Insan & Komuniti 17 Mar, 2021

Video| Pemain digantung kerana pengadil, biasa! Luar biasa kalau ref digantung sebab pemain!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this


KEBIASAANNYA pemain atau jurulatih bola sepak yang digantung atas kesalahan tatatertib sama ada ketika aksi mereka dalam perlawanan mahupun kerana tingkah laku yang kurang manis di luar padang.

Bagaimana jika pengadil pula yang senasib begitu padahal ‘Si Baju Hitam’ inilah yang kerap menjadi punca penggantungan permainan terhadap pemain-pemain sejurus selepas mereka dilayangkan kad kuning dan merah lalu diperintah keluar padang.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan FAM:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak



Pada Isnin, 15 Mac 2020, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan drastik berhubung beberapa insiden membabitkan pengadil dan pemain yang berlaku pada perlawanan Liga Super dan Liga Perdana 2021, baru-baru ini.

Yang digantung ialah pengadil Mohd. Fairuzi Mat Desa bagi perlawanan Liga Super antara PJ City FC dan Melaka United FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada 10 Mac 2021 lalu.

Perlawanan berkesudahan terikat 2-2 dengan kedua-dua gol tuan rumah  PJ City FC  dijaringkan oleh Darren Lok pada minit ke-70 dan 85, manakala pelawat membalas menerusi S. Kumaahran dan Faris Shah Rosli (55 dan 90+5).


AHMAD Khairil Anuar Ahmad Zamri, perantara PJ CIty FC yang juga dikenali sebagai Beto. - Kredit foto: FB PJ City FC.




Siaran media FAM menyebut, “pengadil ini didapati membuat kesilapan apabila gagal mengesan tindakan pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri melakukan simulasi atau sengaja rebah dalam kotak penalti Melaka United FC dan tetap dengan keputusannya untuk memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah.

“Fairuzi telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta.

“Dia juga akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah.

“Dia juga hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan,” lapor siaran berkenaan.


ADEGAN merebah diri pemain PJ City FC (biru) yang memberangkan Melaka United sehingga tuan rumah diberikan sepakan penalti oleh Fairuzi. - Kredit foto: malayanfootball.my  


Bagi perlawanan Liga Perdana 2021 antara Kelantan FC dan Perak FC II di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 6 Mac lalu yang dimenangi pelawat 1-0, FAM membuat keputusan berikut:

Pengadil, Mohd. Amirul Aizat Mohd. Lodin telah didapati berada di kedudukan yang salah di dalam kotak penalti sehingga menyebabkannya ditolak oleh penyerang Kelantan FC, Jack Hindle.

“Biarpun secara keseluruhan prestasinya sepanjang perlawanan tersebut memuaskan berdasarkan laporan daripada Penilai Pengadil, dia akan dirujuk kepada Nagor Amir untuk mengikuti program penambahbaikan keupayaan jangkaan permainan, posisi dan pergerakan dalam permainan.

“Amirul hanya akan diberi lantikan semula untuk mengadili perlawanan akan datang selepas menjalani program penambahabaikan dan penilaian dibuat terhadapnya,” tambah siaran itu.

NAGOR Amir Noor Mohamed (kiri), turut mempunyai tauliah selaku pengadil FIFA. 


Mengenai Hindle, kesnya akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video perlawanan tersebut ekoran tindakannya yang menolak pengadil secara agresif.

Insiden kekhilafan pengadil itu pantas mendapat reaksi bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd. Salleh yang turut menasihati setiap pengadil mengutamakan perkara asas tugas mereka iaitu kesungguhan, tanggungjawab dan tumpuan sepanjang permainan.

"Tumpuan juga wajar ditujukan kepada pemain pertahanan yang sedang mencabar kerana itulah gambaran sebenar terhadap tingkah laku pemain pasukan menyerang yang cuba mendapatkan keuntungan dengan cara yang salah," katanya yang pernah bertugas pada Piala Dunia Afrika Selatan 2010 dan Rusia 2018.


JACK Hindle (merah) menolak Amirul, pengadil dengan ganas.



Subkhiddin yang juga instruktor bahagian teknikal pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menambah, Hindle sepatutnya dilayangkan kad merah kerana kelakuan ganasnya menolak pengadil.

Akuinya, Amirul memang cuma berada di posisi yang salah yang menghalang pemain tetapi bukanlah melanggar undang-undang permainan bola sepak. 

"Pengadil cuma salah posisi, tidak salah dari segi undang-undang namun kepada pemain yang tidak dapat mengawal emosi dan kelakuan, tindakan undang-undang permainan akan dikenakan iaitu di bawah klausa kelakuan ganas," tegasnya. - KitaReporters


SUBKHIDDIN Mohd. Salleh (tengah), instruktor teknikal pengadil FIFA. - Kredit foto FB Subkhiddin.


0
0
1
0
0
You will be interested