Insan & Komuniti 21 May, 2024

Terbaiklah Penduduk Jalan 8/30 Bandar Baru Bangi! Jamuan Raya Setaman meriah! Usaha rapatkan ukhuwah!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


TETAP meriah Jamuan Raya Setaman anjuran Persatuan Penduduk Jalan 8/30, Bandar Baru Bangi, Selangor walaupun bukan diadakan dalam sempena Syawal tetapi kehangatan pada penghujung hari raya masih terasa, sekali gus menjadikan ia seolah-olah sambutan rumah terbuka Aidilfitri.

Pengerusinya, Ahmad Suhaimi Sulaiman, berkata program Jamuan Raya Setaman sengaja tidak diadakan dalam bulan Syawal bagi memberi peluang penduduk menyambut dan menghadiri rumah terbuka Aidilfitri di tempat lain.

Beliau berkata, program Jamuan Raya Setaman mempunyai serampang dua mata iaitu meraikan penduduk setahun sekali dengan aktiviti makan-makan selain persatuan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi memilih barisan kepimpinan baru taman itu.

Kehadiran penduduk Jalan 8/30 agak memuaskan walaupun hujan renyai-renyai ketika diadakan Jamuan Raya Setaman.


"Kita menjimatkan masa, tenaga dan kewangan dengan mengadakan dua majlis serentak kerana jika diadakan berasingan, ia memerlukan kos tinggi apatah lagi terpaksa membuat dua persiapan berbeza termasuk memasang khemah dan makan minum.

"Kita juga mengadakan AGM sempena Jamuan Raya Setaman kerana lebih ramai penduduk dapat hadir untuk mengikuti mesyuarat tahunan itu bagi memilih barisan kepimpinan mereka untuk tempoh dua tahun selain mengikuti perkembangan semasa apa yang berlaku di taman itu.

"Alhamdulillah, perancangan kami berjalan lancar dan meriah walaupun suasana jamuan diadakan dalam hujan tapi penduduk tetap datang dan berkumpul untuk menikmati hidangan yang disediakan," katanya. Program Jamuan Setaman dan AGM Persatuan Penduduk Jalan 8/30B dirasmikan Ahli Majlis Zon 16, Bukhari Bachok. 

Ahmad Suhaimi Sulaiman


Ahmad Suhaimi berkata, jamuan itu diadakan bagi merapatkan ukhwah dan perhubungan antara penduduk kerana kebiasaannya masing-masing sibuk dengan tugas di pejabat dan kadangkala tidak sempat beramah mesra sesama jiran.

Beliau berkata, ketika perumahan itu diduduki kira-kira 20 tahun lalu, ukhwah antara penduduk amat baik malah setiap program diadakan sentiasa menerima sambutan dan maklum balas baik komuniti, mungkin masa itu kebanyakan penghuni masih muda manakala anak-anak masih kecil. 

Ibu bapa membawa anak-anak bagi memeriahkan program Jamuan Raya Setaman.


Anak-anak penduduk yang dulunya masih kecil, kini sudah dewasa dan mereka memeriahkan program yang diadakan. 


"Tapi, sejak akhir-akhir ini saya perhatikan, ukhwah itu semakin kendur dan renggang, mungkin ramai penghuni yang berusia dan anak-anak sudah besar, jadi mereka lebih memberi fokus kepada keluarga berbanding hubungan sesama penduduk.

"Saya bimbang melihat fenomena itu kerana ada aktiviti yang diadakan gagal mendapat sambutan seratus peratus dan jika dibiarkan berterusan, ia boleh menjadi lebih parah sedangkan kita duduk dalam taman yang sama, sebelah menyebelah dan mesra sebelum ini.

"Saya anggap fenomena ini mengusarkan, jadi saya terpanggil untuk merapatkan semula ukhwah yang mungkin sedikit renggang dan mengelak jurang menjadi lebih besar. Saya faham masing-masing ada komitmen sendiri. apatah lagi apabila sudah berumur, semangat untuk bersama dalam aktiviti dalam taman semakin kurang," kata Ahmad Suhaimi.

