Insan & Komuniti 03 Oct, 2021

Dulu lipat telekung wakaf, sekarang buat Roti Jala Jelita! 5% isi Tabung Bantuan Covid-19 STK!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh beralih kepada berniaga roti jala daripada aktiviti melipat telekung wakaf selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak pandemik Covid-19.


PENULARAN wabak pandemik Covid-19 sejak sejak awal tahun 2020 meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada penduduk dunia termasuk rakyat Malaysia. Kesannya turut dirasai setiap kelompok individu termasuk mereka yang terbabit dalam dunia kesukarelawan apabila tidak lagi dibenarkan melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan dengan bebas. 

Bagi Pengerusi Persatuan Sahabat Telekung Kuantan (STK), Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh, 40, tidak ada yang lebih nyedihkan bagi dirinya dan ahli STK apabila terpaksa menghentikan aktiviti menukar pakaian solat (telekung dan kain pelekat) sejak bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 dalam usaha membendung penularan Covid-19.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan roti jala


Che Ku Shaherawati berkata, aktiviti yang dilakukan setiap minggu di 20 surau terpilih termasuk pasar raya dan stesen minyak di sekitar bandar Kuantan sejak 2013 itu masih lagi ditangguhkan sehingga hari ini. 

Justeru, bagi memenuhi masa lapangnya, suri rumah yang lebih dikenali dengan  gelaran Kakak Telekung itu beralih ke bidang masakan dengan berniaga makanan pula.

"Akur dengan permintaan kerajaan untuk kekal di  rumah, saya ambil peluang menyertai kelas masakan secara dalam talian dengan fokus kepada membuat 'Roti Jala Jelita' anjuran Cikgu Huda Ayob dengan bayaran RM20 sahaja. 
"Saya pilih membuat roti jala kerana ia agak mudah untuk dihasilkan selain modal yang agak rendah.
"Alhamdulillah, sambutan pelanggan amat memuaskan untuk 'newbie' seperti saya kerana dapat memenuhi permintaan pelanggan," katanya ketika dihubungi KitaReporters menerusi aplikasi WhatsApp, di Kuantan.

Che Ku Shaherawati turut menambah resepi baru seperti roti jala coklat, roti jala pandan dan pelbagai jenis bunga hiasan daripada adunan roti jala itu sendiri.
Bekas Penolong Kewangan di Indah Water Konsortium (IWK) Cawangan Pahang itu bersedia berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan berniaga ketika pandemik covid-19. 
"Cabaran berniaga tetap ada terutama peningkatan harga barangan seperti ayam dan minyak namun saya bersyukur kerana 'Dapur Kakak Telekung' tetap mendapat sambutan pelanggan," katanya yang fokus menjual secara dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp dan Facebook. 

Che Ku Shaherawati turut menambah resepi baru seperti roti jala coklat, roti jala pandan dan pelbagai jenis bunga hiasan daripada adunan roti jala itu sendiri.


Menurutnya, selain menghadiri kelas pendidikan jaraj jauh itu (PJJ) dia juga membuat carian dalam internet dalam menghasilkan roti jala dengan varian warna dan corak lebih menarik.

"Dalam era teknologi di hujung jari ini, kita boleh belajar cara membuat roti jala daripada Google dan mendapatkan resepi percuma dalam Facebook melalui video yang disediakan," katanya yang menetap di Beserah.
Che Ku Shaherawati berkata, roti jala sedap dimakan sama ada dengan kuah kari, sos coklat atau sos pandan mengikut selera pelanggan. 
"Saya menggunakan empat kilogram (kg) tepung gandum dan empat ekor ayam untuk kuah kari setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya. 

Antara rekaan menarik Roti Jala Jelita yang dihasilkan Che Ku Shaherawati.

Menurutnya, 500 gram tepung gandum boleh menghasilkan antara 50-60 gulung roti jala dimakan bersama kari ayam yang dijual pada harga antara RM5 hingga RM120 sebekas mengikut kuantiti, rekaan dan perisa digunakan," katanya.

Che Ku Shaherawati berkata,  suaminya, Mohamed Hafizi Abdul Hamid, 40, dan empat anak mereka, Hariz Nur Shahmi, 15;  Hazim Mikail, 12; Hanis Sumayyah, 10 ; dan Muhammad Syakir Huzaifah, 6, menjadi pendorong utama untuknya terus aktif dalam kerja amal dan berniaga.
"Untuk sementara waktu saya fokus berniaga roti jala ini dan akan mungkin mengurangkannya apabila kerja-kerja kesukarelawan dibenarkan bergerak seperti biasa.
"Sebaik sahaja pandemik berakhir, kami akan teruskan buat tukaran melipat dan menggantung telekung. Rindu pada rutin yang saban hari dilakukan sebelum pandemik itu," katanya.

Che Ku Shaherawati sedang 'menjala roti'.


Che Ku Shaherawati mula mempelajari asas membuat roti jala biasa ketika berusia 12 tahun dengan ibunya yang membuat kuih untuk jualan.

"Saya beralih ke bidang masakan kerana banyak masa yang terluang di rumah apabila tidak keluar melakukan kerja membasuh dan melipat pakaian solat wakaf sambil memantau anak yang mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR)," katanya.
Katanya, reka letak atau gaya persembahan menarik roti jala itu menjadikannya semakin berminat untuk mendalami ilmu baru itu.
"Walaupun asasnya sudah ada tetapi saya menjadi semakin yakin selepas melihat inovasi dari roti jala yang lebih menarik dan terkini serta viral membuatkan rasa nak berniaga roti jala menebal.
"Ditambah pula banyak ilmu baru dipelajari seperti teknik menghasilkan bunga ros serta bunga pagar dari adunan roti jala," katanya.

Antara rekaan menarik Roti Jala Jelita yang dihasilkan oleh Che Ku Shaherawati.

"Sama seperti susunan telekung di rak, saya akan susun rapi sebelum meninggalkan surau. Ketika membuat roti jala pun sama, suka tengok susunan dan suka buat deko yang cantik," katanya.

Menurutnya, lima peratus daripada hasil jualan roti jala itu dimasukkan ke dalam dana Tabung Bantuan Covid-19 Anda Disayangi STK bagi membantu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Katanya, mereka yang berminat untuk menyumbang, boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank 556093238331 atau CIMB 8601298867.
Kita perlu bijak manfaatkan masa yang terluang agar tidak dihabiskan dengan sia-sia sahaja tanpa berbuat sesuatu yang berfaedah. Gunakanlah kemahiran yang ada pada diri sendiri dalam membantu menjaga ekonomi keluarga. - KitaReporters

17
9
0
12
0
You will be interested