Insan & Komuniti 05 Nov, 2021

Silat, bola sepak kehilangan Kak Long! Zaleha Suradi srikandi dwisukan! Naib juara dunia 80-an!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ZALEHA Suradi (empat dari kiri) dan Kasmah Darus (dua dari kiri) serta Normala Rashid (tiga dari kanan) ketika majlis reunion bekas pemain bola sepak wanita negara pada 2013. - Kredit foto: NR


BARU sehari Allahyarham Kasmah Darus kembali ke rahmatullah, arena bola sepak wanita Malaysia kehilangan pula seorang lagi bekas pemain sayapnya, Zaleha Suradi.

Zaleha dijemput Ilahi selepas bertarung nyawa dengan Covid-19 selama seminggu di Hospital Selayang, Selangor kira-kira pukul 2.45 petang 4 November 2021.

Dia merupakan antara segelintir atlet ‘dwiantarabangsa’ (double internationals) kerana berjaya mewakili negara dalam dua sukan termasuk seni silat yang lebih menyerlahkan namanya pada era 80-an.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan seni silat

ZALEHA Suradi antara segelintir atlet dwiantarabangsa (silat dan bola sepak) Malaysia. 


Allahyarham dianggap Kak Long dalam arena sukan silat negara, meninggal dunia pada usia 62 tahun. Pemergiannya juga satu kehilangan besar kepada sukan seni bela diri ini.

“Dia juga aktif dalam kegiatan sukarela dan kebajikan bekas-bekas atlet negara,” kata Presiden Persatuan Bekas Pesilat Negara (PBPN), Zakri Ibrahim yang juga bekas juara dunia 2000.

Pada 27 Ogos 2013, Zaleha mengalami komplikasi tendon dan tisu bahu yang hampir putus sehingga perlu menjalani satu pembedahan untuk memulihkannya di sebuah hospital swasta di Ampang, Selangor.


ZAKRI Ibrahim (kanan) menziarahi Zaleha Suradi di hospital pada 2013 selepas pembedahan tendon dan tisu bahu. - Kredit foto: FB Habizan


Buletin Yakeb isu Oktober 2014 melaporkan, Zaleha pernah menyarung jersi skuad bola sepak wanita negara pada Kejohanan Wanita Asia 1986 di Hong Kong.

Namun skuad bimbingan Ramlay Ibrahim itu, dikalahkan China dan Jepun 10-0 di Stadium Mongkok dan Stadium Tsuen Wan pada peringkat Kumpulan A.

Nama Zaleha, bekas pemain bola sepak Selangor ini tampak jauh lebih bersinar megah di gelanggang sukan seni tempur kebangsaan dan antarabangsa iaitu silat.

Dia bergelar naib juara Kelas E Puteri (65 kilogram) Kejuaraan Silat Dunia di Belanda pada 1990 dan merangkul dua pingat gangsa edisi 1982 di Jakarta dan 1987 di Kuala Lumpur.

Dua pingat perak Sukan SEA Jakarta 1987 dan Kuala Lumpur 1989 juga dikalungkannya buat Malaysia selepas bertarung sengit dengan pesilat Indonesia, Elvina Lumban Raja dan Waade Hanifa.


ZALEHA (dua dari kanan) ketika menziarahi Allahyarham Kasmah Darus (dua dari kiri), bekas pemain bola sepak negara pada 20 Februari 2021. - Kredit foto: FAM


“Saya juniornya dalam skuad negara. Saya dapati kemunculannya sering kali digeruni pesilat-pesilat Asia Tenggara termasuk Indonesia,” kata Zakri, 53,  juara Kelas H Putera (76 kg) Sukan SEA Manila 1991 dan Chiang Mai 1995.

Zaleha katanya, selain aktif dengan kegiatan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) turut menjadi Naib Presiden PBPN.

“Beliau antara ahli yang aktif bersama Yakeb dalam membantu rakan-rakan  seperjuangannya. Pemergian beliau amat dirasai. Al-Fatihah,” lapor laman Twitter Yakeb pada 4 November 2021.

Bekas rakan seangkatan bola sepaknya, Normala Rashid berkata, “pada peringkat kebangsaan (Piala Tun Sharifah Rodziah), dia kerap bermain untuk Selangor di posisi sayap kanan.

“Dia juga menjadi ahli Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia (PPBSWM),” katanya yang juga Presiden persatuan berkenaan dan bekas Ketua Unit Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Zaleha juga pernah mendapat kepercayaan sebagai pengurus pasukan futsal wanita Wilayah Persekutuan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014.


ZALEHA (kanan) bersama Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kiri) menyantuni Allahyarham Kasmah Darus selepas menjalani pembedahan tumor pada tangan kirinya. - Kredit foto: Yakeb 


ZALEHA (depan, kanan) dan Pengurus Operasi Yakeb, Aminuddin Mohd. Nasir (belakangnya) menziarahi bekas pesilat dan pemain bola sepak negara, Nazrah Latif pada 2018.

11
11
0
10
0
You will be interested