Insan & Komuniti 18 Jul, 2025

Tikus berbahaya! Bawa pelbagai penyakit! Kempen kesedaran basmi tikus di pasar awam digerakkan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this

Kharul Amir Mohamad Zubir (tengah) ketika melawat pameran tikus di Aulong, Taiping.

Isu kehadiran tikus di kawasan pasar bukanlah perkara baharu. Ini kerana tikus bukan sahaja menimbulkan rasa jijik dan ketidakselesaan, malah boleh merosakkan barangan jualan serta mengancam kesihatan awam.

Ia menjadi pembawa kepada pelbagai penyakit berbahaya seperti leptospirosis, salmonellosis, hantavirus dan penyakit sampar.

Justeru, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memilih Pasar Awam Aulong di Taiping sebagai lokasi pelancaran Kempen Pembasmian Tikus di Pasar Awam 2025 kerana pasar ini merupakan salah satu pasar yang paling aktif dan menjadi tumpuan penduduk di sekitar Bandar Taiping.


Khairul Amir Mohamad Zubir (empat kanan) ketika melancarkan Kempen Pembasmian Tikus 2025 di Aulong, Taiping.

Aktiviti perniagaan yang pesat di pasar ini menjadikan aspek kebersihan dan kawalan vektor seperti tikus sangat penting untuk diberi perhatian.

Seperti kata Yang di Dipertua MPT Khairul Amir Mohamad Zubir, penganjuran kempen ini mencerminkan kesungguhan MPT dalam memastikan semua pasar awam di bawah seliaannya berada dalam keadaan bersih, selamat dan sihat untuk para peniaga serta pengunjung. 

Ia juga selaras dengan agenda MPT untuk melestarikan pengurusan pasar awam yang bukan sekadar dari sudut kemudahan fizikal, tetapi juga dari aspek kesihatan awam dan kebersihan persekitaran.

“Kempen ini bukan sekadar tertumpu kepada tindakan pembasmian fizikal, tetapi lebih penting ialah usaha menyemai kesedaran dalam kalangan semua pihak mengenai kepentingan menjaga kebersihan secara berterusan dan kolektif.

“Tanggungjawab menjaga kebersihan pasar tidak hanya terletak di bahu pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) semata-mata. Ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk para peniaga, pelanggan dan penduduk setempat,” katanya dalam ucapan pada program Kempen Pembasmian Tikus di Pasar Awam 2025 yang bertempat di Pasar Awam Aulong, Taiping pada 17 Julai 2025.


Petugas MPT dan orang ramai menyertai senamrobik sebelum menyertai Kempen Pembasmian Tikus 2025 di Aulong, Taiping.

Sehubungan itu, Khairul Amir berkata, MPT akan memastikan pengurusan sisa dan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan mengikut jadual. 

Manakala para peniaga pula bertanggungjawab memastikan makanan disimpan dengan sempurna, sisa dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan, serta tidak mencemarkan sistem saliran seperti longkang.

Beliau berkata, Taiping mempunyai 11 pasar awam yang berada di bawah seliaan MPT iaitu Pasar Awam Tupai, Pasar Awam Pokok Assam, Pasar Awam Sri Kota, Pasar Awam Taman Kaya, Pasar Awam Simpang, Pasar Awam Trong, Pasar Awam Taiping, Pasar Awam Kamunting, Pasar Awam Aulong, Pasar Awam Batu Kurau dan juga Pasar Borong Kamunting.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak empat  pasar awam telah dinaik taraf bagi meningkatkan tahap keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung. 

Pasar-pasar yang telah dinaik taraf tersebut ialah Pasar Awam Taiping, Pasar Awam Pokok Assam, Pasar Awam Batu Kurau dan Pasar Awam Kamunting.


Khairul Amir (dua dari kanan) menyerahkan risalah mengenai tikus ketika melawat gerai-gerai di Pasar Awam Aulong, dekat Taiping.


Khairul Amir yakin dengan pelaksanaan Kempen Pembasmian Tikus ini, MPT berhasrat untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memastikan kejayaan program ini, sekali gus menjadikan pasar-pasar awam di bawah seliaan MPT bebas daripada ancaman tikus dan lebih bersih serta selamat untuk semua. - KitaReporters

5
16
0
10
0
You will be interested