Insan & Komuniti 22 Jun, 2024

Batik Malaysia ikat celop berpotensi beri pendapatan! JKKK bersama GPW Felda Tenang anjur bengkel!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Sebahagian peserta bersama hasil kerja tangan masing-masing selepas mengikut Bengkel Pewarnaan Seni Batik Malaysia Ikat Celop di Felda Tenang, Labis, Johor pada 20 Jun 2024 lalu.


Peserta melakukjan sendiri proses mencelop pakaian yang telah diikat ke dalam bahan pewarna bagi menghasilkan corak yang unik dan menarik.


Melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing bukan sesuatu yang mudah dan boleh dilakukan dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan penglibatan secara aktif semua pihak secara berterusan.

Dengan mengambil kira aspek tersebut, penduduk Felda Tenang, Labis, Johor boleh dianggap bertuah kerana mempunyai barisan kepimpinan akar umbi yang menerajui pelbagai persatuan di sini yang sentiasa aktif menganjurkan pelbagai program ilmu.
Terbaharu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan Gerakan Pertubuhan Wanita (GPW) Felda Tenang telah berkerjasama menganjurkan Bengkel Teknik Pewarnaan Seni Batik Malaysia Ikat Celop yang disertai seramai 50 peserta terdiri daripada kaum wanita dan golongan belia setempat pada 20 Jun 2024 lalu.

Samsiah Talib.


Pengerusi GPW Felda Tenang, Samsiah Talib, 53, berkata, program tersebut antara lain bertujuan mendedahkan peserta kepada teknik menghasilkan batik melalui teknik ikat dan celop yang berpotensi untuk menjana pendapatan peserta jika diusahakan dengan serius. 

"Kami sentiasa membuka pintu untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi bagi menganjurkan sebarang program yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat.

"Sebenarnya Felda Tenang boleh dikatakan sebagai pusat sehenti bagi seni kraf tangan bagi daerah Segamat memandangkan penduduk di sini aktif menghasilkan pelbagai produk kraf mencakupi seni kayu hanyut, kraf kayu, kraf anyaman rotan dan kraf batik sama ada secara kecil-kecilan mahu pun secara komersial hasil penganjuran pelbagai program yang diadakan selama ini," katanya.

Proses membuat kedutan dan mengikat pakaian dilakukan sebelum proses mencelop ke dalam bahan pewarna boleh dilakukan.


Selain itu kata Samsiah, bengkel tersebut juga merupakan salah satu aktiviti dalam program pelancongan desa di mana Felda Tenang telah mendapat pengiktirafan sebagai homestay (rumah inap atau inap desa) berdaftardi bawah  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Katanya, dia seperti juga rakan kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) lain yang terdapat di tanah rancangan Felda itu termasuk pihak pengurusan Felda berasa bangga dengan komitmen penduduk yang sentiasa memberi kerjasama baik setiap kali terdapat penganjuran  program atau majlis ilmu.

Menurutnya, melalui program seperti itu, penduduk bukan sahaja mendapat ilmu pengetahuan yang boleh mencambahkan idea bagi menjana pendapatan mereka, malah secara tidak langsung mampu menjalin ukhwah dalam kalangan penduduk tanpa mengira peringkat umur. 


Nur Zubaidah Hassan


Sementara itu, salah seorang peserta bengkel, Nur Zubaidah Hassan,39, berkata, dia yang mempunyai minat mendalam terhadap bidang seni kraf tangan tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai apa juga bengkel kraftangan yang diadakan sebelum ini.
Menurutnya, antara bengkel kraf yang pernah diikutinya adalah bengkel mencanting batik, bengkel anyaman rotan dan seni kraf resin epoxy yang pernah diadakan di Felda Tenang sebelum ini.
"Dengan mengikuti bengkel berkenaan saya bukan sahaja berpeluang mempelajari teknik pembuatan produk berkaitan, apa yang lebih penting adalah mampu mencipta jaringan dengan pihak luar termasuk dari aspek pemasaran produk yang dihasilkan serta bagaimana untuk mendapatkan bahan asas yang diperlukan. 
"Ada juga rakan-rakan saya yang menghasilkan produk sendiri selepas mengikuti bengkel yang dianjurkan dan memasarkan hasil tangan mereka melalui pengusaha kraf luar yang dikenali semasa mengikuti program yang dianjurkan oleh kepimpinan setempat mahu pun pihak Kraftangan Malaysia sendiri," katanya.
Dalam masa dia turut melahirkan keinginan untuk memanfaatkan ilmu pewarnaan ikat celop ini sebagai salah satu punca pendapatan kerana yakin produk ini mempunyai peminat sendiri dan berpotensi untuk dikembangkan. - KitaReporters

Peserta melakukan proses mencelop pakaian ke dalam warna dengan berhati-hati bagi memastikan hasil yang diperolehi seperti yang dikehendaki. 


Setiap peserta diberi peluang malakukan proses awal hingga akhir menghasilkan batik Malaysia Ikat Celop secara bergilir-gilir.

15
19
0
14
0
You will be interested