Insan & Komuniti 14 Jul, 2025

Video| Berkain sarung, bersemutar! Momen indah zaman nenek moyang! Program Laksa Kebok Kpg Sekayu!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

.


Dalam usaha memperkukuh semangat persaudaraan (ukhuwah) dan permuafakatan lebih 100 penduduk Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu mengimbau kembali kenangan silam zaman nenek moyang mereka apabila mengadakan Program Laksa Kebok secara bergotong-royong.

Bagi menghidupkan lagi suasana zaman silam itu mereka mengadakan program berkenaan di tepi sungai kampung itu yang memberi gambaran peristiwa 40 tahun lalu dilakukan sebegitu sebaik sahaja selesai kerja menuai padi.

Malah ia bertambah seri seolah-olah mewarnai semula momen yang sudah jauh berlalu apabila penduduk lelaki terbabit dalam program itu memakai kain sarung batik dan bersemutar di kepala dengan kain batik lepas manakala kaum wanita juga mengenakan kain sarung batik, berbaju kurung dan bertudung bagi menutup kepala.


Jalan utama masuk ke Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) kampung itu, Sudin Mamat, berkata program membuat laksa kebok sudah lama dirancangkan sejak berjaya aktiviti membakar lemang yang juga membabitkan seluruh penduduk.

Menurutnya, program yang menyatukan penduduk kampung daripada pelbagai peringkat umur itu amat bermanfaat dalam memupuk hubungan erat di samping mempraktikan semula semangat bergading bahu secara bergotong-royong untuk aktiviti kemasyarakatan.

Tambahnya, apabila dapat berkumpul bagi menjayakan program kemasyarakatan sebegitu secara tidak langsung antara penduduk terbabit akan dapat melupakan perselisihan faham atau berwasangka jika pernah wujud sebelum itu sebaliknya dapat bersatu kembali demi kebaikan bersama.


Beras yang dijemur kering selepas direbus ditumbuk menggunakan lesung kayu untuk dijadikan doh.


“Saya ingin menyemarakkan semula hubungan murni dan bertegur mesra sebagaimana dipelihara begitu baik nenek moyong dahulu malah menepati saranan pemimpin Kerajaan Madani sekarang supaya masyarakat membina kehidupan aman dan harmoni,” ujarnya pada program itu yang berlangsung pada 12 Julai 2025.

Sudin berkata, untuk program itu mereka menggunakan 15 kilogram beras bagi membuat doh yang memerlukan beras berkenaan direndam semalaman sebelum dijemur bawah cahaya matahari panas terik supaya dapat menghasilkan laksa kebok berkualiti.

Menurutnya, selepas dijemur beras berkenaan ditumbuk dalam lesung kayu supaya menjadi debu kemudiannya dicampur dengan air untuk melalui proses menguli sebelum dibungkus menggunakan daun lerek atau pisang bagi dimasak dalam air yang mendidih. 


Doh beras dimasukan ke dalam kebok tembaga kemudian dipusingkan untuk menghasilkan laksa yang dimasak menggunakan kawah atau kuali besar.


Terangnya, apabila sudah cukup masak bungkusan beras dikeluarkan semula dan dimasukan ke dalam lesung kayu sekali lagi untuk ditumbuk sehingga sebati diikuti proses menguli supaya membentuk ketulan selepas dicampur sedikit minyak masak.

“Tugasan selepas ini apabila beras sudah diuli dan membentuk ketulan ia akan dialihkan ke dalam kebok tembaga terletak di tengah-tengah palang buaya, kemudiannya dipusing sehingga laksa keluar menerusi bawahnya dan jatuh ke dalam kawah atau kuali besar yang di dalamnya mengandungi air mendidih,” ujarnya.


Sudin Mamat


Sementara itu, wakil kaum wanita, Hasmiza Tarzan, berkata sementara orang lelaki sibuk dengan urusan membuat doh dan memasak laksa kebok itu dia bersama kaum ibu bergotong-royong memasak kuah dan membersih serta memotong pelbagai jenis daun untuk dijadikan ulam.

Menurutnya, untuk laksa kebok itu mereka menyediakan dua jenis kuah, iaitu kuah lemak putih dan kuah merah yang cara membuatnya menggunakan berapa bahan seperti bawang merah, bawang putih, lengkuas, kunyit hidup, halia, rempah, cili kasar, asam jawa dan belacan.

Tambahnya, bahan lain termasuklah santan, minyak masak, gula melaka, ikan selayang, kerisik, asam keping, manakala daun untuk dibuat ulam seperti daun kesum, bunga kantan, kacang panjang, kubis, taugeh, timun, kacang panjang, kangkung dan cili atau lada untuk dibuat sambal.


Hasmiza Tarzan


“Semua bahan itu terutama yang dibuat ulam senang didapati di kampung malah ada ditanam di belakang rumah atau di kebun manakala kerja penyediaannya kami kaum wanita melakukan bersama-sama di samping berbual mengenai hal semasa.

“Usik mengusik sudah menjadi lumrah kerana antara kami ini besar bersama-sama sejak kecil dan tidak kurang pula yang menjadi besan seperti mana turut dilalui nenek moyang dahulu apabila menghadapi kesusahan dalam hidup mereka berganding bahu untuk diselesaikan,” ujarnya.


Kaum ibu bergotong-royong memasak kuah dan menyediakan ulam untuk laksa kebok.


Seorang penduduk kampung itu, Razali Musa, berkata program berkenaan walaupun sesetengah orang menganggap perkara biasa tetapi bagi pemastautin sejak awal, aktiviti berkenaan amat bermakna dalam usaha memilihara hubungan baik serta mengeratkan persaudaraan. 

Menurutnya, kami sudah berusia ingin membudayakan semula aktiviti gotong-royong khususnya membuat laksa kebok kepada generasi muda kerana mungkin makin melupai budaya yang dipupuk sejak nenek moyang dahulu kerana ia mendatangkan banyak kebaikan seperti mengekalkan hubungan erat apabila hidup dalam satu kampung.

Jelasnya, zaman dahulu apabila penduduk dapat berkumpul dalam satu-satu aktiviti atau keramaian maka gunakan untuk bertanya khabar, menguraikan masalah yang timbul dan menghulurkan sumbangan kepada mereka ditimpa musibah kerana alat perhubungan tidak seperti sekarang.

“Dalam program ini kami memasak dan menyediakan bahan makanan lain bersama-sama ditambah pula apabila antara kami berkain sarung batik, bersemutar di kepala dengan kain batik lepas dan sebagainya mengamitkan kenangan indah zaman nenek moyang dahulu,” katanya. - KitaReporters


Tiga sekawan penduduk Kampung Sekayu gembira memakai kain sarung batik dan bersemutar di kepala.


Penduduk lelaki Kampung Sekayu, Kuala Berang memakai kain sarung batik dan bersemutar di kepala dengan kain batik lepas bagi menghidupkan momen indah dalam Program Laksa Kebok pada 12 Julai 2025.

________________

20
15
2
12
0
You will be interested