Insan & Komuniti 20 Feb, 2024

Khitan Jamai'e Bangi 2024 meriah! PKNS bersama LZS, AYG raikan 30 kanak-kanak! Dapat duit raya lagi!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023.

Share this


PROGRAM Khitan Jamai'e Bangi 2024 meriah kerana 30 peserta berusia dari tujuh tahun sehingga 11 tahun dilayan seperti "raja sehari" apabila mereka diarak dengan paluan kompang daripada Kumpulan Kesenian Kompang Warisan Taman Asia Jaya, Kajang, sebelum mandi beramai-ramai dengan semburan air daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi, Selangor.

Program bersunat itu dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Adab Youth Garage (AYG), Seksyen 1 Bandar Baru Bangi, Selangor selain Megaklinik Zahran Bangi yang menyediakan pakar perubatan untuk mengkhatan peserta. 

Peserta khatan mandi beramai-ramai menggunakan semburan air daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Bandar Baru Bangi, Selangor


Pegawai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PKNS, Mohamad Shafiq Othman, berkata ini adalah program pertama perbadanan itu bekerjasama dengan LZS dan Adab Youth Garage pada tahun ini (2024) walaupun sudah bersama Lembaga Zakat Selangor sejak 2013 dalam menyantuni golongan asnaf, fakir dan miskin, muallaf, fisabilillah dan golongan B40.  

Beliau berkata, setiap ibu bapa peserta ditaja RM150 untuk kos bersunat dan mereka hanya perlu membayar RM50 untuk keseluruhan kos berkhatan bersama staf daripada Megaklinik Zahran Bangi.

"Bagi mengucapkan tahniah atas keberanian mereka mengambil bahagian dalam program ini, kami memberikan kepada setiap peserta duit raya RM50 selepas selesai berkhatan.

"Tajaan dan sumbangan duit raya itu bagi membantu golongan B40 yang mungkin menghadapi masalah kewangan berikutan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu," katanya. 

Mohamad Shafiq Othman


Ditanya mengapa memilih Bandar Baru Bangi sebagai lokasi mengadakan program berkhatan, katanya sebelum ini pihaknya pernah bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Perkampungan Orang Asli Pulau Indah membabitkan 50 peserta tapi yang ini selain menyokong program bersama LZS, PKNS juga mahu menyantuni Bangi sebagai kawasan pembangunan perbadanan itu.

Menurut  Mohamad Shafiq , PKNS sentiasa menjalankan program CSR seperti memberi sumbangan kepada kanak-kanak sekolah, membeli meja dan kerusi kantin untuk sekolah di Klang, membina rumah untuk asnaf dan fakir miskin, menyantuni Orang Asli dan menderma kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia melalui tabung di hospital-hospital yang ada di selangor.

"Melalui sumbangan itu, hospital boleh guna duit daripada tabung untuk membiayai pesakit daripada golongan asnaf dan B40 yang tidak mampu sebab ada kos perubatan tertentu yang tidak ditanggung kerajaan. Ini cara PKNS memberi manfaat kepada penduduk di Selangor. 

Kumpulan Kesenian Kompang Warisan Taman Asia Jaya, Kajang, Selangor


"Kami juga memberi sumbangan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terpilih tapi dalam jumlah yang kecil di antara RM1,000 hingga RM3,000 malah kami meraikan golongan tidak berkemampuan sepanjang Ramadan setiap tahun seperti membeli baju raya untuk anak-anak yatim, gelandangan dan persatuan orang buta.

"Semoga sedikit pemberian PKNS dapat memberi sedikit inspirasi kepada orang lain dan membuktikan perbadanan ini bukan sebuah organisasi yang hanya mementingkan keuntungan tapi peka serta ambil berat kebajikan dan kesejahteraan penduduk di Selangor selain memastikan kawasan yang disantuni, mereka tidak jauh daripada kita dan kita pun tidak meninggalkan mereka," kata  Mohamad Shafiq lagi.

Nor Syahda Sazali


Bagi Eksekutif Pengurusan Acara Divisyen Perhubungan Stakeholder & Komunikasi Korporat LZS, Nor Syahda Sazali, pihaknya memberi sokongan kepada program bersifat fardu kifayah seperti aktiviti berkhatan apatah lagi bersama rakan baik seperti PKNS yang sentiasa memberi kerjasama kelas pertama dalam setiap acara yang diadakan sebelum ini.

"Alhamdulillah, program yang dirancang berjalan lancar dan LZS menyerahkan sumbangan RM6,000 untuk tajaan program khitan kepada 30 kanak-kanak berusia di antara tujuh tahun hingga 11 tahun.

"Difahamkan sambutan untuk program ini amat menggalakkan, insya-Allah, kami akan cuba mengambil lebih ramai peserta untuk program berkhatan pada masa depan apatah lagi jika sumbangan yang diberikan LZS dapat memanfaatkan umat Islam terutama ibu bapa golongan B40," katanya. 

Ada peserta berkhatan yang agak gementar dan terpaksa dipujuk dan ditenteramkan oleh ibu bapa mereka.


Sementara itu,  Pengarah Khitan Jamaie Bangi 2024, Mohamad Thaqif Aiman Wero, berkata pihaknya mendapat kerjasama baik daripada PKNS dan LZS untuk program berkhatan kali ini yang memberi manfaat kepada anak-anak daripada golongan ibu bapa B40 sekitar Bandar Baru Bangi.

"Alhamdulillah, saya gembira program yang dirancangkan berjalan dengan lancar, kanak-kanak diarak dengan paluan kompang dan dimandikan dengan air bomba daripada Jabatan Bomba Bandar Baru Bangi selain mendapat mendapat kemudahan bersunat terbaik daripada petugas Megaklinik Zahran Bangi.

"Sebagai sebuah NGO yang menaungi aktiviti belia, Adab Youth Garage mengalu-alukan program seumpama ini malah kami membantu ramai golongan belia di negara ini termasuk menyediakan kelas percuma kepada mereka yang tidak berkemampuan.

"Saya berharap program berkhatan ini dapat dijadikan acara tahunan dengan kerjasama PKNS dan LZS selain kami dapat mengambil lebih ramai peserta berbanding hanya 30 peserta kali ini," katanya. - KitaReporters

Mohamad Thaqif Aiman Wero

18
10
0
14
0
You will be interested