Kredit Foto: FB Khalid Jamlus.
“Assalamualaikum semua… Mulai esok… Saya terpaksa tutup kedai! Tikar yang kami bentang…tikar tu juga kami terpaksa gulung,” katanya sambil meletakkan emoji menangis pada penghujung ayat.
Itulah status dimuat naik oleh bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus melalui Facebooknya pada Ahad, 27 Jun, 2021 untuk memaklumkan perniagaan daging salai yang diusahakannya di Lepak Court, Batu 7, Sijangkang, Teluk Panglima Garang tidak akan beroperasi lagi.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Khalid Jamlus
Khalid, 44, (gambar atas) yang dihubungi KitaReporters memberitahu terpaksa menutup perniagaan itu kerana tidak mampu lagi menanggung kerugian sejak Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) atau total lockdown dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaharu ini.
“Memang sejak mula beroperasi pada September (2020) lalu, sambutan hanya sederhana kesan keadaan ekonomi sejak Covid melanda. Untuk tiga bulan pertama kami tidak mendapat sebarang untung, namun masih mampu bertahan.
“Tapi, bila total lockdown dilaksanakan sejak awal bulan ini (1 Jun 2021), keadaan menjadi parah apabila dine in (makan di kedai) tidak dibenarkan. Bayangkan dalam sehari, kadang-kadang hanya tiga atau empat orang pelanggan saja datang membeli secara take away (bungkus).
“Pada awalnya saya cuba bertahan tapi akhirnya terpaksa mengaku kalah kerana sudah kehabisan modal untuk meneruskan perniagaan,” kata Khalid.
Khalid memulakan perniagaan daging salai sejak September 2020 lalu. - Kredit foto: Berita Harian
Menurut Khalid, dengan penutupan itu, beliau mengalami kerugian sebanyak RM20,000 dan kini langsung tidak mempunyai wang simpanan untuk menanggung kehidupannya dan keluarga.
“Duit yang saya laburkan untuk perniagaan itu adalah hasil jualan barang-barang peribadi saya termasuk Kasut Emas.
"Pada awalnya saya bercadang untuk menggunakan duit itu untuk mengambil lesen jurulatih kelas A bagi membolehkan saya meneruskan kerjaya dalam bola sepak. Tapi, akhirnya saya mengubah fikiran dengan melaburnya untuk perniagaan.
“Saya ingat dengan menceburi perniagaan, saya dapat merubah kehidupan saya, sambil itu bila sudah ada untung, wang itu boleh saya gunakan puala untuk mengambil lesen jurulatih tapi kini semuanya sudah lebur.
“Memang menyedihkan dan saya kini benar-benar buntu untuk menersukan kehidupan. Keadaan saya sekarang bukan sahaja ibarat jatuh ditimpa tangga, tapi, jatuh tergolek-golek,” kata Khalid.
Khalid mengambil pesanan daripada pelanggan yang berkunjung ke kedainya. - Kredit foto: Harian Metro
Khalid yang mendirikan rumah tangga dengan Zarina Zainal dan dikurniakan tiga orang anak berusia 9, 7 dan 5 tahun berkata, beliau kini buntu untuk memikirkan langkah seterusnya.
Beliau yang memiliki lesen jurulatih Kelas B melihat peluangnya untuk mencari rezeki dalam bola sepak juga agak terbatas ekoran masalah Covid-19 yang melanda negara yang mana kelab-kelab bola sepak turut terkena tempiasnya.
“Demi Allah, saya buntu, tak tau nak buat apa selepas ini,” kata Khalid.
Khalid pernah menggemparkan bola sepak negara apabila mengambil keputusan menjual Kasut Emas yang dimenanginya sebagai pemenang anugerah Penjaring Terbanyak pada 2002 selepas meledak 17 gol untuk membantu Perak menjuarai Liga Perdana 1 pada musim itu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli Kasut Emas milik Khalid. - Kredit foto: Facebook Selangor Royal Office.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan
membeli kasut itu dengan harga yang dipersetujui bersama pada September 2020 lalu.
Baginda juga berkenan meletakkan Kasut Emas itu di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di pekarangan Istana Alam Shah, Klang.
Selain kasut, Khalid turut membuat lelongan pelbagai barangan peribadi termasuk poster, jersi serta medal yang dimenangi sepanjang kariernya.
Sepanjang kariernya, Khalid pernah mewakili Perak, Selangor, Kelantan dan ATM.
Selain membantu Perak menjuarai liga pada 2002 dan 2003, beliau turut menikmati kejuaraan Piala Malaysia (2000) dan Piala FA (2004) bersama pasukan itu.
Seterusnya beliau membantu Selangor menjuarai Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA pada 2005 sebelum berhijrah ke Kelantan pada 2009.
Khalid turut membantu skuad kebangsaan menduduki tangga ketiga Piala AFF 2004. - KitaReporters
Selain membeli makanan, pelanggan turut mengambil kesempatan bergambar dengan Khalid. - Kredit foto: FB Khalid Jamlus