Insan & Komuniti 07 Jun, 2021

Sebelum ni, Datu Sadam uruskan jenazah mangsa COVID-19! Semalam jenazah beliau pula diuruskan!

@sarfarizmal saad
Penulis merupakan pemimpin pelajar IPTA suatu ketika dulu. Pernah bertugas di 4 kementerian dan beberapa pasukan komunikasi strategik. Mula menulis di akhbar sejak 2009. Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan bekas Pegawai Khas YBM.

Share this

Datu Mohd Sadam Turan. - Kredit foto: FB Datu Sadam


"Dahulu beliau menguruskan jenazah pesakit COVID-19. Semalam, jenazah beliau pula diuruskan oleh petugas. Besar jasa beliau kepada umat Islam di Labuan."

Begitulah coretan yang dihantar dalam media sosial oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sejurus menerima khabar sedih kehilangan seorang staf Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan pada Ahad, 6 Jun 2021.

Perkongsian Zulkifli yang sekarang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu telah menarik minat ramai warganet untuk menghargai jasa dan pengorbanan seorang frontliners ini.


Lagi cerita-cerita menyayat hati mengenai meninggal dunia

Kredit foto: FB Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri


Bekas staf beliau yang memiliki nama yang unik iaitu Datu Mohd Sadam Turan merupakan Pembantu Hal Ehwal Islam yang berkhidmat di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan sejak tiga atau empat tahun lalu.

Allahyarham juga banyak terlibat dalam Pasukan Pengurusan Jenazah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Persekutuan (JAWI) bagi menguruskan jenazah pesakit COVID-19.

"Beliau pergi dalam usia yang muda 30 tahun, namun saya berbangga dengannya kerana sebelum didapati positif COVID-19, beliau terlibat sebagai Pasukan Pengurusan Jenazah JAKIM dan JAWI bagi menguruskan jenazah pesakit COVID-19.

"Saya doakan semoga Allahyarham Datu Sadam Turan dikurniakan syahid dan ibu bapa serta keluarganya dikurniakan ketabahan dan kesabaran," tambah Zulkifli.




Allahyarham Datu Sadam boleh dianggap sebagai wira yang tak didendang yang memastikan urusan fardu kifayah dalam komuniti kita dapat disempurnakan dengan sehabis baik.

Rata-rata warganet yang ditemui dalam laman media sosial mengharapkan kita semua merenung kembali betapa penat dan lelahnya barisan frontliners seperti Datu Sadam yang setiap hari berhadapan pelbagai tanggungjawab berisiko tinggi, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah buat ahli keluarga dan jiran tertangganya.

Oleh sebab itu, keperluan kita mengikut tanpa soal akan setiap arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan adalah melebihi dari keperluan-keperluan lain ketika keadaan genting sebegini.


Kredit foto: FB KKM


Menginsafi pemergian wira ini, beberapa warganet berpendapat secara tidak langsung Tuhan ingin menunjukkan kepada kita betapa bahayanya virus maut COVID-19 ini, kerana cara ia merebak dan menjangkiti orang lain semakin agresif serta tidak mudah dikesan.

Bayangkanlah, pengurusan jenazah pesakit COVID-19 bagi yang beragama Islam menggunakan cara tayamum (tidak menggunakan kaedah lazim iaitu air), ia tetap berisiko tinggi menjangkiti mereka.

Walhal kita semua sedia maklum, setiap seorang petugas yang ingin bertugas merawat, menjaga atau menguruskan pesakit mahupun jenazah akibat COVID-19 ini perlu memakai pakaian khas iaitu Pakaian Perlindungan Peribadi (Personal Protective Equipment atau PPE).

Setakat hari ini, penggunaan PPE merupakan satu-satunya perlindung diri paling berkesan untuk menjaga diri daripada diserang virus tersebut ketika bertugas di kawasan bergejala atau berisiko.

Walaupun kaedah tayamum ini tetap berisiko menjangkiti mereka yang bertugas, namun ia disahkan lebih selamat berbanding menggunakan air seperti mengurus jenazah biasa.

Sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JAKIM dan jabatan agama Islam negeri mensyaratkan untuk menggunakan air bagi menyempurnakan proses mandian jenazah, risiko yang dihadapi oleh para petugas jauh lebih tinggi dan lebih bahaya.


Kredit foto: FB KKM


Justeru kita perlu mendokong dan patuh kepada setiap arahan pihak berwajib dalam usaha menyekat penularan virus ini, kerana mereka telah membuat kajian demi kajian terlebih dahulu sebelum sesuatu arahan itu dikuatkuasakan.

Sebagai orang awam, tidak sepatutnya kita menimbulkan kekeliruan atau menghasut mereka yang lain untuk melanggar atau skeptikal terhadap arahan SOP, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekatan perjalanan penuh (SPP) dan sebagainya.

Semoga Allahyarham Datu Sadam ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan mati syahid. 

Pada masa sama kita berharap akan lahir lebih ramai insan cekal dan berani seperti Datu Sadam dalam membantu komuniti menyempurnakan proses fardu kifayah dalam kalangan kita. 

Al-Fatihah! - Kitareporters


1
0
4
0
0
You will be interested