Insan & Komuniti 27 Jun, 2021

Berita Terkini| Guna perahu sebagai bilik darjah! Cikgu tak mahu murid tercicir sepanjang PKP!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this

TEKUN mengajar seorang murid bagi memastikan anak didik tidak ketinggalan dalam pelajaran walaupun pelaksanaan PKP di seluruh negara. - Kredit foto: Bernama


SEBUAH perahu kini dijadikan ‘bilik darjah’ oleh seorang guru dalam memastikan tiada muridnya tercicir dalam pelajaran sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dijalankan.

Nasir Mohamed Jamal, 39, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Permai di Kinabatangan, Sabah turut menggunakan perahu itu untuk menghantar modul pembelajaran setiap minggu kepada murid.

“Saya atau rakan guru lain akan mengambil inisiatif sendiri untuk menghantar modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan perahu sekali atau dua kali seminggu.

“Ini kerana menjalankan PdPR menggunakan peranti adalah mustahil kerana kami tiada perkhidmatan jalur lebar (yang baik),” katanya seperti dipetik oleh Bernama pada Ahad, 27 Jun 2021.

Berbekalkan sebuah beg mengandungi modul PdPR dan meja lipat, Nasir, yang mengajar mata pelajaran Sains, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, meninggalkan rumahnya ke perahu kayu beratap yang dikemudinya sendiri di Sungai Kinabatangan untuk ke rumah murid-muridnya.

Memandangkan tiada jeti atau tempat turun dari perahu yang sesuai, beliau keluar dari perahunya dengan berhati-hati di kawasan cetek di tepi sungai dan menjemput muridnya di rumah berdekatan.

“Mari kita belajar hari ini macam biasa,” katanya kepada muridnya dan akan mengimbas suhu badan muridnya, memberikan cecair sanitasi tangan dan pelitup muka kepada muridnya sebelum sesi pembelajaran di dalam perahu dimulakan.

Beliau yang berkhidmat di sekolah itu sejak 10 tahun lepas, mengakui keadaan di kawasan pedalaman yang jauh berbeza di bandar mewujudkan perasaan tanggungjawab dalam dirinya serta lima guru lain di sekolah itu untuk mendidik dan memberi pendedahan kepada murid-murid mengenai realiti kehidupan di luar kampung mereka.

 “Kami guru-guru akan menerangkan kepentingan untuk melanjutkan pelajaran kerana mereka ini boleh berjaya dan membawa perubahan kepada masyarakat sekeliling mereka,” tambahnya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

TERUJA mendapat penerangan daripada cikgunya walaupun terpaksa menjadikan perahu sebagai bilik darjah. Kredit Utusan Malaysia

 

1
0
0
0
0
You will be interested