PENDUDUK di 12 kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Melaka Tengah melahirkan rasa lega dan terharu menerima kunjungan Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusuf dan Ahli DUN kawasan itu, Datuk Noor Effandi Ahmad dalam situasi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang ini. : KitaReporters
Noor Effandi Ahmad menyampaikan kotak barangan makanan asas kepada seorang penduduk sambil diperhatikan oleh Mohd Redzuan Md Yusof.
Lagi kisah-kisah berkaitan Melaka:
https://kitareporters.com/search?search=melaka
Kunjungan dua pemimpin berkenaan dalam Program Pak Wan Berkampung Bersama Komuniti Telok Mas di Kampung Ketapang itu turut meredakan tekanan sesetengah penduduk yang berasa tertekan berikut PKPB apabila hilang sumber pendapatan.
Dua pemimpin masyarakat itu mengagihkan 300 kotak berupa barangan makanan asas dan wang sagu hati bagi meringankan bebanan yang ditanggung keluarga terbabit khusus mereka dalam kalangan asnaf pada program yang diadakan 12 Disember 2020 lalu.
Seorang penduduk komuniti Telok Mas menerima kotak berupa barangan makanan asas daripada Noor Effandi.
Noor Effandi berkata, sebagai pemimpin yang dipilih rakyat adalah seharusnya beliau turun padang untuk mendengar permasalahan mereka dalam DUN Telok Mas yang diwakilinya terutama dalam situasi pandemik Covid-19 sekarang ini.
“Saya turut menerima laporan daripada Jawatankuasa Pengerusi Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) yang sentiasa mendekati rakyat dalam DUN ini untuk membantu menyelesaikan masalah menimpa penduduk termasuk pendidikan anak mereka,” katanya.
Ira Ibrahim
Sementara itu, JPKK Ketapang, Ira Ibrahim, berkata dia seperti penduduk kampung yang hadir dalam program itu berasa terharu dengan sikap ambil berat dua pemimpin berkenaan yang turun padang menghulurkan bantuan dan mendengar pelbagai permasalahan rakyat.
“Walaupun sebagai JPKK kami sentiasa berhubung dengan mereka untuk melaporkan masalah penduduk, apabila berdepan dalam program ini peluang untuk dua pemimpin itu menerangkan dasar dan langkah kerajaan membantu rakyat dengan lebih jelas,” katanya.
Sobri Mohd Yusof
JPKK Ujong Pasir, Sobri Mohd Yusof, pula berkata program itu platform terbaik menyantuni rakyat terutama dalam pandemik Covid-19 sekarang, di samping membantu JPKK melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawab supaya tiada penduduk yang tercicir untuk mendapat pembelaan.
“Saya berpendapat program berkampung bersama rakyat ini wajar diadakan bagi tempoh enam bulan sekali supaya langkah meningkatkan kualiti hidup rakyat dari segi ekonomi dan kesihatan akan menjadi lebih tersusun,” katanya.
Program pada malam itu dimulakan dengan persembahan Kumpulan Marhaban Komuniti Telok Mas.
JPKK Telok Mas, Rosli Koming berpendapat program itu memberi gambaran yang jelas kepada JPKK yang dilantik seperti beliau untuk mempraktikkan masalah penduduk dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Ini penting bagi memastikan visi yang dibawa oleh mereka yang dipilh oleh rakyat itu tidak terpesong jauh sehingga terlepas pandang kepada masalah atau bantuan perlu disalurkan kepada penduduk yang ditimpa musibah,” katanya.
Azadi Mohd Diah
Bagi JPKK Bukit Punggor/Pengkalan Jajar, Azadi Mohd Diah, dia melihat program seperti itu seharusnya lebih kerap diadakan kerana ia secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat menilai wakil rakyat dipilih mereka bekerja untuk komuniti.
Menurutnya, pendekatan dalam program itu juga membolehkan pemimpin dipilih bersemuka dengan rakyat untuk mendengar sendiri permasalahan mereka dan boleh berbincang secara terus langkah mengatasi masalah yang berlaku.
“Program ini juga menunjukkan pemimpin yang dipilih sentiasa mengambil berat nasib rakyat dan akan berusaha membantu mereka yang ditimpa masalah berikutan PKPB termasuk usahawan dan peniaga kecil yang terjejas,” katanya.
Noor Effandi dan Mohd Redzuan menyerahkan kotak barangan makanan asas kepada penduduk sambil diperhatikan oleh Ira Ibrahim (kanan).