Keprihatinan dermawan dan penyumbang bagi membantu menjayakan program “Family Day” 2025 Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) dan Pusat Jagaan Nur Hasanah amat menyentuh hati pihak pengurusan dan sukarelawan, amnya dan warga emas, khususnya. Program diadakan di D’Nelayan Beach Resort, Pengkalan Balak, Melaka. - KitaReporters

Suasana gamat dalam aktiviti sukaneka membaling kotak dadu yang disertai warga emas, petugas dan sukarelawan.
Keprihatinan dermawan dan penyumbang bagi membantu menjayakan program “Family Day” (Hari Keluarga) 2025 Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PINH), Beranang, Selangor amat menyentuh hati pihak pengurusan, sukarelawan dan warga emas.
Dalam usaha menggembirakan hati khususnya warga emas untuk melihat dunia luar dari tempat yang mereka diami malah terkurung bagi meneruskan kelangsungan hidup itu memberi kesan emosi amat mendalam apabila dapat melapangkan fikiran.

Petugas dan sukarelawan membantu memimpin warga emas yang tidak mampu bergerak sendirian untuk ke dewan utama.
Malah perkara itu sentiasa
dititikberatkan oleh pihak pengurusan dua pusat jagaan berkenaan yang berusaha untuk
membawa warga emas bersantai bagi menyuntik semangat serta kegembiraan dan melupakan seketika kisah duka lara mereka di samping meredakan stres kerana dibebani
pelbagai penyakit dihidapi.
Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq
Mohiadin, berkata pada program yang diadakan di D’Nelayan Beach Resort,
Pengkalan Balak, Melaka itu hampir semua kos perbelanjaan disumbangkan serta
diinfak oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dermawan serta
individu prihatin.
Menurutnya, apabila rancangan program itu diuar-uarkan dalam media sosial pelbagai pihak terbabit menghubungi PJMM dan PJNH bertanyakan sumbangan yang boleh mereka diberikan atau diinfak demi keprihatinan membalas jasa petugas, sukarelawan serta menggembirakan hati warga emas di pusat jagaan berkenaan.

Warga emas yang berkerusi roda dan bertongkat terbabit dalam aktiviti sukaneka 'Nujum Pak Belalang'.
Tambahnya, pihak pengurusan telah berbincang terlebih dahulu dengan pihak terbabit serta memaklumkan sokongan
yang mereka boleh membantu kerana setiap keperluan amat diperlukan itu akan
dimanfaatkan sebaik mungkin bagi program berkenaan supaya tidak disalahertikan.
“Malah segala aktiviti dilaksanakan
pada program ini akan dimaklumkan kepada penyumbang atau penginfak sama ada
secara lisan atau bertulis yang disertakan gambar supaya mereka mendapat
maklumat tepat mengenai sumbangan dan infak dimanfaatkan.
“Selain menyumbang barangan untuk dijadikan hadiah ada juga mereka menginfak dana di samping menaja jamuan sepanjang program berlangsung termasuklah makan malam, makan tengah hari dan pengangkutan supaya ia berjalan lancar selama dua hari satu malam bermula 5 Ogos 2025,” ujarnya.

Petugas PJNH, Aidah Jamaat bersama warga emas terbabit dalam aktiviti sukaneka gelek buah kelapa menggunakan gelang rotan.
Pada hari pertama iaitu pada sebelah petang diadakan acara sukaneka membabitkan petugas, sukarelawan dan warga emas diikuti jamuan makan malam, cabutan bertuah, penyampaian hadiah.
Pada keesokan harinya pula, diakhiri dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Alias Ahmad serta disusuli senamrobik serta jamuan makan tengah hari sebelum berangkat pulang.
Turut hadir memeriahkan program itu
dua dermawan aktivis masyarakat Datin Dr Noormala Mohd Yusoff dan Datin
Noraini @ Anne bagi merasai dan melihat sendiri program itu berlangsung yang
membabitkan 70 peserta dalam kalangan petugas, sukarelawan dan warga emas.
Muhammad Syafiq berkata, objektif utama program itu adalah untuk memberi peluang kepada penghuni warga emas yang kebanyakannya menetap sehingga akhir hayat untuk menikmati keindahan dunia luar dengan membabitkan diri dengan aktiviti bersama petugas dan sukarelawan.

