Insan & Komuniti 29 Jul, 2020

Kepada peminat Tauke! Saya Soh Chin Ann, bukan Soh Chin Aun!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

'TAUKE', kapten negara dari 1975 hingga 1984, pengumpul 252 penampilan antarabangsa dan satu-satunya pemain yang layak bermain dua Sukan Olimpik, 1972 dan 1980. Dialah Datuk Soh Chin Ann. Oopps! Bukankah sudah lama dan kerap dieja dan disebut Soh Chin Aun oleh sesiapa pun? : KitaReporters

AKSI Soh Chin Ann dalam Sukan Olimpik Munich 1972 menentang Jerman Barat.


Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak


Sebenarnya itulah ejaan nama yang tertera pada sijil kelahiran, kad pengenalan MyKad dan pasport antarabangsa si legenda bola sepak negara ini.

Baru-baru ini, laman sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membongkar kesilapan ejaan namanya oleh rakan-rakan media sejak bertahun-tahun lamanya sehingga turut menimbulkan kebingungan si empunya diri.

"Apabila saya bertanyakan kepada rakan-rakan media, mereka seolah-olah memandang ringan. 

"Mungkin ketika itu mereka berasakan nama saya seperti nama perempuan,” kata anak jati Alor Gajah, Melaka ini dalam laman berkenaan.

MYKAD yang memaparkan ejaan nama sebenar Soh Chin Ann. - Kredit foto FAM


Nama Chin Aun, 70, sebaliknya mekar dan segar meniti bibir masyarakat bola sepak Malaysia malah Asia dari akhir era 60-an hingga awal 80-an. 

Tenang, berkarisma, perancang pintar dan sesekali menjaringkan gol penting serta gemar berstoking pendek paras buku lali, mewarnai karier bek tengah ini yang menyarung lilitan lengan kapten Malaysia ekoran persaraan Datuk Namat Abdullah. 

Dia antara tonggak kemaraan Malaysia ke Olimpik Munich 1972, namun hasrat mengukir penampilan kedua Olimpik di Moscow 1980, lebur kerana kerajaan mengarahkan pemulauan temasya itu sebagai membantah pencerobohan Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan.

"Ketika itu (70-an dan 80-an), kita ada sekumpulan pemain yang bagus secara individu dan sudah bermain bersama dalam pasukan negara antara lapan hingga 10 tahun. 

"Kami cukup bersefahaman dan tahu apa hendak dibuat untuk berjaya," kata pemenang pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 ini.

"Saya kurang sedih apabila tidak dapat ke Olimpik 1980 kerana sudah ke Munich tetapi saya sedih buat rakan sepasukan saya. Saya rasa keputusan kerajaan itu salah. Itulah pencapaian tertinggi bola sepak kita (setelah tidak pernah layak Piala Dunia)," katanya yang turut mengumpul dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 dan Jakarta 1979.

MENJULANG trofi Pestabola Merdeka 1979 bersama kapten Korea Selatan. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan.


WAJAH terkini 'Tauke'. 


Habis karier bola sepak bersama Malaysia mahupun Selangor dan Melaka, Chin Ann cuba terjun ke arena politik dengan menyertai parti MCA dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1986 bagi kerusi Parlimen Kota Melaka. 

Dia tewas kepada Lim Guang Eng apabila hanya beroleh 16,967 undi, manakala bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Kewangan dari DAP itu mendapat 34,573 undi.  

Kata Chin Ann yang dipetik daripada laporan video sebuah media dalam talian, "saya hanya cuba bantu parti sebagai ahli MCA. Saya tidak pernah meminta untuk jadi calon pilihan raya, mereka yang mahukan saya. 

"(Namun) untuk saya memujuk, kowtow atau merayu meminta anda (supaya) mengundilah saya, itu memang bukan cara saya. Selepas pengalaman itu, saya dapati (politik) bukan untuk saya." 

BERSALAMAN dan bertukar cenderamata pasukan dengan kapten Singapura, Samad Allapitchay dalam Piala Ovaltine 1981. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan.


Seperti Raja Bola, Pele yang membintangi 'Escape To Victory' (filem sekumpulan pemain bola sepak tahanan Perang Dunia Kedua) dan 'Pele' (filem biografinya) atau Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dalam 'Mekanik', Chin Ann pun tidak mahu kalah dalam terjun ke layar perak!

Dia tampil cameo mendukung watak Chow Kok Keong semasa tua dalam ‘Ola Bola’ terbitan 2016 yang berinspirasikan kejayaan skuad bimbingan Karl-Heinz Weigang itu sebagai juara Kelayakan Olimpik 1980 Kumpulan 2 Asia di Kuala Lumpur. - KitaReporters

2
0
1
0
1
You will be interested