Insan & Komuniti 27 Jun, 2021

Tabik spring frontliners! Luahan rasa Yuszairi Abdullah! Masih ramai tak percaya Covid-19 benar!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Yuszairi dan rakan-rakannya bersiap siaga sepanjang 24 jam untuk memberi perkhidmatan menghantar pesakit Covid-19 ke pusat rawatan yang ditetapkan. - Kredit foto: Yuszairi Abdullah.


SUDAH dua tahun Covid-19 melanda dunia namun masih ada kalangan masyarakat yang tidak mempercayainya malah mengambil sikap sambil lewa dalam menanganinya.

Lebih menyedihkan, ada yang menuduh isu wabak Covid-19 ini sengaja diperbesarkan serta dijadikan propaganda demi kepentingan politik.

Sikap sebegini sedikit sebanyak mengecewakan para petugas barisan hadapan (frontliner) yang saban hari bertungkus-lumus tanpa mengira waktu demi menyelamatkan nyawa rakyat negara ini.


Lag cerita-cerita menarik berkaitan barisan hadapan

 

Kredit foto: Yuszairi Abdullah.


“Nyawa pesakit Covid turut berada dalam tanggungjawab kami, jika kami lambat menghantar pesakit ke hospital, ada kemungkinan mereka tidak dapat diselamatkan. - YUSZAIRI


“Kami tidak menuntut sanjungan kerana semua ini kami lakukan dengan ikhlas hati, cuma cukup jika mereka memahami bahawa Covid ini benar-benar wujud serta sama-sama membantu menanganinya,” kata salah seorang petugas barisan hadapan, Yuszairi Abdullah.

Yuszairi atau mesra dipanggil Yus, 35, yang bertugas sebagai pemandu ambulans di Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat berkata, sebagaimana frontliner lain, beliau terpaksa mengorbankan banyak perkara dalam hidupnya demi memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan.

“Tugas kami, pemandu ambulans sama penting dengan para petugas kesihatan lain seperti doktor, pembantu perubatan dan juga jururawat.

“Nyawa pesakit Covid turut berada dalam tanggungjawab kami, jika kami lambat menghantar pesakit ke hospital, ada kemungkinan mereka tidak dapat diselamatkan.

“Jadi,kami perlu sentiasa berada dalam keadaan ‘stand-by’ sepanjang 24 jam termasuk bersekang mata hingga awal pagi. Selalunya, paling awal saya dapat pulang adalah pukul 2:00 pagi, kadang-kadang 5:00 pagi.

“Saya keluar awal pagi dan balik pula menjelang Subuh. Dapat tidur hanya beberapa jam. Cuma, pihak pejabat agak bertolenrasi memberi sedikit kelonggaran dengan membenarkan kami masuk pukul 10:00 pagi jika sudah terlalu lewat pulang.

“Bayangkan, semasa Covid mula melanda, saya baru menimang cahaya mata, hari ini anak saya (Muhammad Mikhail Zayyan) sudah berusia 2 tahun. Saya sendiri tidak sedar bila masa dia merangkak, berjalan dan berlari, sedar-sedar dia sudah boleh bercakap dan panggil saya ‘daddy’,” kata Yus.


Yuszairi perlu banyak bersabar dalam menyantuni pesakit yang mahu dibawa ke pusat rawatan Covid. - Kredit foto: Yuszairi Abdullah.


Menurut Yuszairi, rutin kerja hakikinya bermula 8:00 pagi hingga 5:00 petang yang mana dalam tempoh itu, beliau perlu menjalankan tugasnya sebagai pemandu ambulans di Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat.

Tugasnya menghantar pesakit Covid ke pusat rawatan di MAEPS dan hospital-hospital berkaitan bermula selepas 5:00 petang.

“Dalam tempoh 8:00 pagi hingga 5:00 petang itu, saya perlu berada di pejabat kesihatan serta bersiap sedia memberi perkhidmatan ambulans jika diperlukan pesakit biasa.

“Pada masa sama, jika ada pesakit Covid yang perlu dihantar segera untuk mendapatkan rawatan pada tempoh waktu itu, ia tetap menjadi tugas saya.

“Tapi, jika tidak ada kes kecemasan berkaitan Covid, tugas saya menghantar pesakit Covid hanya bermula pukul 5:00 petang selepas kami mendapat senarai nama pesakit yang perlu dijemput di rumah dan dihantar ke pusat rawatan,” ujarnya.



Tanggungjawab sebagai pemandu ambulans yang ditugaskan menghantar pesakit Covid-19 menyebabkan Yuszairi tidak mempunyai masa yang banyak bersama isteri dan anaknya. - Kredit foto: Yuszairi Abdullah.


Ada juga kes pesakit yang disahkan positif, lari kerana tidak mahu dikuarantin. Puas kami mencari, akhirnya jumpa di sebuah kompleks beli-belah bersama tunangnya.


Yuszairi yang ditugaskan di zon tengah daerah Hulu Langat, meliputi kawasan Cheras, Kajang dan juga Bangi berkata, walaupun letih namun beliau gembira dapat berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya rasa bertuah kerana terpilih sebagai salah seorang frontliner, cuma kadang-kadang terkilan dan sedih dengan sikap sesetengah masyarakat yang membuat pelbagai tanggapan negatif berhubung wabak yang sedang melanda.”