Aktivis masyarakat, Dr Noormala Mohd Yusoff (berdiri di tengah) merakam kenangan bersama Pengerusi PJMM, Azman Rasman (duduk kiri) dan Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado.
Jelasnya, ia juga bagi mengeratkan
ukhuwah khusus warga emas dua pusat jagaan terbabit di samping perkongsian ilmu
pengurusan penghuni antara petugas dan sukarelawan walaupun mereka sering
bertemu, namun masih ada yang perlu diperbaiki demi kebaikan bersama.
“Ia juga untuk meningkatkan keupayaan diri serta mental penghuni apabila berada di luar dari pusat jagaan supaya berasa lapang fikiran di samping meneruskan usaha dan inisiatif tahunan pengurusan dalam menyediakan program berimpak kepada petugas, sukarelawan dan warga emas,” terangnya.

Warga emas yang berkerusi roda dan bertongkat dibantu petugas dan sukarelawan untuk menaiki bas.
Sementara itu Pengurus PJNH, Kairul Ahmad, berkata program itu antara perkongsian terbaik dua pusat jagaan dalam menyantuni khususnya warga emas untuk dibawa melihat suasana permandangan luar serta melakukan aktiviti menyeronokkan bagi menghiburkan hati.
Tambahnya, sebagai pusat jagaan yang
diuruskan oleh NGO, program yang diadakan secara bersama itu dapat menjimatkan kos
perbelanjaan serta menarik perhatian penyumbang dan penginfak untuk turut serta
membantu kelancaran program setahun sekali berkenaan sebagai tanda keprihatinan
terhadap bebanan petugas menyantuni warga emas setiap hari.
“Sokongan sedemikian amat kami hargai malah berasa terharu apabila dapat membawa terutama warga emas melakukan aktiviti di luar pusat jagaan serta menikmati jamuan makan malam dan tengah hari yang ditaja oleh penyumbang serta penginfak,” ujarnya.

Nurul Hidayat
Seorang warga emas yang ditemui, Nurul Hidayat, berkata dia selalu mengharapkan pihak pengurusan pusat jagaan mengadakan aktiviti seperti ‘family day’ itu kerana ia boleh membantu mengurangkan perasaan sedih selepas disisih oleh keluarga sekian lama.
“Saya selalu impikan akan ada saudara mara yang datang menjenguk serta membawa untuk berjalan-jalan atau bersantai tetapi semua itu berlalu begitu sahaja, namun pada hari ini saya gembira dapat bersama-sama kawan senasib pada program ‘family day’,” katanya.

Ridzuan Abdullah
Manakala Ridzuan Abdullah pula berkata, program itu sememangnya dapat mengatasi masalah kebosanan apabila saban hari terkurung di pusat jagaan berkenaan walaupun ada pelbagai aktiviti dilakukan namun, tidak berpeluang melihat dunia luar.
“Sepanjang
perjalanan dengan bas ke lokasi ‘family day’ diadakan ini saya berpeluang
melihat permandangan luar malah bertambah gembira dapat terbabit dalam aktiviti
yang diadakan bersama-sama rakan dari PJNH.
“Saya juga berasa terhutang budi dengan pihak pengurusan yang sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati kami warga emas walaupun setiap hari disantuni dengan baik oleh petugas dan sukarelawan serta disediakan makanan percuma sepanjang berada di pusat jagaan,” ujarnya.

Sebahagian petugas, sukarelawan dan warga emas merakamkan kenangan selepas aktiviti sukaneka.