Bagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang bergerak aktif menyantuni komuniti mereka bukan sahaja memfokuskan kepada isu keselamatan tetapi turut menjadi pemangkin pelbagai projek termasuklah berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan yang membabitkan pusat jagaan.

Ruznan Shamsuddin menyampaikan ucapan pada Program Amal Menyantuni Penghuni Pusat Jagaan Mahmudah, Malaysia (PJMM).
Dalam hal yang
demikian itu, melalui inisiatif sosial, sesetengah KRT terpanggil malah berasa
turut memikul tanggungjawab untuk membantu meningkatkan kesejahteraan hidup
seperti warga emas yang tersisih di pusat jagaan terutama apabila ditakbir urus oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sehubungan itu, KRT Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, menggerakkan Program Amal Menyantuni Penghuni Pusat Jagaan Mahmudah, Malaysia (PJMM), Semenyih, dengan menganjurkan kempen infak derma termasuk barangan asas keperluan harian.

Azman Rasman menerima cek RM6,000.00 sumbangan KRT Zon Suadamai BTHO yang disampaikan Dr Rahim Mohamad sambil diraikan bersama Ruznan (kiri), Mohiadin Bahado, Che Muhamad Nordin Ismail dan Ab Ghani Ahmad.
Naib
Pengerusi KRT berkenaan, Datuk Che Muhamad Nordin Ismail, berkata walaupun
pusat jagaan berkenaan berada di luar kawasan KRT itu tetapi mereka mengambil
tanggungjawab menggembleng tenaga serta sokongan komuniti untuk meringankan
bebanan operasi PJMM yang diuruskan NGO iaitu Persatuan Kebajikan Mahmudah
Malaysia.
Menurutnya,
seperti dimaklumkan PJMM terpaksa bergerak sendiri mencari dana atau sumbangan
daripada masyarakat bagi membiayai kos operasi pusat jagaan itu yang tidak
menerima sebarang bantuan khusus setiap bulan dari pihak berkenaan, manakala
warga emas yang dijaga tidak dikenakan bayaran.
Tambahnya, semua tugasan yang dilakukan adalah secara sukarela dan sememangnya bergantung semata-mata kepada ihsan masyarakat serta pelbagai pihak termasuk dalam kalangan NGO korporat disamping agensi kerajaan untuk menghulurkan sumbangan dari segi kewangan atau barangan.

Ahli-ahli KRT Suadamai Bandar Tun Hussein Onn menyiapkan hidangan bubur kacang hijau untuk dinikmati warga emas PJMM.
Jelasnya,
bagi pusat jagaan itu, walaupun mereka menerima bantuan tahunan dari Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), namun jumlahnya belum mencukupi
kerana hanya cukup untuk kegunaan bagi tempoh sebulan atau dua bulan sahaja,
selebihnya keperluan terpaksa diusahakan sendiri.
“Dalam
tempoh tidak sampai seminggu KRT menguar-uarkan kempen ini menerusi media
sosial dan group WhatsApp komuniti yang ternyata mendapat perhatian daripada
penduduk di Zon Suadamai BTHO untuk menghulurkan sumbangan derma khususnya.
“Sambutan luar biasa itu secara tidak langsung membuktikan komuniti dalam zon ini sentiasa bersikap terbuka dan berlapang dada untuk sama-sama berganding bahu membantu mereka yang memerlukan bantuan serta sokongan.
“Hasil kempen dan kerjasama ini sebanyak RM6,000.00 berjaya dikumpul untuk disumbangkan kepada PJMM bagi menampung kos operasi, membeli barangan basah atau kering dan sebagainya,” ujarnya ketika ditemui pada program berkenaan pada 14 Disember 2025.

Che Muhamad Nordin bertanya khabar seorang warga emas yang uzur dan tidak mampu untuk bergerak.
Turut hadir
pada program itu, Pengerusi KRT berkenaan, Prof Dato’ Dr Rahim Mohamad; Bendaharinya, Dato’ Ab Ghani Ahmad; Setiausaha, Rozyta Wahid; Pengerusi Biro
Warga Emas KRT itu, Ruznan Shamsudin; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihatnya, Mohiadin Bahado; serta 20 ahli dan Jiran Wanita KRT terbabit.
Di samping menyumbang wang itu pada program berkenaan, ahli KRT turut memasak untuk menaja makan tengah hari dengan menghidangkan sendiri kepada warga emas dengan diiringi alunan nyanyian persembahan ‘busking’ Pak Nik dan Pak Wan.

Pak Nik berduet 'busking' dengan warga emas Pakcik Ariffin menghiburkan tetamu yang hadir.
Sementara itu, ketika berucap pada program itu, Ruznan menyifatkan kunjungan kali pertama ke PJMM berkenaan, membungkamkan ahli KRT apabila tidak berkata apa-apa melihat warga emas yang keuzuran serta terpaksa bergerak menggunakan tongkat atau berkerusi roda.
Menurutnya, mereka turut berasakan perasaan serta kesusahan warga emas itu apabila disisihkan orang disayangi dan menumpang kasih dengan sukarelawan atau petugas pusat jagaan untuk meneruskan kehidupan.
Tambahnya,
program itu juga mendedahkan kepada ahli KRT amnya fungsi NGO yang boleh
bergerak bebas sekali pun di luar kawasan operasi mereka demi melebarkan kerja
amal kebajikan tanpa mengenal sempadan.
“Kami akan
meneruskan program seperti ini dengan lebih kerap pada tahun mendatang dengan
mengunjungi atau menyantuni mereka memerlukan sokongan atau bantuan seperti
rumah anak yatim, keluarga miskin, asnaf dan mereka ditimpa musibah.
“KRT menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada penduduk di komuniti Zon Suadamai BTHO, dermawan dan mereka yang prihatin kerana menginfakkan sumbangan bagi membantu menjaya program ini untuk meringankan bebanan operasi PJMM,” ujarnya. - KitaReporters

Dr Rahim, Ab Ghani, Ruznan dan Che Muhamad Nordin (tengah) bersama ahli dan Jiran Wanita KRT Zon Suadamai BTHO merakamkan kenangan dengan warga emas PJMM.