Insan & Komuniti 28 Feb, 2021

Tolong kami! Bantu Angah jaga abang kandung terlantar di katil! Sakit strok, diserang sawan!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

Mohd Napizu yang menghidap strok dan sawan terlantar di rumah adiknya, Angah di Rantau Panjang, Kelantan. - Kredit Foto-foto: FB Yayasan Raja Shamri.


KASIH sayang seorang adik kepada abang kandungnya tidak berbelah bagi sekalipun ahli keluarganya itu diserang strok dan kadang-kadang terkena sawan hingga tidak boleh bergerak ke mana-mana jika tidak dibantu. Malahan untuk makan minum perlukan bantuan.

Sekalipun Angah sebagai panggilan mesranya bersama suami dan anak-anak hidup dalam serba kekurangan namun tanggungjawab menjaga abangnya itu tetap dilakukan demi keluarga kandung yang tidak ada sesiapa menguruskannya.

Malahan bagi Angah, suami dan anak-anak tidak pernah mengeluh serta menganggap ia sebagai satu ujian yang perlu ditempuh dengan tabah dan sabar dalam menjalani kehidupan harian.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan penyakit strok:

https://kitareporters.com/search?search=strok



Inilah antara cebisan kisah masyarakat yang tercacat melalui laman sosial FB akaun Raja Shamri Raja Husin, Pengerusi Yayasan Raja Shamri yang berkunjung ke sebuah kampung di Rantau Panjang, Kelantan pada Selasa 23 Februari 2021 lalu bagi menyantuni seorang lelaki yang terlantar kerana serangan strok.

Melalui episod sedih ini, Mohd Nazipu duda anak dua terpaksa dijaga oleh adik kandung perempuan kerana menghidap penyakit strok sejak tiga tahun lalu. Selain itu dia juga kadang-kadang diserang sawan.

Abang sulung kepada tiga beradik ini terlantar baring di atas katil dan tidak boleh bergerak ke mana-mana jika tidak dibantu termasuk makan dan minum.


Angah dengan penuh kasih sayang menyantuni abang kandungnya dengan membantu memberi makan dalam keadaan terbaring di atas katil.


Menurut Angah, abangnya mula diserang strok semasa tidur pada tahun 2018 dan kejadian yang tidak diduga itu merubah segala-gala dalam hidupnya hingga sekarang.

Dia yang mempunyai dua orang anak hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri kini kedua-duanya di bawah jagaan wanita tersebut.

Angah yang bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah berhampiran rumahnya dan suami pula hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu tidak pernah merasakan menjaga abang kandungnya itu sebagai bebanan.

Malahan mereka sekeluarga termasuk tiga orang anaknya memberikan layanan dan curahan kasih sayang sepenuhnya menjaga Mohd Nazipu.

Mereka sekeluarga melayani abangnya itu dengan baik termasuk urusan makan minum kerana dia perlu dibantu dengan menyuapkan makanan atau memberi minum.

Suami Angah juga setiap hari sebelum keluar bekerja akan memandikan Mohd Nazipu terlebih dahulu kerana tenaga wanita sepertinya tidak berupaya mengangkat abangnya itu.

Malahan abangnya juga tidak mampu bercakap kerana penyakit dihidapinya, hanya terpaksa menggunakan isyarat tangan bagi memberitahu apa yang dia inginkan.


Mohd Napizu diletakkan di dalam sebuah bilik yang dilengkapi dengan kemudahan paip air untuk menyenangkan urusan memandikannya setiap hari.


Sebelum ini, Mohd Nazipu hanya terlantar di atas tilam yang beralaskan lantai tetapi kini menggunakan katil sumbangan Ahli Parlimen Rantau Panjang yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusof semasa kunjungan beliau tidak lama dahulu.

"Semasa kami menyantuni beliau, Mohd Nazipu berusaha bercakap untuk menyatakan keinginannya meminta katil hospital kerana katil yang ada sekarang sudah tidak berapa sesuai," catat Raja Shamri.

Malahan agak menyedihkan Mohd Napizu sebelum kunjungan Yayasan Raja Shamri, dia telah jatuh katil kemungkinan diserang sawan semasa adiknya sedang bekerja tetapi disedari jiran-jiran.

Angah memohon jasa baik jika ada pihak yang boleh meminjamkan atau membantu mengadakan katil hospital, pampers, susu khas dan ubat-ubatan untuk kegunaan abangnya.

Sebelum ini, Mohd Nazipu diberikan susu khas dan menunjukkan ada perubahan untuk bertambah baik tetapi disebabkan tidak mampu Angah hanya menyediakan susu biasa.

Sebagai punca pendapatan untuk membolehkan abangnya meneruskan kelangsungan hidup, Angah memperolehi bantuan RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan membantu Angah meringankan beban abang kandungnya bolehlah disalurkan kepada Yayasan Raja Shamri dengan menghubungi Kak Mah (Rantau Panjang) untuk sebarang pertanyaan melalui http://www.wasap.my/60129492923. - KitaReporters

Angah tetap selesa memberi makanan dan minuman kepada abang kandungnya dengan menggunakan alat khas.


0
0
2
0
0
You will be interested