Insan & Komuniti 14 Nov, 2025

Keluarga bahagia asas kekuatan masyarakat, kestabilan negara! Peranan wanita perlu diperkukuh!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

“Keluarga yang bahagia adalah asas kepada kekuatan masyarakat dan kestabilan negara.”

Itulah antara intipati pesanan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan merasmikan Sambutan Hari Sayyidatina Asma 2025 dan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2025 peringkat negeri di Dewan Sivik Arau yang berlangsung pada 7 hingga 9 November 2025 lalu.



Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri itu menjadi platform memperkukuh nilai kasih sayang serta peranan wanita dalam membentuk keluarga sejahtera dan masyarakat penyayang.
Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Sayyidatina Asma 2025 kepada Datuk Surina Saad, mantan Ketua Polis Perlis, atas ketokohan dan dedikasi beliau dalam bidang kepimpinan serta pembangunan wanita.

Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil (dua dari kiri) berkenan menyempurnakan pemakaian selempang kepada Surina Saad sebagai penerima Anugerah Tokoh Sayyidatina Asma 2025 pada majlis sambutan di Dewan Sivik Arau.
Sementara itu, tiga pasangan turut menerima Bantuan IUI dan Advokasi Infertiliti (BuAI) sebagai simbol sokongan terhadap usaha membina institusi kekeluargaan yang lengkap dan bahagia.

IUI merujuk kepada Intrauterine Insemination atau Inseminasi Intrauterin (Inseminasi atau Pensenyawaan Dalam Rahim).

Program tiga hari yang berlangsung dari 7 hingga 9 November itu disemarakkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk Women’s Talk Siri 2, Konvensyen Wanita, Family Fun Walk, Pertandingan Mewarna, dan Jualan Rahmah yang mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.
Turut menyerikan suasana ialah persembahan khas oleh kumpulan Caliph Buskers dan In-Team yang menghiburkan pengunjung di samping kempen derma darah serta cabutan bertuah.

Raja Puan Muda Perlis (dua dari kiri) berkenan bergambar dengan pemenang Anugerah Tokoh Sayyidatina Asma.
Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Wan Badariah Wan Saad, penganjuran kali ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh dasar kekeluargaan dan memperkasa wanita sebagai agen perubahan sosial.
Katanya, tema sambutan kali ini menonjolkan semangat Sayyidatina Asma sebagai lambang keberanian, kebijaksanaan dan kekuatan wanita Islam yang wajar dijadikan teladan oleh semua lapisan masyarakat.
Sambutan itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi wadah penyatuan masyarakat ke arah pembentukan keluarga bahagia, masyarakat prihatin dan negeri yang sejahtera. - KitaReporters

Raja Puan Muda Perlis bergambar bersama penerima Anugerah Tokoh Sayyidatina Asma 2025, Surina Saad, serta peserta dan penganjur sempena Sambutan Hari Sayyidatina Asma dan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2025 peringkat negeri Perlis.
8
11
0
12
0
You will be interested