Insan & Komuniti 20 Aug, 2025

Bila ABAH Bersuara| Pemandu mabuk spesis berbahaya! Patut simpan dalam rumah tembok batu! Kena tegas!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this


SETELAH tujuh hari bertarung dengan maut, Darna Tajudin, 41, meninggal dunia pada pukul 8.37 pagi Isnin 17 Ogos 2025 di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tawau, Sabah. Allahyarham parah dirempuh trak pikap dipandu oleh seorang lelaki disyaki mabuk pada pukul 7.55 malam 10 Ogos 2025 ketika berjoging.

Kejadian berlaku di Batu 9, Jalan Apas, Tawau ketika mangsa bersama beberapa orang rakan sedang berjoging di Bandar Seri Indah menuju Jalan Apas apabila dirempuh oleh kenderaan terlibat.

Allahyarham mengalami keadaan ‘mati otak’ (brain dead) akibat kemalangan tersebut. Setelah tujuh hari dirawat, Allahyarham pergi untuk selama-lamnya, meninggalkan lima orang anak berusia antara sembilan hingga 18 tahun. 

Menurut polis, kemalangan berlaku apabila pemandu pikap berusia 57 tahun itu melanggar belakang sebuah sebuah kereta dipandu oleh lelaki berusia 39 tahun. Akibatnya kenderaan pikap itu hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan, merempuh mangsa menyebabkan cedera parah. 


Darna Tajudin meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah, setelah tujuh hari bertarung dengan maut akibat dirempuh pemandu mabuk. 


Hanya sehari kemudian, pada awal pagi Isnin 18 Ogos, seorang anggota polis berpangkat konstabel, Naim Mullah Mohd Affandi, 23, maut selepas motosikal ditunggangi dilanggar pemandu kereta berusia 26 tahun juga dipercayai mabuk di Jalan Temiang, Seremban.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, Naim Mullah yang bertugas di Balai Polis Jalan Campbell, Seremban, cedera parah. Allahyarham meninggal pada pukul 2.24 pagi ketika menerika rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Polis memberitahu, mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Temiang. Apabila sampai di lokasi kejadian berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Temiang, sebuah kereta yang hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan dan melanggar mangsa.

Mangsa yang ketika itu dalam tugasan, cedera parah pada bahagian kepala lalu dibawa ke HTJ, tetapi meninggal ketika menerima rawatan di zon kecemasan.


Pegawai polis menjalankan siasatan di jalan Temiang, Seremban, lokasi kemalangan yang meragut nyawa anggota polis, Naim Mullah (gambar kecil) akibat dilanggar oleh pemandu mabuk. 


Kematian menyayat hati Darna dan Naim Mullah merupakan rentetan terbaharu kehilangan nyawa insan tidak berdosa akibat pemandu mabuk. Sudah terlalu banyak kes kematian seperti ini dilaporkan sebelum ini.

Sudah terlalu ramai yang menderita akibat manusia mabuk ini. Ramai kehilangan insan tersayang. Hilang bapa, hilang isteri, hilang anak, hilang adik beradik atau hilang mereka yang tercinta. Kesedihan yang mereka alami tidak mudah dihakis, terpahat hingga akhir hayat.

Tetapi para pemabuk ini akan terus berada di jalan raya dan terus mengancam. Walaupun sudah sering diingatkan ‘jangan memandu jika mabuk’ atau ‘jangan mabuk jika hendak memandu’ tetapi pemabuk tegar tidak peduli.

Pernahkah mereka memikirkan betapa bahayanya mereka di atas jalan raya dan betapa hebatnya kesan trauma kepada ksluarga mangsa? Pemabuk tidak peduli kerana bukan mereka jadi mangsa, bukan mereka yang menanggung akibat.

Kerapnya kemalangan maut akibat pemandu mabuk menampakkan gejala ini begitu sukar dibendung. Terkorbannya banyak jiwa tidak pernah jadi pengajaran atau iktibar. Ancaman  ‘orang mabuk’ akan tetap ada.

Siapa hendak memeriksa atau menentukan sama ada seseorang pemandu itu mabuk atau tidak kecuali dirinya sendiri. Kerana itu, walaupun kepala dan minda ‘pusing’, mata berpinar memandang objek, dia tetap berasa boleh memandu. Pihak berkuasa pun hanya dapat mengesan setelah berlaku kemalangan.


Ini baru kes-kes melibatkan pemandu mabuk pada Januari-Jun 2020 sahaja


Walaupun pernah dihukum oleh mahkamah kerana kesalahan dilakukan, pemandu mabuk tidak serik. Lain kali akan melakukan kesalahan sama. Apa sangat kalau sekadar dikenakan denda sedikit.

Justeru amat wajar hukuman terhadap pemandu mabuk diteliti semula untuk menyerlahkan kesungguhan membanteras mereka, bukan sekadar denda yang mampu dibayar.  

Yang melakukan kesalahan mesti diberi hukuman berat sebagai ingatan dan pengajaran kepada semua pemandu. Jadikan hukuman penjara mandatori, terutama bagi pesalah berulang. Biar mereka rasa seksa disumbat dalam penjara untuk tempoh lama.

Lesen memandu pesalah bukan hanya mesti digantung, tetapi batalkan terus. Jangan dibenar memandu sampai bila-bila. 

Biar kurang jumlah spesis berbahaya ini berkeliaran di atas jalan mengancam keselamatan orang lain. Mereka sangat berbahaya dan wajar disimpan dalam ‘rumah tembok batu’. - KitaReporters

12
14
0
9
0
You will be interested