Insan & Komuniti 15 Oct, 2025

Lagi kes mati lemas kereta terjunam ke dalam sungai! Mayat pemandu ditemukan dalam Sungai Panchor!

Share this

Seorang lelaki menemui ajal selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam Sungai Panchor di Muar selepas makan di gerai berhampiran di sungai berkenaan.


Kredit foto: Ihsan Bomba Johor


Seorang lelaki yang hilang selepas kereta dipandunya terjunam dalam Sungai Panchor, di pekan Pagoh pada Isnin 14 Oktober 2025, ditemukan mati lemas pada awal pagi Selasa, 15 Oktober 2025.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan 1, Nor Alfatah Omar berkata, mayat mangsa ditemukan dalam kereta Proton Saga yang dipandunya selepas kereta tersebut ditarik naik ke darat.


Kredit foto: Ihsan Bomba Johor


"Mangsa dikenali sebagai Mud Husni Mahmud yang berusia 47 tahun ditemukan pada pukul 1.01 pagi tadi dalam kereta tersebut selepas berjaya dibawa naik oleh pihak bomba dengan bantuan kren.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 20 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Muar. 

"Mereka dibantu oleh sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah lori tiga tan, sebuah Nissan Navara, dua bot fiber, sebuah pacuan empat road dan sebuah Rapid Rescue Vehicle (RRV).

"Operasi SAR tamat pada pukul 1.38 pagi," katanya.


Kredit foto: Ihsan Bomba Johor


Terdahulu, media melaporkan seorang pemandu kereta dikhuatiri lemas selepas terlibat dalam satu kemalangan sebelum terjunam ke dalam Sungai Panchor, di pekan Pagoh, Muar pukul 2.30 petang semalam.

Susulan itu operasi SAR digerakkan oleh BBP Pagoh dan BBP Muar dengan bantuan polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sebelum itu, tular dalam media sosial Facebook, sebuah kereta terjatuh dalam sungai dan mangsanya yang didakwa suami isteri.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku selepas pasangan itu menjamu selera di sebuah kedai makan berhampiran sungai berkenaan. - KitaReporters


Kredit foto: Ihsan Bomba Johor

14
10
0
11
0
You will be interested