Malah, menurutnya, ada juga yang sudah disahkan positif, masih menunjukkan sikap keras kepala dan enggan memberi kerjasama kepada petugas seperti mereka.

“Soal kena marah, kena halang antara cabaran yang perlu kami hadapi. Walaupun tidaklah sampai bergolok berparang namun layanan yang diberi sesetengah individu memang menyedihkan. Kami mahu menyelamatkan keluarga mereka tapi mereka pula tidak mahu memberi kerjasama.

“Selalunya, bila mendapat senarai pesakit yang perlu dijemput dan dihantar ke MAEPS atau hospital, kami akan membuat panggilan kepada pesakit terlebih dahulu minta bersiap-siap. Ada yang awal-awal menyatakan tidak mahu pergi dan mahu kuarantin sendiri di rumah.

“Dalam kes sebegini, kami akan membuat laporan kepada satu unit khas. Merekalah yang akan menanganinya dengan bantuan pihak polis.

“Ada juga kes bila kami sampai, keluarganya pula tidak membenarkan kami membawa anak mereka ke pusat rawatan kerana menganggap ia lebih membahayakan apabila anak mereka dikuarantin bersama pesakit Covid yang lain.

“Kami terpaksa menggunakan pelbagai pendekatan untuk memujuk. Kami jelaskan satu persatu prosedur supaya mereka faham, kadang-kadang ambil masa yang lama.

“Ada juga kes pesakit yang disahkan positif, lari kerana tidak mahu dikuarantin. Puas kami mencari, akhirnya jumpa di sebuah kompleks beli-belah bersama tunangnya, terpaksa kami tangkap dan hantar ke MAEPS malam itu juga.

“Situasi sebeginilah yang kadang-kadang memberi tekanan kepada kami, namun terpaksa kami sabar dan telan sahaja,” jelasnya.


Yuszairi berdepan pelbagai pengalaman sepanjang menjalankan tugasnya sebagai pemandu ambulans yang dikhaskan menghantar pesakit Covid. - Kredit foto: Yuszairi Abdullah.


Namun, satu peristiwa yang meninggalkan kesan paling mendalam kepada Yuszairi adalah apabila beliau terpaksa berhadapan dengan satu situasi mencemaskan dan menyedihkan membabit seorang ibu muda dengan anak perempuannya berusia 6 tahun.

Menurut Yuszairi, ibu kanak-kanak itu yang positif Covid-19 terlebih dahulu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sementaranya anaknya yang kemudian disahkan turut positif diarahkan untuk turut dihantar ke hospital sama pada malamnya.

“Ketika kami sampai, doktor memberitahu wanita itu agak kritikal dan ditempatkan di ICU (Unit Rawatan Rapi), menyebabkan kanak-kanak itu tidak dapat ditempatkan bersama ibunya sebaliknya akan diasingkan di wad lain.

“Kanak-kanak itu meraung sampai memanggil ibunya “Mama! Mama! Mama!” Saya yang melihat keadaan itu tidak dapat menahan sebak, terus teringat anak saya di rumah. Saya bayangkan jika ia berlaku kepada diri saya, bagaimana dengan anak saya?

“Tapi, alhamdulillah, saya dapat tahu ibu dan anak itu akhirnya selamat selepas dikuarantin serta diberi rawatan di hospital berkenaan,” kata Yuszairi.

Satu lagi peristiwa yang turut meninggalkan kesan kepada Yuszairi apabila adik kandung dan anak saudaranya sendiri turut disahkan menghidap covid.

“Ketika itu adik saya (Yusazwin Nadia) sedang mengandung sementara anaknya berusia setahun lebih. Bayangkan selama ini, saya menghantar ramai pesakit covid tapi kali ini yang saya hantar adalah adik saya sendiri. 

“Saya memang bimbang apatah lagi dia sedang mengandung. Macam-macam bermain di fikiran saya. Tapi, alhamdulillah,mereka selamat. 

“Ada juga pesakit yang saya hantar gagal diselamatkan. Bila mendapat berita sebegini, saya tetap berasa sedih walaupun ada antaranya saya tidak kenal,” katanya.


Kredit foto: Yuszairi Abdullah


Lebih teruk, ada yang tuduh ini adalah agenda politik kerajaan. Kepada golongan ini saya ada satu pesanan, ‘dah kena batang hidung sendiri, baru tahu’ Covid itu betul atau tidak! 


Berdasarkan pengalamannya ini Yuszairi berasa bertambah sedih jika masih ada masyarakat yang tidak mempercayai wujudnya Covid-19 serta memandang remeh ancamannya. 

“Walaupun kerajaan sudah cuba mengawal dengan pelbagai kaedah seperti total lockdown (sekatan pergerakan penuh) namun masih ada yang mengambil sikap acuh tak acuh. Masih ada yang langgar SOP dan langgar peraturan.

“Lebih teruk, ada yang tuduh ini adalah agenda politik kerajaan. Kepada golongan ini saya ada satu pesanan, ‘dah kena batang hidung sendiri, baru tahu’ Covid itu betul atau tidak!”, tegas Yuszairi. - KitaReporters


88
4
8
2
1
You will be interested