Kerajaan Negeri Perak terus memperkukuh sektor perikanan dengan menyalurkan bantuan berjumlah RM850,000 kepada komuniti nelayan di daerah Kerian, Matang dan Sungai Tinggi dalam usaha meningkatkan pendapatan serta taraf hidup golongan itu.

Mohd Zolkafly Harun (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan engin bot kepada seorang nelayan di Jeti LKIM di Sungai Kerang, dekat Trong.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM450,00 bantuan di
bawah program Pemerkasaan Nelayan dan Kelestarian Sumber Laut.
Antara
bantuan yang disalurkan termasuk enjin sangkut 30 kuasa kuda kepada lapan
nelayan, tangki insulasi serta jaket keselamatan kepada 45 nelayan, dan bantuan
baju hujan untuk 44 nelayan di kawasan terlibat, manakala kerajaan negeri memperuntukan RM400,000 bagi projek ternakan kerang dan benih ketam nipah di Sungai Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, inisiatif ini bertujuan meningkatkan kecekapan serta hasil tangkapan, selain membantu nelayan khususnya dalam kumpulan B40 memperkukuh sumber pendapatan mereka.
“Selain bantuan berbentuk peralatan, sebanyak RM6,000 zakat asnaf turut diagihkan kepada nelayan yang memerlukan, manakala program Pelancongan Rekreasi Komuniti, sebuah bot bernilai RM180,000 dilancarkan bagi menggalakkan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti setempat,” katanya pada program Pemerkasaan Nelayan dan Kelangsungan Sumber Laut di teruskan di Sungai Tinggi, dekat Trong, Perak pada 22 Oktober 2025.
Selain itu, Mohd Zolkafly turut menabur benih kerang dan ketam nipah, membabitkan dua projek utama iaitu Projek Ternakan Kerang oleh Persatuan Nelayan Negeri Perak (Penggerak) dan Projek Ternakan Ketam Nipah oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM400,000 daripada kerajaan negeri.
Mohd
Zolkafly berkata, kedua-dua projek ini dijangka menyumbang kepada peningkatan pengeluaran hasil perikanan
negeri, sekali gus memastikan bekalan makanan negara mencukupi dan selamat,
sejajar dengan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2.0 dan Pelan Perak Sejahtera
2030.
“Kerajaan negeri komited memperkukuh sektor akuakultur sebagai salah satu tunjang pembangunan ekonomi dan sekuriti makanan negeri,” jelasnya.

Dalam
perkembangan lain, Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri sedang mempergiat usaha memperluas 3,000 kawasan
ternakan kerang di Bagan Datuk bagi memperkukuh industri perikanan negeri
menjelang tahun 2026.
Beliau
berkata, ini kerana Perak menunjukkan peningkatan hasil ternakan kerang
berbanding tahun-tahun sebelumnya selepas mencatatkan lebih 14,000 metrik tan
pada 2023.
“Kita
melihat peningkatan positif dalam hasil ternakan kerang dan kini sedang
berusaha memperluaskan kawasan kebun kerang, termasuk di kawasan Larut Matang Selama (LMS) dan Kerian,”
katanya.
Mengenai aduan daripada pengusaha kerang di kawasan Matang yang mendakwa belum menerima kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sehingga menimbulkan pertikaian di laut serta insiden kecurian kerang yang dianggarkan mencecah setengah juta ringgit sebulan, Zolkafly berkata, kerajaan negeri mengambil maklum perkara ini dan telah meminta Pentadbir Tanah Daerah memperinci senarai pengusaha aktif bagi memastikan mereka yang benar-benar mengusahakan ternakan kerang diberikan lesen sah.
“Kerajaan
negeri memandang serius isu tersebut kerana ia melibatkan sumber rezeki nelayan
dan kestabilan ekonomi tempatan.
“Kita mahu pengusaha yang benar-benar bekerja keras ini diberi lesen supaya mereka boleh mencari rezeki secara halal tanpa rasa takut kepada pihak berkuasa atau ancaman di laut,” katanya.

Dalam
perkembangan lain, Datuk Zolkafly memaklumkan kerajaan negeri turut merancang
pelbagai inisiatif pembangunan sosioekonomi nelayan, termasuk memperkenal penggunaan rumah haba bagi menghasilkan ikan salai berkualiti tinggi serta
memperluas pasaran eksport melalui program MyGAP.
“Selama ini
ikan salai dan ikan kering dibuat secara tradisional. Dengan teknologi rumah
haba, hasilnya lebih berkualiti, bersih dan boleh dibungkus untuk pasaran
tempatan serta luar negara,” jelasnya.
Beliau berkata, terdapat lebih 30 persatuan nelayan di seluruh negeri Perak, dan kerajaan negeri akan berusaha memastikan setiap persatuan menerima manfaat daripada peruntukan yang akan dipohon kepada kementerian berkaitan. - KitaReporters