Insan & Komuniti 11 Jan, 2026

Diari Mama Masscom| Video| Setiap takdir Allah itu indah! Walaupun kita menangis ketika menerimanya!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Kita biasa dengar ayat ini, setiap takdir Allah itu indah. Tapi bila ujian datang tanpa henti, ayat itu kadang-kadang terasa sukar untuk diterima.

Saya juga manusia biasa. Pernah saya bertanya dalam doa yg saya panjatkan pada Allah: “Kenapa hidup aku begini, ya Allah, kenapa aku yg jadi pilihan-Mu, untuk lalui ujian-ujian ini?”




Anak sulung penulis yang menderita sakit skizofrenia sejak 20 tahun lalu.


Kira-kira 20 tahun lalu, anak perempuan saya diuji dengan masalah kesihatan mental. 

Daripada seorang yang bijak. Graduan dalam bidang software engineering, dari sebuah universiti tempatan, seorang yang sangat tinggi budi bahasanya, dia menjadi seorang yang kosong dan tidak dapat berfikiran waras dengan perlakuan yang aneh.  

Bukan sekejap, tapi dua puluh tahun lamanya dia menjalani hidup sebagai pesakit skizofrenia -- sejenis sakit mental yang kronik. Dari usia 24 tahun, hingga sekarang 44 tahun. dia hanya hidup dalam dunianya sahaja. 

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, suami pula diuji dengan strok sejak 8 tahun lalu dan sejak diserang stroke kali kedua Februari 2025, suami saya kini sudah terlantar, tidak mampu mengurus diri sendiri. Dia bergantung sepenuhnya pada saya. 

Dengan dua ahli keluarga yang sakit dan memerlukan penjagaan dan rawatan yang rapi, situasi ini sangat menekan hidup saya yang kini berusia 65 tahun. 

Sepatutnya pada usia ini saya sudah berehat, menikmati hari-hari tua dengan tenang dan bahagia. Tapi kita merancang, Allah yang menentukan segalanya. 


Suami penulis yang mengalami sakit strok


Dalam menjalani hidup sebagai caregiver atau penjaga pesakit, perlahan-lahan saya belajar satu perkara. Yang sakit itu bukan takdir, tapi yang sakit ialah cara kita melihat takdir. 

Awalnya memang terasa berat menggalas tanggungjawab ini, namun lama-lama saya mula redha dan pasrah dengan takdir ini. Sesungguhnya saya tidak dapat lari daripada ketentuan Ilahi.

Allah berfirman: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah: 286)

Ayat ini sangat jelas dan memberi ketenangan pada jiwa saya yang resah. Maknanya, kalau kita sedang diuji hari ini, itu bukan bererti Allah mahu menghukum atau benci pada kita , tetapi kerana Allah tahu kita mampu bertahan, walaupun dengan air mata dan kepenatan yg hanya kita yang merasainya.

Pakar psikologi terkenal, Viktor Frankl, pernah berkata: “When we are no longer able to change a situation, we are challenged to change ourselves.” (Apabila kita tak mampu mengubah keadaan, kita dicabar untuk mengubah kekuatan dalam diri.)

Kita mungkin tak boleh memilih takdir tetapi sikap kita terhadap takdir itu adalah pilihan kita.

Allah juga mengingatkan: “Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.” (Surah Al-Insyirah: 5–6)

Ayat ini penuh makna. Kerana dalam ayat berkenaan, Allah jelaskan bukan selepas kesukaran, tetapi bersama kesukaran. Maknanya, dalam ujian yang berat itu sendiri, Allah sudah selitkan kekuatan, pertolongan dan hikmah, cuma mata hati kita belum nampak.

Pakar motivasi Islam, Dr. Aidh al-Qarni, pula pernah menyebut: “Kesedihan tidak mengubah takdir, tetapi kesabaran mampu mengubah cara kita melaluinya.”



Kita tak boleh lari daripada takdir Allah tapi kita boleh menghadapinya dengan berani.

Insya-Allah, dengan penuh semangat dan melakukan yang terbaik, walau sedikit kita boleh menerima takdir itu dengan hati yang terbuka. 

Perlahan-lahan, kita sesuaikan diri dengan takdir yang Allah beri kepada kita ni.  Kalau hari ini kita rasa lemah dan berat untuk pikul tanggungjawab dan amanah ini, itu tak bermakna kita telah  gagal. Itu tanda kita sedang berjuang semampu kita.

Allah berfirman lagi: “Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.” (Surah Az-Zumar: 53)

Justeru, kepada semua yang sedang diuji Allah dengan pebagai ujian yang berbeza, bangkitlah perlahan-lahan. 

Jika tak mampu berlari, berjalan. Jika tak mampu berjalan, merangkak. Asalkan jangan berhenti. Kerana di sebalik takdir yang kelihatan pahit, ada kebaikan yang sedang Allah susun dengan sangat rapi dan indah untuk kita. 

Di situ juga terletak rahsia Allah untuk kita cari.  

Suatu hari nanti, kita akan faham mengapa Allah pilih jalan ini untuk kita dan ketika itu, baru kita sedar takdir Allah itu memang indah, penuh dengan pengajaran dan hikmah hikmah tertentu. 

Cuma ia perlu dilalui dengan iman dan sabar. - KitaReporters

11
17
1
7
0
You will be interested