Insan & Komuniti 26 Aug, 2025

Semai jiwa patriotik! Kanak-kanak tadika, ibu bapa berarak bawa Jalur Gemilang! Hari Kemerdekaan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Ahmad Jantan bersiap sedia untuk melakukan pelepasan perarakan kanak-kanak Tadika Taman Seri Putera bersama-sama ibu bapa mereka sempena Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-68 di  Tadika Taman Seri Putera, Banting. 


Ibarat peribahasa ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ ketepatan yang dapat ditafsirkan pada Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 yang membabitkan 35 kanak-kanak Tadika Taman Seri Putera, Banting, Selangor.

Majlis yang dilaksanakan pengurusan tadika berkenaan seharusnya mendapat pujian kerana memupuk nilai murni kepada kanak-kanak didikan mereka supaya memahami sejarah Hari Kemedekaan negara yang menempuhi pelbagai pengorbanan.

Terpanggil untuk menyantuni kanak-kanak dan ibu bapa yang terbabit dalam majlis itu, Ketua Kampung Banting, Ahmad Jantan, menzahirkan rasa terharu melihat semangat kanak-kanak sejak kecil sudah menunjukkan nilai-nilai patriotisme iaitu kecintaan mendalam terhadap tanah air dan bangsa.


Kanak-kanak berpakaian beragam simbolik semangat patriolisme berarak sambil membawa Jalur Gemilang.


Menurutnya, walaupun majlis itu hanya membabitkan kanak-kanak tadika berkenaan namun ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk turut sama mengiringi anak mereka berarak dengan membawa Jalur Gemilang mengeliling taman perumahan itu.

Tambahnya, pembabitan ibu bapa itu secara tidak langsung memberi gambaran kepada kanak-kanak berkenaan bahawa majlis yang dianjurkan oleh tadika itu bukan suatu yang bersahaja sebaliknya berjaya menyuntik semangat menyambut Hari Kemedekaan negara.

“Sesuatu program atau majlis yang memberi manfaat seperti ini seharusnya menjadi contoh baik kepada masyarakat kerana tidak perlu menunggu kanak-kanak menjadi dewasa baharulah hendak disemaikan semangat patriolisme malah majlis sebegini wajar diadakan setiap tahun.

“Sejak kecil kanak-kanak ini yang belum dimomokkan dengan pelbagai isu masyarakat amat wajar ditanamkan dalam diri mereka sesuatu perkara yang murni dan berfaedah ke arah membentuk sahsiah mulia seperti majlis yang diadakan itu,” ujarnya ketika melakukan pelepasan perarakan Jalur Gemilang kanak-kanak tadika berkenaan pada 23 Ogos 2025.


Ahmad menyampaikan ucapan ringkas sebelum melakukan gimik pelepasan perarakan.


Sementara itu, ibu bapa turut sependapat dengan ketua kampung mereka apabila menyokong penuh usaha murni yang dilakukan oleh tadika berkenaan bagi mendidik keperibadian mulia anak mereka dalam mencintai tanah air. 

Seorang bapa, Azrul Nizam Razlan, berkata majlis seumpama itu mampu menyemaikan budi pekerti mulia kepada kanak-kanak sejak kecil serta membuka minda untuk memahami maksud Hari Kemerdekaan dan Jalur Gemilang yang mereka bawa dalam perarakan itu.

“Tidak kira apa jenis tadika yang beroperasi di negara kita ini sewajarnya pengurusan mereka menanamkan semangat patriolisme dalam kalangan anak didikan mereka kerana kita semua rakyat Malaysia yang merdeka,” katanya.


Ahmad menyantuni ibu bapa yang mengiringi anak dalam perarakan itu.


Seorang ibu, Siti Najihah Massaron, pula berkata apabila mengetahui anaknya terbabit dalam majlis yang dianjurkan tadika berkenaan, dia terus memberi galakan supaya anaknya itu mendapat pendedahan mengenai Hari Kemerdekaan negara. 

“Sebagai ibu bapa jika sesuatu aktiviti yang hendak diadakan itu memberi manfaat kepada anak kita seharusnya turut menyokong serta membantu tadika bagi menjayakannya disamping menjamin keselamatan anak-anak,” ujarnya.

Seorang lagi bapa, Azidin Ahmad, berkata untuk membawa anak ke sambutan Hari Kemerdekaan di ibu kota mungkin suatu yang tidak kesampaian, namun apabila tadika mengadakan pada peringkat taman saya amat mengalu-alukannya.

“Anak saya berasa amat seronok malah tidak sabar untuk bersama-sama kawannya berarak membawa Jalur Gemilang mengeliling taman perumahan sambil menyanyikan lagu patrotik yang sudah cukup memberi gambaran kecintaan mereka kepada tanah air,” katanya. - KitaReporters


Ahmad Jantan (tengah) merakamkan kenangan bersama-sama kanak-kanak tadika dan ibu bapa mereka selepas perarakan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 di Taman Seri Putera, Banting, Selangor.

24
18
0
12
0
You will be interested