PEMERGIAN legenda badminton negara, Tan Aik Mong, 70, merupakan satu kehilangan besar kepada negara. Jasa bakti yang dicurahkan untuk mengharumkan nama negara, khususnya dalam sukan badminton, sangat tinggi nilainya. Bekas pemain badminton negara itu meninggal dunia pada Ahad, 31 Mei 2020 dalam usia 70 tahun di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, Selangor, akibat kanser hati. : KitaReporters
TAN AIK MONG meninggal akibat kanser hati di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya pada 31 Mei.-Kredit Badminton Planet.
Nama Tan Aik Mong mungkin kurang dikenali oleh peminat badminton sekarang. Namun sekitar tahun 60-an dan awal 70-an namanya bersinar dalam arena badminton dalam dan luar negara.
Antara mereka yang seangkatan dengan mendiang ialah legenda hebat seperti Tan Aik Huang, yang juga abangnya, Ng Boon Bee, P. Gunalan dan Tan Yee Khan.
Aik Mong, yang berasal dari Pulau Pinang, bersama pasukan kebangsaan dari tahun 1966 hingga 1975.
Dia mewakili Malaysia pada pertandingan akhir Piala Thomas 1972 di Kuala Lumpur di mana negara muncul naib johan.
Mendiang mempunyai keistimewaan sebagai pemain serampang dua mata. Selain sebagai pemain perseorangan, dia juga merupakan pemain beregu.
TA AIK MONG tangkas beraksi pada kejohanan ABC di Jakarta pada 1971.-Kredit Twitter.
Sementara abangnya, Tan Aik Huang pernah menjadi juara All England pada tahun 1966, kejayaan terbesar Tan Aik Mong sebagai pamain perseorangan ialah menjuarai Kejohanan Badminton Asia (ABC) pada 1971 di Jakarta.
Aik Mong juga memenangi dua pingat gangsa dalam Sukan SEAP (kini dikenali sebagai Sukan SEA) di Singapura pada 1973.
Bakat mendiang dalam badminton mula menyerlah pada usia 15 tahun.
Ketika itu dia menyertai Pertandingan Badminton Sekolah-Sekolah Asia di Sri Lanka pada tahun 1965. Turut menyertai ialah seorang lagi bekas pemain negara, Datuk James Selvaraj.
Aik Mong kemuian banyak terlibat dalam Persatuan Badminton Malysia (BAM), termasuk sebagai jurulatih. Mendiang bertanggungjawab melatih pemain-pemain termasuk anak-anak Sidek, iaitu Misbun, Jalani dan Razif pada tahun 80-an.
Mendiang juga pernah memegang jawatan Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat BAM pada 2013, walaupun untuk waktu yang singkat.
Dia mempunyai banyak perancangan untuk meningkatkan mutu latihan dan kejurulatihan dalam BAM. Sayangnya dia tidak berkhidmat lama untuk merealisasikan impiannya.
LEGENDA badminton, Tan Aik Mong (kiri) bersama abangnya yang juga juara All England 1966, Tan Aik Huang.- Kredit The Star.
Sebagai jurulatih atau pentadbir, Aik Mong terkenal dengan displin dan bersemangat tinggi dalam melaksanakan tugas.
Dia mahu badminton negara mencapai kecemerlangan dan sentiasa berusaha ke arah mencapai matlamat tersebut.
Dalam kesibukan menabur bakti sebagai pemain negara, Aik Mong tidak mengabaikan pelajaran.
Kerana itu mendiang bukan sahaja berjaya sebagai seorang bintang badminton tetapi juga berjaya dalam bidang akademik.
Lulusan Universiti Malaya itu dikenali sebagai 'pakar komputer' dan berpengetahuan luas dalam bidang teknologi maklumat.
Dia pernah bertugas sebagai penganalisis sistem dan pengurus komputer di dua buah syarikat komputer besar di negara ini.
Mendiang yang juga aktif bermain golf, tidak pernah melupakan kawan-kawan lama sepermainan. Dia mahu hubungan dan interaksi antara mereka terus berkekalan.
Kerana itulah dia dan beberapa pemain lain mengadakan majlis perjumpaan tahunan, untuk bertemu muka dan bersantai sambil membincangkan pelbagai perkara.
Tentunya badminton topik yang pasti tidak ditinggalkan.
Pemergian Tan Aik Mong amat dirasai, bagai padamnya sebutir bintang yang menyinari badminton negara. Namun semangat dan kegigihannya berbakti untuk negara wajar dijadikan teladan untuk memajukan lagi badminton negara. : KitaReporters