Melakukan amalan kebajikan merupakan satu perkara mulia dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW sendiri senantiasa menggalakkan umatnya untuk melakukan kebajikan kepada orang lain dalam bentuk menghulurkan pertolongan dan seumpamanya.

Sebahagian asnaf membuat pendaftaran sebelum menerima bantuan bakul makanan.
Kerja amal kebajikan itu membabitkan pelbagai aktiviti untuk membantu golongan memerlukan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat seperti menderma, menjadi sukarelawan, menganjurkan aktiviti khidmat masyarakat serta menyediakan keperluan asas harian bagi memboleh mereka terbabit meneruskan kelangsungan hidup.
Berasakan
ada kelompangan untuk membabitkan dalam usaha menabur bakti kepada masyarakat,
Kelab Kebajikan Kasih Ihsan Malaysia diwujudkan supaya dapat aktif dalam
program atau aktiviti membantu golongan yang memerlukan bantuan tanpa mengira
agama, bangsa dan kaum sejak lima tahun lalu.
Pengerusinya,
Ramlan Mohamad Hassan, berkata selain mendapat kerjasama pelbagai pihak dalam
mengumpul dana atau barangan keperluan asas harian, 1,512 ahli kelab itu turut
menyumbang RM10 setiap bulan bagi menjaya program amal kebajikan yang diadakan.
Menurutnya, keprihatinan ahli itu yang ingin turut bersama-sama dengan menginfak sumbangan di samping beberapa pihak ingin berkongsi rezeki membolehkan kelab menyusun program amal kebajikan dengan lebih tersusun.

Ramlan Mohamad Hassan (kanan) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada seorang asnaf.
Tambahnya,
sesuatu program itu dilancarkan apabila kelab mendapat maklumat atau mengadakan
kolaboratif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili satu-satu
organisasi di komuniti terbabit yang ingin membantu golongan ditimpa hambatan hidup
seperti keluarga miskin, asnaf, rumah anak yatim, pusat jagaan warga emas dan
sebagainya.
“Kelab akan
berikhtiar mendapat keperluan yang diperlukan selepas berbincang dengan pihak
terbabit dan mendapat senarai bilangan mereka perlukan bantuan serta mengenal pasti barangan keperluan asas harian diminta supaya ia dimanfaatkan sebaik mungkin
bagi mengelak pembaziran,” ujarnya selepas mengadakan program agihan bakul
makanan bersama Jawatankuasa Masjid Kampung Rinching Hulu, Semenyih, Selangor
pada 20 September 2025.
Pada program itu, 50 asnaf dalam qariah masjid kampung berkenaan menerima sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM100 seperti beras, gula, tepung gandum dan sebagainya.

Sebahagian asnaf yang menerima sumbangan bantuan bakul makanan.
Ramlan berkata, agihan bakul makanan dilaksanakan kelab itu bukanlah suatu yang baharu malah sudah dilakukan bersama-sama agensi membabitkan pelbagai program seperti menyantuni rumah anak yatim, warga emas, bantuan mangsa bencana alam termasuklah banjir dan kebakaran.
Tambahnya,
pada setiap bulan puasa pula, diadakan Iftar Ramadan bersama-sama pusat maahad
tahfiz selain mencari sumbangan untuk bantuan pesakit terlantar (bed ridden), pelbagai
barangan elektrik bagi keperluan di rumah anak yatim, asnaf dan sebagainya.
“Program
ini bukan hanya membabitkan di komuniti tertentu sahaja malah dilaksanakan
seluruh negeri termasuklah di Sabah dan Sarawak kerana kebetulan ahli kelab berada di
mana sahaja serta memberi komitmen terbaik untuk menjayakannya.
"Kelab berharap setiap program bakul makanan dan sebagainya itu akan meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga terbabit sama ada asnaf, miskin juga rumah anak yatim dan lain-lain disamping turut berasa selesa menerima sumbangan barangan elektrik," kata beliau. - KitaReporters