Bagi setengah orang seperti golongan kaya, ahli politik dan ahli perniagaan, menaiki kapal terbang adalah perkara biasa dan keperluan bagi mereka.
Namun lebih ramai yang tidak berpeluang naik pesawat atau jika berpeluangpun hanya sesekali. Malah ramai yang hanya berpeluang menaiki pesawat ketika pergi dan balik haji.
Namun ada segelintir penduduk yang berpeluang menjadi pelanggan percuma menaiki kapal terbang bila-bila masa. Salah seorang yang bertuah ialah pemuda bernama Muhammad John Garuda Putra dari Ponorogo, Jawa Timur.
John dilahirkan di atas pesawat Garuda Indonesia pada 13 Disember 2005 ketika melalui ruang udara kota Madiun di Pulau Jawa dalam keadaan tidak cukup bulan (pramatang).
Ibunya menaiki pesawat itu kerana tempoh bersalin kira-kira dua bulan lagi. Namun dalam pesawat itu si ibu berasa nak bersalin di atas ruang udara kota Madiun dan beberapa pramugari bertindak membantu urusan persalinan.
Kelahiran dalam pesawat itu menggemparkan masyarakat Indonesia ketika itu.
Dan pihak pengurusan Garuda Indonesia ketika itu memberi hadiah istimewa. Ia berupa penerbangan percuma di seluruh dunia yang mempunyai laluan Garuda. Di samping itu John juga diberi pakej umrah kelas ekslusif.
Ibu bapanya juga dibenar memasukkan nama Garuda dalam kad pengenalannya (KTP). Lalu namanya dalam KTP tercatat sebagai Muhammad John Garuda Putra dan lahir di Madiun.
Kisah John ini tular setelah dia memuat naik kisahnya dalam laman TikToknya @mjohngaruda dan Instagramnya @mjhngp.
Dan ketika sudah menginjak dewasa, John akan menggunakan kemudahan ini hingga akhir hayat. John kini berusia 19 tahun.