SEKALIPUN Selangor kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermulai 5 Mac hingga 18 Mac 2021 ini namun usaha menyalurkan bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan dan terjejas akibat keadaan ekonomi sekarang dalam satu-satu komuniti tetap diteruskan.
Daya usaha yang dijalankan sama ada oleh organisasi tertentu atau orang perseorangan masih terus dilaksanakan supaya ahli keluarga atau individu yang menghadapi krisis makanan dapat dibantu dengan meringankan beban dihadapi.
Melalui tindakan itu diharapkan mana-mana pihak yang menghadapi masalah dan terkesan dengan keadaan sekarang perlu memaklumkan kepada organisasi yang ada dalam komuniti tempat ia tinggal sama ada Persatuan Penduduk, Ahli Jawatankuasa Masjid atau Surau, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Perkumpulan Wanita, Pertubuhan Belia dan sebagainya.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan MBSJ:
https://kitareporters.com/search?search=mbsj
Para peserta sambutan Hari Wanita di kawasan zon 10 Kinrara menerima sumbangan bakul makanan yang dipenuhi dengan berbagai-bagai jenis sayuran. - Kredit foto-foto: JPM MBSJ.
Wanita ini teruja kerana sempena sambuatan Hari Wanita Sedunia beliau dihargai sekalipun hanya sebakul makanan yang dipenuhi berbagai jenis sayuran.
Di kawasan Kinrara, Selangor, Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Zon 10 telah mengambil inisiatif memberikan sumbangan bakul makanan yang merupakan bungkusan berbagai jenis sayuran kepada kalangan wanita yang terjejas dan memerlukan bantuan dalam usaha meringankan beban mereka sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac 2021 ini.
Agihan tersebut melibatkan 230 orang wanita kurang mampu dalam kategori B40, ibu tunggal dan warga emas di dua lokasi berasingan iaitu di Bandar Kinrara 3 dan Taman Puchong Jaya, Puchong.
Majlis sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini bagi kawasan tersebut diadakan sehari lebih awal pada Ahad 7 Mac 2021 dimulakan dengan senaman pagi yang berlangsung di Padang Bandar Kinrara 3.
Selepas majlis perasmian ringkas, sumbangan bantuan bakul makanan yang penuh berisi sayur-sayuran disampaikan kepada 30 orang penerima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara yang juga EXCO Kerajaan Selangor, Ng Sze Han.
Agihan juga dibantu oleh wakil Jabatan Pembangunan Masyarakat (JPM), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Mehanathan.
Sumbangan bakul makanan kali ini dipenuhi dengan berbagai-bagai jenis sayur antaranya brokoli, lobak putih, timun kuning, tomato dan pak choy (sawi putih).
Ng Sze Han menyampaikan sumbangan bakul makanan yang dipenuhi berbagai jenis sayuran sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 di Padang Bandar Kinrara 3.
Selepas itu, agihan bakul makanan yang dipenuhi sayuran itu diberikan kepada 200 penerima yang terjejas berikutan keadaan ekonomi sekarang di Taman Puchong Jaya, Puchong.
Agihan sumbangan yang diadakan di Balai Masyarakat Taman Puchong Jaya merupakan peruntukan wakil rakyat berkenaan.
Ng memberitahu, para penerima sumbangan teruja dan gembira kerana mereka merasa dihargai sempena sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini.
Ng Sze Han menyampaikan sumbangan bakul makanan dipenuhi berbagai jenis sayur kepada penduduk di Taman Puchong Jaya, Puchong.
Sementara itu, Dapur Kinrara yang menyediakan makanan siap dimasak pada hari itu menyediakan masakan nasi briyani untuk golongan kurang mampu B40.
Seramai 10 orang sukarelawan dari MPP Zon 10 bekerja keras menyediakan nasi briyani secara bergotong royong.
Sejumlah 200 bungkus disiapkan untuk agihan bagi meringankan beban golongan B40 termasuk warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal kerana mereka terjejas berikutan keadaan yang berlaku sekarang.
Peruntukan bagi menyiapkan masakan nasi briyani ini bagi makan tengah hari merupakan dana sumbangan badan NGO dan orang awam.
Penerima yang terlibat berterima kasih sama ada pihak penyumbang juga para sukarelawan yang bekerja keras menyiapkan masakan tersebut kerana melalui usaha merekalah dapat juga menikmati juadah nasi briyani untuk makan tengah hari ketika masih PKPB ini. - KitaReporters
Warga emas kurang mampu antara mereka yang diberikan nasi briyani untuk makana tengahari oleh Dapur Kinrara.
Salah seorang sukarelawan Dapur Kinrara memasak sayur pak coi.
Sebahagian mereka yang layak menerima sumbangan nasi briyani untuk makan tengah hari menunggu giliran masing-masing di Dewan Masyarakat Taman Puchong Jaya, Puchong.