Insan & Komuniti 07 Jun, 2025

Lebih 16,000 penerima dapat manfaat! Ibadah korban di 7 negara! Usaha MAHAR santuni penduduk rentan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this


MALAYSIAN Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) melaksanakan Program Ibadah Korban 1446H/2025M di tujuh lokasi membabitkan tujuh negara yang terjejas akibat konflik dan kemiskinan melampau.

Negara-negara terbabit ialah Somalia, Kenya, Bangladesh, Thailand, Filipina, Mesir (untuk Palestin) dan Malaysia.

"Secara keseluruhan, Program Ibadah Korban MAHAR 2025 akan memberi manfaat kepada lebih 16,000 penerima, menjadikan inisiatif ini antara pencapaian terbesar MAHAR dalam sejarah pelaksanaannya.


Somalia, Kenya, Bangladesh, Thailand, Filipina, Mesir (untuk Palestin) dan Malaysia antara negara-negara yang terbabit dalam program korban MAHAR.


Ia program tahunan MAHAR bagi menyantuni masyarakat rentan yang berdepan pelbagai cabaran seperti kekurangan zat makanan dan krisis kemanusiaan.

Ia  memberi  tumpuan  khusus  kepada  golongan paling memerlukan di kawasan terjejas akibat bencana, peperangan dan kemiskinan tegar.

Presiden MAHAR, Jismi Johari, berkata agihan daging korban disasarkan kepada golongan miskin dan terpinggir, terutama di Kenya dan Somalia, di mana penduduk hanya berpeluang menikmati daging setahun sekali.


Jismi Johari


Beliau berkata, di Malaysia, agihan dilaksanakan secara tersusun membabitkan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Sungai Besi, komuniti setempat melalui Pusat Khidmat ADUN Semerah selain pelarian Palestin dan Syria di Malaysia.

"Di Filipina, agihan difokuskan kepada golongan mualaf, khususnya komuniti Islam yang baru memeluk agama dan hidup dalam serba kekurangan. Tahun ini (2025), dua lembu dikorbankan di Mesir untuk diagihkan kepada rakyat Palestin yang berlindung di sana.


Program Ibadah Korban MAHAR 2025 akan memberi manfaat kepada lebih 16,000 penerima.


"Sebahagian daging korban itu diproses dan dibungkus berbentuk pek makanan untuk dihantar ke wilayah Gaza, sebagai kesinambungan komitmen MAHAR menyantuni mangsa konflik berpanjangan," katanya.

Istimewanya tahun ini (2025), katanya MAHAR turut melaksanakan korban khas atas nama dan bagi pihak ahli, petugas,  sukarelawan serta rakan media yang banyak membantu misi-misi kemanusiaan pertubuhan itu.

"Ia sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka bersama kami, dari medan bencana hingga ke ruang sidang media dan perbincangan dasar, justeru ia simbol kasih dan pengiktirafan terhadap mereka.


MAHAR turut melaksanakan korban khas atas nama dan bagi pihak ahli, petugas, sukarelawan serta rakan media yang banyak membantu misi-misi kemanusiaan pertubuhan itu.


"Inisiatif ini bukan sahaja bersifat simbolik tetapi manifestasi keikhlasan MAHAR menghargai usaha bersama dalam menjayakan misi kemanusiaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Semua proses penyembelihan dan agihan korban dijalankan mengikut hukum syarak, mematuhi  piawaian  kesihatan dan diselia secara telus rakan pelaksana bertauliah di negara-negara berkenaan," katanya.

Beliau turut memberi penghargaan kepada penyumbang, rakan pelaksana dan penyokong yang bersama-sama  menjayakan program  ini. Anda boleh melayari media sosial rasmi MAHAR di http://www.mahar.my/ untuk maklumat lanjut. - KitaReporters


Program Ibadah Korban MAHAR 1446H/2025 membabitkan tujuh negara yang terjejas akibat konflik dan kemiskinan melampau.

 

14
30
0
11
0
You will be interested