“MAKCIK berharap untuk sambutan Hari Raya Korban atau Aidiladha pada hujung bulan Julai nanti akan dapat bersama-sama anak untuk meraikannya. Pada masa itu makcik berharap penularan wabak Covid-19 dapat dikurangkan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diberi kelonggaran bagi membolehkan anak, menantu, cucu dan cicit merentas negeri untuk pulang beraya,” keluh Rahmah Che Su, 80.
Beliau berkata, untuk sambutan Raya Aidilfitri kali ini dia begitu sayu mengenangkan enam anaknya yang bekerja di luar Kelantan tidak dapat pulang beraya seperti lazimnya, manakala diri makin tidak kuat untuk bergerak.
Menurutnya, berikutan itu juga dapurnya tidak berasap untuk sambutan Aidilfitri yang selalunya anak dan menantu dia akan bergegas di dapur bekerjasama memasak pelbagai juadah khususnya kerutuk daging, ayam dan nasi minyak.
Rahmah setia menunggu di depan pintu rumah walaupun sedar anaknya tidak pulang pada Aidilfitri kerana PKPB yang menghalang rentas negeri.
“Juadah itu merupakan yang mesti dihidangkan pada pagi Aidilfitri untuk dinikmati bersama-sama sebaik pulang dari masjid atau surau selepas menunaikan solat Aidilfitri yang disulami suasana sayu dan sebak bermaaf-maafan.
“Makcik amat sedih dan sayu apabila melihat dalam rumah begitu sunyi, tiada bunyi bising riuh rendah suara anak, menantu, cucu dan cicit ditambah lagi suami sudah lama meninggal dunia,” katanya yang dihubungi di Wakaf Bharu, Kelantan menerusi telefon bimbit menantunya Muhamad Mahamud, baru-baru ini.
Kecanggihan teknologi membolehkan Rahmah dapat berkomunikasi dengan anak dan cucunya menerusi WhatsApp Video Call pada pagi Aidilfitri.
Rahmah
berkata, bagaimanapun rasa sedihnya itu terubat apabila dua anaknya menetap
berhampiran rumah dan anak-anak mereka menjadi pengubat rindu kepada cucu dan
cicit yang tinggal di Kuala Lumpur.
Menurut
beliau, anak bongsu dia yang menetap berhampiran rumah banyak membantu
menguruskannya termasuk dari segi menyediakan makan minum dan membawa ke pusat kesihatan apabila memerlukan
rawatan susulan sakit kencing manis, darah tinggi dan jantung.
Rahmah melihat album lama anak-anaknya dengan ditemani cucunya, Nur Farhana Najma Muhamad yang tinggal berdekatan.
Sementara itu, Muhamad berkata, secara kebetulan apabila PKPB diteruskan dia dan keluarga tidak dapat merentas negeri untuk pulang beraya di Kedah dan terpaksa beraya di sini bersama-sama emak mertua yang tinggal bersendirian.
Beliau berkata, kelazimannya sepeninggalan dia pulang ke Kedah, emak mertuanya itu akan dijaga oleh abang dan kakak ipar yang pulang dari Kuala Lumpur untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama emak mereka.
“Saya juga tersentuh hati apabila emak mertua sering merungut dan bergenang air mata kerana abang dan kakak ipar tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri di kampung,” katanya. - KitaReporters
Muhamad Mahamud