Ibu dan anak turut hadir bersama penduduk taman lain untuk meraikan program jamuan dan AGM. 


Isteri menyuap makanan kepada suami, antara gelagat menarik yang dirakam di Jamuan Raya Setaman. 


Katanya, jika dibandingkan dengan sambutan jamuan yang sama pada 2014, kemeriahannya dua kali ganda. Contohnya setiap khemah yang disediakan setiap blok, mereka memberi komitmen 100 peratus bagi menghias dan kehadiran memang ramai termasuk anak-anak.

"Saya tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan kerana bahaya jika masyarakat hanya mementingkan diri sendiri dan kelompok mereka sedangkan perhubungan penduduk taman juga penting apatah lagi jika mahu mengadakan kenduri kendara, kematian atau kecemasan.

"Saya amat mengharapkan ahli jawatankuasa yang diberi tanggungjawab memegang biro tertentu terutama program membabitkan penduduk menjalankan tugas dengan berkesan bagi memastikan ia berfungsi dengan baik untuk kepentingan komuniti.

Pelbagai jenis makanan disediakan penduduk taman sempena program jamuan di Jalan 8/30, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Jamuan Raya Setaman memberi peluang penduduk untuk merapatkan ukhwah sampai menikmati pelbagai jenis makanan.


"Insya-Allah, saya akan melihat semula fungsi setiap biro yang dilantik bagi memastikan kelemahan sebelum ini diperbetul dan mereka yang memegang semua tanggungjawab itu berfungsi seperti diharapkan," kata Ahmad Suhaimi lagi.

Mengenai persiapan untuk program Jamuan Setaman, katanya mesyuarat diadakan beberapa kali bagi mengagihkan tugas melalui ketua di setiap blok, alhamdulillah mereka melakukan tugas seperti yang dipersetujui.

"Ada tiga jawatankuasa yang dibentuk iaitu berkaitan jamuan, AGM dan cabutan bertuah. Semua berjalan lancar tapi sedikit kelemahan di sana sini memang tidak dapat dielakkan, tapi saya berpuas hati. 

Program jamuan adalah platform terbaik bagi membolehkan penduduk membina semula perhubungan sesama mereka. 


Ditanya pembabitan golongan muda, Ahmad Suhaimi mengakui memang ada sedikit kekurangan berbanding pembabitan bapa-bapa mereka dulu tapi beliau perhatikan ramai juga anak-anak muda yang hadir dalam jamuan itu. Ia perkembangan baik dan berharap mereka yang diberi tanggungjawab memegang biro belia dapat menarik lebih ramai golongan muda nanti.

Sebagai pengerusi, beliau tidak menafikan ia tugas mencabar kerana perlu mengendalikan penduduk yang mempunyai latar belakang berbeza, contohnya bidang saya kejuruteraan mungkin tidak sama dengan guru atau ahli perniagaan tapi kita perlu bertolak ansur dan menerima mereka mengikut acuan masing-masing.

"Saya menerima idea mereka dan cuba melaksanakan jika ia baik untuk taman kerana saya tidak mahu ada sikap "engkau engkau dan aku aku" tapi dalam mana-mana komuniti kita tidak boleh lari daripada cabaran. Kadangkala sukar memenuhi kepuasan semua penduduk tapi ketegasan perlu atau keadaan menjadi lebih teruk.

"Saya berpegang kepada prinsip, "if you want to make people happy don't be a leader... sell ice cream" kerana sepanjang menjadi pengerusi, saya pernah dimaki dan diserang penduduk hanya kerana hal-hal kecil yang saya buat untuk kepentingan penduduk, bukan untuk diri sendiri. 

Dalam hujan, ramai penduduk sanggup datang walaupun dalam berpayung semata-mata memeriahkan program yang diadakan di taman mereka.


"Dalam mana-mana kepimpinan, kita tidak boleh memuaskan hati semua orang tapi keutamaan perlu diletakkan kepada kepentingan komuniti malah sebagai ketua dalam persatuan, seseorang itu perlu banyak berkorban walaupun ia kadangkala memenat dan membuat kita kecewa," katanya.

