Insan & Komuniti 03 Aug, 2025

Mushaf Ummah! Malaysia lancar versi mushaf istimewa! Idea, kelolaan tokoh qiraat antarabangsa! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


Malaysia bakal lancarkan versi mushaf istimewa, Mushaf Ummah al-Jami’ hasil idea dan kelolaan tokoh qiraat antarabangsa, Prof. Dr. Isa El-Ma’sarowy, mantan Syeikhul Qurra' Mesir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada Jumaat, 8 Ogos 2025 ini, satu projek yang dinamakan Mushaf Ummah akan diluncurkan di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. 

"Mushaf Ummah ini ialah hasil idea dan kelolaan tokoh qiraat antarabangsa Prof. Dr. Isa El-Ma’sarowy, mantan Syeikhul Qurra' Mesir. 

"Ia merupakan versi mushaf istimewa yang dihasilkan bersama Yayasan Restu," jelas beliau semasa menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-65 bagi tahun 1447H / 2025M di Kuala Lumpur yang bermula dari 2 Ogos hingga 9 Ogos 2025.

Menurut Perdana Menteri, ini adalah salah satu ikhtiar memperluas penyebaran al-Quran dan mesej Islam ke serata dunia melalui terjemahan rasmi ke dalam 30 bahasa dunia, serta memperkenalkan Mushaf Ummah al-Jami'yang membawa mesej penyatuan dan dakwah. 



"Ini adalah respons balas kita terhadap insiden pembakaran Al-Quran sebelum ini. 

"Kıta jawab kejadian seperti ini  dengan mencetak lebih banyak  al-Quran sebagai pendekatan berhemah dan berhikmah dalam menyampaikan mesej dakwah. 

"Kita bukan umat yang sarat dengan kemarahan, tetapi umat yang penuh pengetahuan dan kearifan dan menangani kritik, cabaran salah faham dan segala bentuk diskriminasi dalam pelbagai bentuk," jelas beliau.

Berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-65 itu, Anwar menyinggung peringatan para alim mengenai semangat penghayatan al-Quran mengenai kepentingan menghadam, memaknai dan dikaitkan dengan kehidupan seharian. 

"Inilah yang disebutkan sebagai generasi Al-Quran yang unik (جيل القران الفريد) dimana ia berpangkal kepada usaha menguasai dan mendalami hikmah Al-Quran. 

"Kekuatan Al-Quran juga perlu dizahirkan melalui kemampuan dakwah yang sarat dengan mesej kasih sayang dan rahmah. Dakwah sama ada dalam keadaan tenang dan gelora masih perlu elemen kasih sayang. 

"Kerajaan Madani dalam konteks ini berusaha memperkasa perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan yang penuh dengan semangat rahmah dan selebihnya kita berserah kepada Allah SWT. 



"Firman Allah Taala:

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali Imran: 159)," ujar Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media

10
7
0
13
0
You will be interested