quran dan penuntut ilmu boleh mendengar bacaan dari pelbagai riwayat melalui kod QR yang disertakan di dalam mushaf ini," katanya lagi.

Perdana Menteri menekankan bahawa tindakan mencetak lebih banyak naskhah al-Quran adalah pendekatan yang penuh hikmah dalam menyampaikan mesej dakwah.
"Umat Islam adalah umat yang penuh dengan hikmah, pengetahuan dan kearifan, bukan umat yang dipenuhi sikap bengis dan amarah.
"Usai solat Jumaat di Nasyrul Quran, saya bersama seluruh tetamu dan jemaah surau telah membuat majlis pelepasan (Flag-off) Lori 1 kontena yang mengandungi Terjemahan al-Quran Bahasa Inggeris dan Sepanyol untuk diedarkan di luar negara.
"Program ini sejajar dengan visi Malaysia Madani yang memberikan penekanan terhadap aspek nilai, akhlak, dan adab," tambah Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media
