Insan & Komuniti 08 Apr, 2021

Striker tinggi lampai! Bola tinggi makanannya! Pemenang Piala Malaysia 1983, Rosmaini dah tiada

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ROSMAINI Mohd. Shah (dua dari kanan) dalam skuad pelatih Kelayakan Piala Dunia 1981 di kem latihan pusat di Bukit Fraser, Pahang. Kanan ialah Mokhtar Dahari, Hassan Sani (kiri) dan Ibrahim Din - penjaring dua gol menentang Thailand di Kuwait. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan.


SETINGGI 1.80 meter, memang lampai orangnya! Kalau bola diumpan ke udara dalam kotak penalti daripada sepakan sudut atau bebas, memang 'makanannya' dan menjadi igauan buruk buat lawan!

Cekap dan gemar menghidu kawasan tertentu untuk disasarkan tandukan, itulah kehebatan Allahyarham Rosmaini Mohd. Shah yang masih dalam kenangan rakan sepasukannya, Datuk Jamal Nasir Ismail.

Anak jati Kuantan, Pahang ini telah pergi selama-lamanya kira-kira pukul 3.15 petang Khamis, 8 April 2021 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada usia 67 tahun akibat jangkitan kuman dalam darahnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak


GAMBAR dan profil Rosmaini ketika berusia 22 tahun yang tersiar dalam sebuah majalah sukan tempatan.


"Allahyarham hampir setinggi penyerang Sabah dan Malaysia, Datuk James Wong. Cuma ketika itu dengan kehadiran ramai bintang barisan depan skuad negara termasuk Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Hassan Sani dan Allahyarham Isa Bakar, sukar baginya terpilih.

"Tidak silap saya dalam 1980 hingga 1982, ada dua atau tiga kejohanan antarabangsa yang pernah Rosmaini bermain, mungkin dengan pasukan Malaysia 'B'," kata bekas bek kanan negara yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 ini.


ROSMAINI Mohd. Shah (tiga dari kanan). - Kredit foto: FB Donation Football Academy.


Atas alasan itu juga, jurulatih kebangsaan, mendiang Karl-Heinz Weigang dari Jerman Barat tidak memilihnya selepas memanggilnya ke kem latihan pusat menjelang Kelayakan Piala Dunia 1981 di Kuwait. 

Dalam saingan Kumpulan 3 Asia itu, skuad negara yang dibanjiri bintang hebat kebanyakannya wira Kelayakan Olimpik 1980 selain dua pemain kelab profesional Hong Kong, longlai dibenam tuan rumah 4-0, Korea Selatan 2-1 dan hanya seri dengan Thailand 2-2.


JAMAL Nasir Ismail (berdiri, lima dari kanan) bersama skuad Pahang juara Piala Malaysia 1983 bimbingan Frank Lord (tiga dari kanan).  


JAMAL Nasir Ismail, bek kanan Malaysia dan Pahang era 70-an hingga 80-an.


Jelas Jamal, yang juga kapten Pahang juara Piala Malaysia 1983, "Allahyarham menganggotai pasukan negeri ketika itu tetapi tiada dalam senarai 18 pemain (termasuk simpanan) pada perlawanan akhir tersebut.

"Skuad bimbingan mendiang Frank Lord dari England, menewaskan Selangor 3-2 hasil jaringan Hamidon Abdullah, Zainal Abidin Hassan dan Pathmanathan Thambiah dalam final di depan 40,000 hadirin Stadium Merdeka, Kuala Lumpur tanggal 9 Mei 1983. 

Allahyarham yang menyarung jersi Pahang dari 1976 hingga 1983, dilaporkan meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia dalam lingkungan 20-an. 

Rosmaini yang dilahirkan pada 3 Februari 1954, turut membantu Pahang menjulang Piala Emas Raja-raja pada 1980 selepas menewaskan Perak 4-2.


PIALA Emas Raja-raja (kanan) pernah dijulang Rosmaini Mohd. Shah dengan Pahang pada 1980.


Antara rakan seperjuangannya dalam skuad emas Pahang 1983 selain Jamal ialah Allahyarham Hanis Devandran Abdullah, Sanusi Daud, Tajuddin Nor, Noordin Mohamad, Abdullah Din, Datuk Abdah Alif dan adiknya, Yunus Alif serta rakan senegara Pathmanathan dari Singapura, Suriamurthi Rajagopal. 

Allahyarham juga pernah menjadi penolong jurulatih Pahang sekitar 1990-an. 

Pekerjaan tetapnya ialah juruteknik Jabatan Kerja Raya, Pahang sebelum menyertai Jabatan Bekalan Air Pahang dan bersara pada 2017. 

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan selepas solat isyak dan jenazah di Masjid Kampung Bukit Sekilau. - KitaReporters


ROSMAINI Mohd. Shah (berdiri, lima dari kanan). Juga dalam skuad pelatih kebangsaan ini ialah James Wong (berdiri, empat dari kiri) dan ketua jurulatih negara, Karl-Heinz Weigang (berdiri, kanan). - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan dan FB Johari Yop.  

0
0
7
1
1
You will be interested