Mengenai bayaran pengawal keselamatan, katanya ia adalah cabaran besar kerana bukan semua penduduk membuat pembayaran walaupun ia adalah tanggungjawab setiap penduduk kerana ia membabitkan soal keselamatan dan kehidupan yang lebih selamat.

Beliau berkata, setakat ini persatuan belum mendapat komitmen 100 peratus penduduk membuat pembayaran, hanya 70 hingga 80 peratus menjalankan tanggungjawab itu walaupun bayaran hanya RM70 sebulan. 

Seorang penduduk menerima hadiah cabutan bertuah.


"Ada penduduk yang begitu komited dan membuat pembayaran untuk setahun tapi ada yang langsung tidak membayar sejak tinggal di taman itu walaupun hakikatnya mereka mampu, entahlah saya pun tak faham kerana kita sudah menghebahkan perkara ini tapi mereka sengaja buat tidak tahu.

"Saya tidak fikir mereka tidak tahu tapi ia adalah masalah sikap, mereka hanya mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan masalah orang lain tapi bayangkan jika rumah mereka dimasuki pencuri atau berlaku kecemasan, siapa yang patut dipersalahkan?

"Dulu tiada pagar, persatuan usaha membuatkan. Sepatutnya jika hidup bermasyarakat dalam taman, mereka patut meraikan semua pihak, ikut peraturan sebab persatuan bukan membuat sesuatu untuk menyusahkan sesiapa tapi demi kebaikan semua," katanya.   

Beliau mengakui, tanggungjawab persatuan adalah tugas sukarela dan tidak dibayar gaji, jadi ia mungkin salah satu sebab ramai tidak berminat untuk mengambil bahagian. 

Antara penduduk bertuah yang menerima hamper sempena cabutan bertuah.


"Harapan saya, penduduk dapat mengembalikan suasana 15 atau 20 tahun lalu kerana jika saya seorang yang bertungkus lumus melakukan kerja, ia tidak akan bertahan lama, akhirnya saya akan kecewa dan mengangkat bendera putih.

"Saya mengharapkan penduduk bersama saya kerana taman ini milik kita dan apa yang kita buat untuk kepentingan semua. Pupuklah sikap kasih sayang sesama jiran, hormat menghormati, menjaga perasaan jiran, jaga kebersihan, longkang, belakang rumah kena tengok sekali sekala dan jangan biarkan ia jadi belukar kerana boleh mengundang binatang berbisa seperti ular.

"Jika menanam pokok, usah biarkan sehingga mengganggu jiran, perlu jaga, begitu juga meletak kereta, jangan menghalang jiran untuk masuk ke kediaman mereka tapi ramai nak buat kerja mudah dan pentingkan diri sendiri tapi jika kena batang hidung sendiri, tahu pula mereka marah.

"Insya-Allah lepas ini saya bercadang untuk mengadakan gotong royong bagi memastikan taman kita bersih dan bebas daripada pelbagai penyakit. Dua tahun lalu, kami mengadakan program yang sama memandangkan ada kes demam denggi yang turut meragut nyata. Moga tiada lagi kejadian seumpama itu," kata Ahmad Suhaimi. 

Bukhari Bachok


Sementara itu, Bukhari meminta kerjasama penduduk melaporkan sebarang kejadian yang berlaku di persekitaran mereka kerana tanpa aduan, pihaknya sukar untuk membantu menyelesaikan sebarang masalah.

"Insya-Allah, saya akan berusaha untuk membantu dengan memanjangkan aduan penduduk kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) atau melalui Mesyuarat Ahli Majlis kerana kawasan di bawah saya meliputi Seksyen 7, 8, 9, Sungai Ramal Dalam, Kajang Mewah sehingga ke Hentian kajang.

"Dulu, ada penduduk mengadu mengenai masalah kebanjiran anjing liar, saya meminta mereka mengambil gambar bagi memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan. Alhamdulillah, masalah itu semakin berkurangan dan jika ada lagi masalah yang sama, buat aduan terus kepada saya atau MPKj," katanya. - KitaReporters

Anak penduduk taman Jalan 8/30 antara mereka yang bertuah menerima hamper sempena cabutan bertuah

21
14
0
14
0
You will be interested