Insan & Komuniti 26 Jan, 2021

Video| Terima kasih bomba Subang Jaya! Impian adik Arsyad nak jadi anggota bomba ditunaikan!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Terima kasih kepada anggota bomba terlibat bagi merealisasikan impian adik Arsyad.


PERKONGSIAN oleh laman Instagram milik Friends of Bomba Malaysia (Kawan Bomba Malaysia) berkenaan kisah seorang anak kecil yang bercita-cita mahu menjadi anggota bomba membuatkan netizen sebak dan tersentuh hati.

Biarpun sisi gelap sering digambarkan terhadap netizen kerana suka mengecam dan menjatuhkan hukum, namun ada juga sisi baik daripada mereka.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan bomba:

https://kitareporters.com/search?search=bomba




Sebagai manusia biasa, mereka juga ada hati dan perasaan. Adakalanya kisah-kisah yang meruntun hati, mampu mencairkan hati para netizen.

Kisah adik Arsyad Ruzin, seorang pesakit kanser yang bercita-cita mahu menjadi ahli bomba akhirnya tertunai. Impian yang dipasang sejak dulu menjadi kenyataan.

Ibarat mimpi, kini adik Arsyad mampu tersenyum di sebalik penyakit berbahaya yang dihidapinya. Bukan sahaja adik Arsyad, malah ibu bapa dan orang ramai tumpang gembira. 


Adik Arsyad dirai dan disambut penuh meriah.



Mungkin impian yang tertunai itu dapat mengubati derita yang ditanggung oleh adik Arsyad selama ini. 

Jutaan terima kasih kepada pihak yang berjaya merealisasikan impian adik Arsyad iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya (BBPSJ), Selangor.

Adik Arsyad yang menghidap penyakit kanser sejak Februari 2011 itu akhirnya telah ‘dilantik’ sebagai anggota bomba pada 26 November 2020 lalu oleh ketua BBPSJ.


Ketibaan adik Arsyad disambut oleh anggota bertugas.


Dalam video yang dikongsi, memperlihatkan ketibaan adik Arsyad yang menaiki sebuah kenderaan berwarna putih disambut oleh anggota-anggota bomba.

Kemudian adik Arsyad yang duduk di kerusi roda dipakaikan topi bomba sebagai simbolik pelantikannya sebagai anggota beruniform tersebut. 

Malah adik Arsyad juga diberi peluang memegang paip bomba seterusnya memancurkan air sambil dibantu oleh anggota bomba yang lain.


Adik Arsyad dipakai topi bomba sebagai simbolik pelantikannya.


Momen tersebut sekali gus membuatkan para netizen tersentuh hati dan berasa sebak. Mereka tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada anggota bomba yang terbabit kerana merealisasi impian adik Arsyad.

“Allahuakhbar. Semoga dipermudahkan urusan dunia dan akhirat mu nak. Sebak pula tengok,” tulis salah seorang netizen.


Netizen turut berasa sebak dengan momen yang dikongsi.


Diharapkan adik Arsyad gembira dan ceria. 

Marilah sama-sama kita mendoakan supaya adik Arsyad diberi kekuatan melawan penyakitnya itu serta dipermudahkan segala urusan. 

Ini bukan kali pertama Jabatan Bomba merealisasikan impian kanak-kanak penghidap penyakit kronik. Semoga usaha ini diteruskan pada masa akan datang. - KitaReporters

0
0
3
0
0
You will be interested