Insan & Komuniti 15 Jun, 2024

Perkasa aktiviti kemanusiaan! MoU IR Malaysia-UIAM! Kongsi kepakaran, pengalaman, sumber, jaringan!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah diadakan pada 14 Jun 2024 bertempat di pejabat IR Malaysia.

MoU berkenaan telah disempurnakan oleh Datuk Nur Iskandar A Samad, Ahli Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia bersama Prof. Dr. Akmal Khuzairy Abd. Rahman, Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM sambil disaksikan oleh Mohd Shukor Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia dan Anizam Ali, Timbalan Pengarah Kanan, Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM.

MoU ini dimeterai hasil kesepakatan IR Malaysia dan UIAM dalam memperkasakan aktiviti kemanusiaan pada pelbagai peringkat bukan sahaja di UIAM Kampus Gombak bahkan di kampus-kampus UIAM yang lain.

Nur Iskandar menekankan bahawa IR Malaysia berbesar hati dapat memeterai kerjasama ini dan sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk menjadi sebahagian daripada organisasi itu dalam memperkasakan komuniti dan meringankan penderitaan golongan memerlukan.


Mohd Shukor Tahir


“Kolaborasi bersama UIAM ini merupakan satu peristiwa penting dalam misi IR Malaysia untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada komuniti yang memerlukan. 

"Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber yang ada, insya-Allah, kita boleh menyumbang lebih kepada masyarakat dan mencapai impak yang lebih berkesan.

“Saya percaya, jalinan kerjasama strategik ini akan membantu pelajar dan kakitangan UIAM dalam membentuk sahsiah dan menjadi individu yang mempunyai sifat keprihatinan yang tinggi.

“Mereka akan didedahkan dengan pelbagai kisah realiti kehidupan masyarakat dan berpeluang mengumpul pengalaman berharga agar mereka dapat mendalami dan memahami makna kemanusiaan yang sebenar,” katanya.

Sebagai sebuah organisasi yang berpengalaman dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan, kolaborasi ini dijangka membuka jalan kepada pelbagai program dan projek bersama, termasuk aspek pembangunan pelajar, perkongsian pintar dalam bentuk akademik seperti penyelidikan serta penglibatan pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan dan kempen kesedaran.

Manakala bagi UIAM, universiti tersebut menggalakkan para pelajarnya melibatkan diri dengan masyarakat tempatan dan global secara aktif dalam memastikan pertumbuhan kehidupan yang mampan dan membawa Rahmatanlil Alamin kepada umat manusia.

UIAM menyokong konsep komuniversiti (komuniti dan universiti) dalam memastikan pelajar UIAM memahami peranan mereka sebagai khalifah dan percaya bahawa pendidikan bukan sekadar pembelajaran dalam kelas dan mereka bertanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

MoU ini menandakan usaha pemupukan dan pembentukan kerjasama rasmi antara dua pihak yang sedia berkongsi kepakaran, pengalaman, sumber, dan jaringan rangkaian untuk membina masyarakat yang lebih baik dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat pada peringkat global.

Dengan latar belakang etnik yang berbeza dari pelbagai negara, UIAM percaya persetujuan bersama ini akan membawa manfaat yang besar ke arah objektif dan misi usaha masing-masing. 


Majlis Menandatangani MoU disempurnakan oleh Mohd Shukor Tahir (kiri), Nur Iskandar A Samad (dua dari kiri), Prof. Dr. Akmal Khuzairy Abd. Rahman (dua dari kanan) dan Anizam Ali (kanan)


Sejak tahun 2011, IR Malaysia telah bekerjasama dengan UIAM menerusi pelbagai program antaranya Lawatan ke Perkampungan Orang Asli, Ekspo Kemanusiaan, Teater Lelaki Dari Dhaka, Malam Kemanusiaan, Misi Kemanusiaan Lombok, Water Ballon Charity Run dan pelbagai lagi. 

“Besar harapan saya untuk melihat IR Malaysia dan UIAM membentuk kolaborasi sebegini yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak terutama dalam bentuk akademik serta jaringan industri dan komuniti bersama rakan kerjasama strategik UIAM yang lain,” tambah Nur Iskandar.

Turut hadir dalam majlis yang bersejarah ini ialah pihak pengurusan, pegawai-pegawai kanan serta sukarelawan dari kedua-dua organisasi. - KitaReporters/Kenyataan Media

10
10
0
12
0
You will be interested