MEMBESAR dan mendidik anak kecil memang penat namun kehadiran itu bukanlah bebanan kepada ibu bapa.
Bagi yang menghargai, kehadiran si kecil adalah rahmat yang besar, bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang suami isteri tetapi juga membawa rezeki dalam setiap keluarga.
Malah memberi pengalaman dan momen berharga bagi si ibu dan ayah dalam membesarkan yang tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kanak-kanak
Namun pelik juga ada ibu bapa yang melihat kehadiran anak kecil sebagai sesuatu yang menyusahkan.
Buktinya, pasangan ibu bapa di Chalco, Mexico tergamak mendera anak sendiri.
Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu diletakkan di dalam sebuah tangki air oleh ibu dan bapa tirinya.
Namun takdir tertulis, nyawa kanak-kanak malang itu masih panjang selepas berjaya diselamatkan oleh anggota polis.
Insiden tragis tersebut disedari apabila orang ramai terdengar tangisan meminta tolong dan selepas diperiksa, mereka mendapati ada seorang kanak-kanak di dalam tangki air di belakang kediaman mereka.
Penduduk kemudian bergegas menghubungi pihak berkuasa untuk mendapat bantuan.
Memetik laporan dailymail.co.uk, tangki air itu kemudiannya diturunkan perlahan-lahan dan kanak-kanak tersebut berjaya dikeluarkan.
Terdahulu pasukan yang tiba di lokasi berkenaan terpaksa memanjat tangki berkenan dan mengambil masa kira-kira 20 minit melakukan misi menyelamat.
Lebih sayu, apabila berjaya diselamatkan, kanak-kanak itu terus menangis dan memaklumkan dia ditinggalkan oleh ibu dan bapa tirinya di dalam tangki air tersebut.
Ibu bapanya kemudian ditahan oleh pihak berkuasa dan mereka bakal dipenjarakan kerana perbuatannya sendiri. - KitaReporters.