Insan & Komuniti 31 May, 2020

P. (Pemain Sepak Takraw) Ramlee: Seniman Agung Si Apit Kiri!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

JUMAAT, 29 Mei 2020 genap 47 tahun kembalinya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ke rahmatullah akibat serangan jantung di Kuala Lumpur pada usia 44 tahun. Sepanjang hayatnya ramai peminat menganggap, huruf nama pangkal 'P' itu membawa banyak maksud bakat dan kemahiran yang dikurniakan Allah kepadanya dalam lapangan seni. : KitaReporters

P. Ramlee handal mematikan bola dengan tandukan kencang. 


P-nya sebagai 'Pelakon', 'Penyanyi', 'Pelawak', 'Pemuzik', 'Pengarah' dan 'Penulis Skrip atau Lirik' memang telah terbukti tetapi mungkin hanya segelintir peminat yang menyedari dia juga handal selaku 'Pemain Sepak Takraw'.

Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh (nama sebenarnya) dikatakan menggemari posisi apit kiri dalam sukan warisan tradisi Melayu ini yang dicipta di Pulau Pinang pada 1946.

DI tengah berdiri, dengan regu Sangga Buana dan lawan termasuk Hussin Hitam (depan, tengah), 'killer' penanduk. 


Kecenderungan sepak takrawnya sesekali terselit dalam filem lakonannya yang berjudul Tiga Abdul, Ibu Mertuaku dan Antara Dua Darjat.

Tentu ramai yang tidak kering gusi dengan adegan dialog lucu watak kadam mengumumkan kedatangan saudagar barang-barang purba, Sadiq Sepakraga (sebenarnya Sadiq Segaraga didukungi Allahyarham Ahmad Nesfu).

Adegan sekumpulan anak muda bermain sepak raga bulatan (cabang asal sebelum kedatangan sepak raga jaring/sepak takraw) dipaparkan Ibu Mertuaku ketika watak Kassim Selamat dan isterinya, Sabariah Mansor tiba dengan beca untuk menyewa rumah milik Abang Ali. Aksi sama turut terdapat di halaman rumah watak Ghazali dalam Antara Dua Darjat

Ramlee, kelahiran di Jalan Counter Hall (kini Jalan P Ramlee), Pulau Pinang ini dikatakan turut menjadi antara pelopor perkembangan sepak takraw di Singapura ketika berkarya dengan Malay Film Productions Ltd. di Studio Jalan Ampas, republik itu sekitar era 1960-an.

Malah dia pernah menghadiahkan Oskar Sumbangsih P. Ramlee kepada Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) sebagai piala pusingan khas untuk sebuah pertandingan di republik itu.

Oskar ini masih ada dan dipamerkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee (asalnya kediaman arwah beralamat Nombor 22, Jalan Dedap, Taman Furlong, kini Taman P. Ramlee, Kuala Lumpur) yang di bawah kelolaan Arkib Negara sejak 1986.

OSKAR Sumbangsih P. Ramlee, piala khas sepak takraw yang berukiran peta Singapura, terdapat di Pustaka Peringatan P. Ramlee, Kuala Lumpur. - Kredit foto: Kafebuzz


Dikatakan juga angka kegemaran Seniman Agung ini ialah tiga (3) yang terbukti dalam judul filem Madu Tiga mahupun lagu selingan di dalamnya, Pukul 3 Pagi, Bujang Lapok (tiga watak utama, Ramlee, Aziz dan Sudin) dan Do Re Mi

Angka itu sinonim dengan bilangan pemain dan tiga sentuhan bola oleh setiap regu yang berlawanan, tanpa mengira sama ada secara timangan, rejaman, tandukan atau sepakan biasa selagi tidak menggunakan tangan.

Sebuah laman Facebook, Musika – Malaya’s Early Music Scene from 1900’s to 1965 (Babak Muzik Awal Malaya dari 1900-an hingga 1965) pada 17 Julai 2017, turut menyiarkan kehebatan Ramlee dalam sukan ini yang dianggarkan antara lewat 50-an atau awal 60-an.

Beliau dan pasukannya, Sangga Buana dan Sekawan Bintang sering bertandang ke Kampung Siglap, Singapura untuk mengadakan perlawanan sepak takraw sehingga menarik kehadiran ramai penduduk untuk menyaksikannya, lapor laman sosial itu.

LAPORAN akhbar aksi P. Ramlee dengan pasukan sepak takraw (sepak raga jaring) Sangga Buana di Kampung Siglap, Singapura. Gambar kiri bawah, Aziz Sattar (kiri). - Kredit foto Facebook Musika


Terdapat gambar Allahyarham Datuk Aziz Sattar di sampingnya yang membuktikan watak utama filem Ali Baba Bujang Lapok itu turut handal bermain sepak takraw dengan pasukan ini.

MOHD. YUSSOF LATIFF


Dua daripada tokoh pengasas Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu/Malaya (PSRM - kini Persatuan Sepak Takraw Malaysia – PSM), Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Latiff (bekas Setiausaha Kehormat PSM) dan Allahyarham Ibrahim Mohd. Zain dikatakan bersahabat karib dengan P. Ramlee di Pulau Pinang.

Terdapat beberapa gambar mereka dengan Seniman Agung ini ketika di Pulau Pinang dalam infotakraw.com, sebuah blog milik anak Allahyarham Hamid Mydin iaitu pengasas sepak raga/sepak takraw, Zahari Hamid.

Sudah pasti banyak maklumat mengenai gaya permainan sepak takraw Allahyarham yang diketahui Yussof, 90, kini Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) yang juga pengasas Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang (KPPRPP). - KitaReporters

17
5
0
0
1
You will be interested